Bila Ingat Semula Ya Allah Sedihnya Kisah Safawi Rasid Enam Tahun Lalu Yang Tidak Pernah Didedahkan
REMBATAN kencang dan kelincahannya di padang sering digeruni hingga kerap menjadi sasaran pemain pasukan lawan.
Maka tidak hairanlah Muhammad Safawi Rasid diangkat sebagai Pemain Paling Bernilai pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18) baru-baru ini.
Malahan, aksinya hingga menghasilkan jaringan sering dinantikan penyokong Harimau Malaya, termasuk sepanjang saingan Piala AFF Suzuki kali ini apabila pasukan negara melangkah ke final menentang Vietnam.
Namun di sebalik segala kejayaan yang dikecapinya ketika ini, terselindung kisah dukanya enam tahun lalu yang tidak pernah didedah kepada umum.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengimbau kembali saat-saat dia ke kedai runcit untuk berhutang barang keperluan harian yang dipesan ibunya.
“Saya dari keluarga yang susah. Adik beradik saya pula ramai, ada 13 orang semuanya.
“Jujur saya kata, keluarga saya pernah hutang kedai runcit sampai sebulan baru bayar balik. Bila ingat semula, ya Allah sedihnya,” katanya.
Anak kesembilan tu berkata, dia perlu mengetepikan perasaan malu pada waktu itu demi sesuap nasi setiap ahli keluarganya.
“Malu tu memang malu tapi nak buat macam mana, keluarga saya perlu berhutang dulu untuk makan.
“Waktu tu kakak dan abang saya pun masih belum bekerja lagi. Kehidupan kami memang susah sangat ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu,” ceritanya lagi.
Kesusahan yang dilaluinya sejak kecil menyebabkan anak kelahiran Dungun, Terengganu itu bangkit mengubah kehidupan keluarganya.
“Melihat kesusahan yang dilalui keluarga membuatkan saya bersemangat untuk melakukan sesuatu bagi mengubah nasib keluarga saya.
“Saya cuba main bola sepak. Alhamdulillah bakat saya diiktiraf dan saya gunakan wang hasil titik peluh bermain bola untuk bantu keluarga,” katanya.
Meskipun namanya kini meniti di bibir peminat bola sepak tanah air, tidak ramai mengetahui bahawa Safawi sebenarnya pernah dikenali sebagai pakar libas.
Pemain berusia 21 tahun itu lebih awal mencipta nama sebagai pemain sepak takraw apabila mewakili Terengganu dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sejak di bangku sekolah rendah.
Namun ketika di Tingkatan 3, Safawi turut terpilih mewakili skuad bola sepak Terengganu dalam kejohanan MSSM.
Susulan itu, dia terpaksa melupakan sukan takraw dan fokus sepenuhnya kepada bola sepak.
“Pada awalnya saya main takraw sebab saya satu-satunya anak yang mewarisi bakat ayah (Rasid Sulung). Lagipun ayah adalah bekas pemain sepak takraw Terengganu. Oleh itu saya bercita-cita nak mewakili negara dalam sukan ini.
“Namun bila saya terpilih mewakili Terengganu dalam bola sepak, saya terpaksa melupakan takraw yang juga pilihan ayah kerana melihat peluang dalam sukan bola sepak lebih terbuka luas,” katanya.
Safawi berkata bapanya menyokong keputusannya untuk menjadi pemain bola sepak walaupun pada awalnya mahu dia menjadi pewaris dalam sepak takraw.
“Saya tahu ayah mahu saya mewarisi bakatnya tetapi dia tak pernah halang pilihan saya. Dia sentiasa menyokong karier saya sehingga hari ini.
“Masa kecil saya bercita-cita nak jadi doktor tapi saya dulu memang nakal, sekolah pun kurang. Jadi saya fikir bola sepak lebih sesuai dengan jiwa saya. Syukur sangat-sangat kerana karier ini dapat mengubah nasib saya dan keluarga,” katanya.
Kenali Safawi Rashid
Biodata
1. Nama penuh: Muhammad Safawi bin Rasid
2. Nama popular: Safawi Rashid
3. Tarikh lahir: 5 Mac 1997
4. Umur: 21 tahun
5. Tempat lahir: Dungun, Terengganu
6. Pekerjaan: Pemain bola sepak
7. Media sosial: Instagram @safawirasid29
Fakta Menarik
1. Berketinggian 1.73 meter.
2. Anak kesembilan daripada 13 adik-beradik.
3. Pernah bekerja sebagai tukang rumah.
4. Mempunyai karakter pendiam dan pemalu, namun dalam masa yang sama suka berkawan.
5. Bekas pemain sepak takraw wakil negeri dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) sejak sekolah rendah
6. Meninggalkan sukan takraw sewaktu tingkatan tiga apabila mendapat peluang menjadi wakil skuad bola sepak Terengganu di kejohanan MSSM.
7. Mula melibatkan diri dalam sukan bola sepak secara serius sejak berumur 17 tahun. Beliau menanamkan niat menceburi bidang itu untuk mencari rezeki bagi membantu ekonomi keluarga.
8. Bergelar pemain bola sepak untuk kelab T-Team FC pada 2015 hingga 2016, diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) dari 2017 hingga kini (2018).
9. Manakala untuk kemunculan di peringkat antarabangsa, beliau menyertai skuad kebangsaan Malaysia untuk bawah 19 tahun (B-19) pada 2015, diikuti skuad bawah 23 tahun (B-23) pada 2016 dan skuad Harimau Malaya sejak tahun 2016.
10. Cukup digeruni kerana mempunyai kepantasan serta kelincahan mendominasi bahagian serangan.
11. Merangkul trofi Pemain Paling Bernilai (MVP), Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda Harapan di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018.
12. Tersenarai dalam 20 pemain bintang Asia Tenggara pilihan FourFourTwo untuk masa akan datang. Antara lain, nama yang disenaraikan termasuk pemain dari Thailand, Indonesia, Australia dan negara-negara Asia lain.
13. Pernah digosipkan menjalinkan hubungan cinta dengan beberapa selebriti wanita popular seperti pelakon Sweet Qismina, penyanyi Wani Kayrie, pengacara Anim Ezati Zikri dan pelakon Ruhainies.
Kredit : Kucing Hitam
The post “Bila ingat semula, ya Allah sedihnya,” – Kisah Safawi Rasid Enam Tahun Lalu Yang Tidak Pernah Didedahkan appeared first on MFADHLY.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mfadhly.net/2018/12/10/bila-ingat-semula-ya-allah-sedihnya-kisah-safawi-rasid-enam-tahun-lalu-yang-tidak-pernah-didedahkan/