Berusaha Untuk Bangkit Dalam Hidup
Berusaha untuk bangkit dalam hidup| Agak lama juga saya tidak mengemaskini blog ini. Tidak dinafikan, perasaan janggal untuk mendapatkan rentak menulis semula mula timbul tatkala entri ini ditulis. Biar apa pun kisahnya, saya perlu menulis juga walaupun tidak sekerap seperti dahulu. Kekangan masa pada saat ini membataskan sedikit usaha menarik pengunjung agar berterusan membaca blog ini. Mungkin tidak keterlaluan jika saya menganggap, saya agak terkebelakang dengan beberapa isu hangat dan terkini di negara ini.
Masih wujudkah pengunjung setia blog usang ini? Masih relevankah kewujudan blog ini? Walau apapun persepsi saya ke atas blog ini, Google Adsense sentiasa memberi impak tersendiri terhadap entri-entri lama. Beberapa pengunjung juga mampu berinteraksi dengan saya melalui beberapa platform hubungan yang telah saya sediakan. Alhamdulillah. Dengan kata lain, masih ada asas untuk blog ini terus bertahan. Bezanya cuma idea menulis blog datang dan pergi. InsyaAllah
Pada saat ini, saya telah berpindah ke tempat kerja yang baharu daripada bekerja di Jabatan Kimia Cawangan Sibu sejak April yang lalu. Oleh itu, beberapa perubahan dalam hidup seharian pastinya berlaku. Sememangnya amat sukar untuk seseorang meninggalkan sesuatu pada tahap yang selesa. Pekerjaan mahupun kehidupan seharian. Apatah lagi meninggalkan rakan-rakan seperjuangan yang sangat rapat. Ianya satu keputusan yang sangat sukar. Sibu, Sarawak pernah menjadi tempat bermastautin yang tidak akan pernah saya lupakan. Satu bandar kecil yang banyak mengajar saya erti kehidupan. Selama empat tahun berkelana, saya terpaksa mencuba ranjau baru dan keluar daripada ruangan selesa saya. Alhamdulillah diberikan kesempatan berpindah ke Kuching, Sarawak pula
Perjuangan seorang perantau seperti saya harus diteruskan. Biar di mana pun tempat berpijak, di situ juga saya meneruskan saki baki hidup ini. Sehingga kini, beberapa perkara yang berlaku akibat perubahan tempat bermastautin masih melalui proses "settle down". Untuk menuju ke ruang selesa, banyak cabaran yang perlu kita lalui. Itulah realiti kehidupan. Walau bagaimanapun, senyuman adalah ubat kepada kesakitan, kejayaan adalah penawar kepahitan
Entri kosong ini sengaja dikongsi kepada anda semua sebagai bacaan santai dan salam pertemuan kembali pembaca blog ini, rakan-rakan blogger yang telah lama saya tinggalkan. Namun saya tahu, perjuangan saya terhadap blog ini harus saya selesaikan. Banyak lagi ruang yang perlu saya terokai. Untuk menjadi yang terbaik mungkin agak sukar. Apa yang penting, saya masih mampu menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada pembaca semua. Isu blog tidak relevan? Ianya mustahil
Harapan saya sentiasa sama sejak dahulu. Blog ini terus memberikan sesuatu kepada masyarakat dengan cara saya sendiri. Bukan untuk mengejar nama, tapi ini hanyalah hobi peribadi. Menulis dan terus menulis biarpun tanpa pengisian ilmiah pada entri tertentu kerana saya sedar di mana kedudukan saya. Sebanyak mana yang kita mampu usahakan, itulah hasil yang akan kita dapat sesuai dengannya. Akhir kata, terima kasih membaca entri ini, kerana ini adalah permulaan kepada entri-entri berikutnya. Semoga dipermudahkan. Doakan saya bangkit kembali dan saya terus bertahan dalam menghadapi cabaran hidup di dunia ini. Amin. Wallahualam
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.bilalelakiberbicara.com/2018/09/berusaha-untuk-bangkit-dalam-hidup.html