Bicara Kes Bunuh Zulfarhan Ditangguh Selepas 4 Tertuduh Positif Covid 19
Mahkamah menetapkan 4, 5 Feb dan 31 Mac ini untuk menyambung semula perbicaraan kes bunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain. (Gambar Facebook)KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang sepatutnya bersambung hari ini hingga Jumaat dilapangkan berikutan empat tertuduh positif Covid-19.
Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi memaklumkan perkara itu kepada media selepas pengurusan kes di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som.
Empat tertuduh itu kini berada di Penjara Alor Setar, Kedah.
Joy Jothi berkata, mahkamah menetapkan tarikh baru sambung bicara pada 4 dan 5 Feb serta 31 Mac ini. Hadir sama peguam Shahiera Khalid, G Kartini dan G Premman yang mewakili semua tertuduh.
Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk pemeriksaan balas pihak pendakwaan terhadap saksi pembelaan ke-19, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan.
Pada 31 Julai 2019, Hakim Azman Abdullah memerintahkan 18 penuntut UPNM yang kini berumur 24 tahun membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.
Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat UPNM, antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei 2017.
Mereka bersama 12 lagi individu, iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan turut diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Mereka didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, untuk mendapatkan pengakuan mangsa mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat UPNM, di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2021/01/bicara-kes-bunuh-zulfarhan-ditangguh.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+MalaysiansMustKnowTheTruth+%28Malaysians+Mus