Biar Rakyat Tentukan Kerajaan Bukan Elit Terkait Rasuah
Chandra Muzaffar Akar kepada krisis politik yang berlaku ketika ini adalah kesan rasuah terhadap Umno dan masyarakat.  

     Malaysia terpaksa berdepan krisis politik yang tidak perlu pada ketika ini.
Ia merupakan krisis yang perlu diselesaikan segera jika aktor-aktor  politik sama ada di luar atau di dalam Parlimen melaksanakan moratorium  untuk tidak sibuk bermain politik kuasa.
Sebaliknya, mereka semua harus menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah kesihatan dan krisis ekonomi.
  Politik  yang mahu menggulingkan parti atau pemimpin bagi menggantikan kerajaan  hari ini melalui manipulasi dan langkah politik seharusnya dihentikan  serta-merta.
Disebabkan situasi buruk yang kita hadapi sekarang ini, kita  seharusnya membenarkan rakyat – dan hanya rakyat sahaja – untuk mengubah  kerajaan.
Kerana itulah apa yang sepatutnya berlaku dalam demokrasi sebenar.
Biar rakyat tentukan siapa yang patut menubuhkan kerajaan selepas kita dapat mengawal krisis berkembar itu.
Apabila krisis itu tidak lagi mengancam negara kita, maka kita boleh bersedia untuk mengadakan pilihan raya umum.
Terdapat sebab-sebab kuat mengapa rakyat secara keseluruhannya harus  memutuskan persoalan penting mengenai siapa yang harus membentuk  kerajaan seterusnya.
Pertama, akar kepada krisis politik yang berlaku ketika ini adalah kesan rasuah terhadap Umno dan masyarakat.
  Sebilangan  pemimpin Umno dikatakan bimbang akan disabitkan dengan jenayah rasuah  dan perlu menghabiskan masa beberapa tahun dalam penjara.
Kerana itu, mereka berharap golongan elit baru yang berkuasa dapat  membuka jalan untuk membebaskan mereka, disebabkan itu mereka berusaha  bersungguh untuk menukar rejim.
Mereka lupa perbuatan mengganggu proses kehakiman akan merosakkan pegangan moral masyarakat kita.
Kedua, sudah tentu ia berkaitan dengan rasuah elit politik dalam  skandal 1MDB yang bukan hanya melibatkan elit Umno tetapi juga elit-elit  nasional dan rakan-rakan warga asing mereka yang memiliki kepentingan  peribadi di mana elit-elit politik itu dapat lindungi.
Untuk melaksanakannya, perubahan dalam kepemimpinan politik perlu dicapai dengan permainan kerusi di Parlimen.
Ketiga, kemungkinan unsur asing dari luar turut terlibat dalam  permainan ini di mana ia melibatkan permainan lebih besar dan kompleks  dari sudut geopolitik berkait dengan aktor-aktor global berkuasa yang  cuba memperluaskan hegemoni global mereka.
Sekiranya watak-watak ini yang sekian lama menganggu politik kita  melalui proksi-proksi mereka seperti yang diakui sendiri secara terbuka  selepas Pilihan Raya Umum 2018, maka mengapa kita hairan jika mereka  terus aktif memperluaskan agenda mereka melalui krisis politik ciptaan  mereka seperti yang kita lihat padahari ini?
Pertaruhan kali ini sangat tinggi, rakyat Malaysia tidak boleh  membiarkan sekumpulan kecil yang mempunyai kepentingan sendiri untuk  membentuk masa depan kita.
  Inilah sebabnya mengapa krisis politik yang kita hadapi ketika ini, bukan hanya persoalan menentukan nasib seorang individu.
Kita sebetulnya sedang berdepan penentuan nasib seluruh anak bangsa. MALAYSIA NOW
(*) Chandra Muzaffar adalah aktivis sosial dan ahli akademik.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/biar-rakyat-tentukan-kerajaan-bukan.html