Beruntunglah Orang Machang
Akan beruntunglah penduduk Machang, Kelantan, selepas ini nampaknya. Berbanding Ahli Parlimen pembangkang yang tidak mendapat peruntukan selepas PRU15, penduduk Machang bakal mendapat keistimewaan. Untuk itu, mereka perlu berterima kasih kepada Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menggelar Machang tidak maju atau dalam bahasa mudahnya mundur atau ketinggalan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu sidang Dewan Rakyat pada Khamis bahawa beliau akan mengkaji apa keperluan peruntukan untuk Machang.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada perdana menteri bersungguh-sungguh atau berseloroh kerana ‘kehangatan’ suasana ketika ungkapan itu dibuat.
Ia berpunca daripada soalan Wan Fayhsal ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat yang berbunyi: “Saya khuatir ada laporan daripada Bursa (Saham Malaysia) ni saya tengok – ini laporan bukan wayang – yang menunjukkan sejak Yang Amat Berhormat menjadi perdana menteri dan menteri kewangan bermula 2023 sampai tahun lepas, total net foreign outflow (jumlah aliran keluar bersih modal asing) amat tinggi.
“Dan ini menunjukkan tahap keyakinan pelabur-pelabur asing terhadap pasaran bursa kita. Apa agaknya kesan atau punca aliran keluar bersih modal asing ini? Apakah berkaitan dengan persepsi rasuah yang tidak berubah, DNAA yang diberikan begitu saja dan juga adendum itu yang kami fikir memberi kesan
kepada kestabilan politik negara?
Dalam sidang Dewan Rakyat, Wan Fayhsal – bekas ketua Pemuda Bersatu yang kini ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti – dikenali sebagai seorang yang beria-ia. Beliau juga bekas timbalan menteri perpaduan negara serta bekas timbalan menteri belia dan sukan ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN) dari Mac 2020 hingga Oktober 2022.
Maksudnya dalam berbahas atau bertanyakan soalan, beliau yang berkelulusan dari King’s College, London, sering menampilkan diri sebagai seorang yang bersungguh-sungguh menyampaikan hujahnya.
Tambahan baru lepas penggantungan enam bulan daripada sidang Dewan Rakyat pada 18 Julai lalu gara-gara dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Wan Fayhsal, 37, memilih kesempatan ini untuk menandakan kehadiran semulanya.
Penggantungannya ketika itu lebih diingati kerana sejurus Speaker Johari Abdul mengumumkan keputusan undian belah bahagi 110 berbalas 63 susulan usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, semua Ahli Parlimen blok pembangkang bangun membaca doa Qunut Nazillah yang diketuai Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.
Kepada soalannya semalam, Anwar menjawab: “Ini dia tak dengar penjelasan saya. Semua petunjuk ekonomi kita meningkat. Diakui semua termasuk pendidikan dan saya telah sebut angka-angka ini. Tapi dia masih pertahankan bahawa 0.2% itu walaupun tinggi kejatuhannya di Thailand, Filipina dan Indonesia. Tapi 0.2% itu sahaja angka yang menyebabkan hilang sama sekali keyakinan (pelabur). Tak apalah, itu pandangan Machang. Sebab itulah Machang tidak maju (disambut hilai ketawa).”
Ketika ini, Wan Fayhsal mencelah: “Yang Berhormat, tarik balik, Yang Berhormat.” Kedengaran Anwar menambah: “Ya (Machang) belum maju.”
“Peruntukan disekat, saya tak jadi Ahli Parlimen sebelum ini, Yang Amat Berhormat,” jawab Ahli Parlimen Machang penggal pertama itu.
Tanpa menunjukkan riak wajah berseloroh, Anwar seterusnya mengungkapkan: “Saya akan kaji apa keperluan peruntukan Machang supaya Machang boleh membangun sedikit lagi.”
Pada 15 Sept lalu, pembangkang membuat ketetapan menolak memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN berasaskan empat sebab utama.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
“Kami menolaknya kerana beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ia turut mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama serta nilai-nilai tempatan,” katanya.
Ini disusuli kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada 20 Sept bahawa pihaknya enggan berunding lagi dengan kerajaan yang dikatakannya patut memberi peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengenakan sebarang syarat seperti dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya.
Sebagai rekod, pembangkang ketika Anwar menjadi ketuanya tidak pernah mendapat peruntukan sepanjang PN menjadi kerajaan sehinggalah pembangkang menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik sewaktu Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri pada 13 Sept 2021.
Semalam, tular di TikTok satu akaun menggunakan nama Iyeker? dengan mencanangkan tajuk ‘Wan Fayhsal kena basuh lagi dengan PMX di Parlimen’ sambil tajuk kecilnya menghuraikan “Anwar Ibrahim hari ini menjawab persoalan Ahli Parlimen Machang Wan Fayhsal tentang kononnya pelabur sudah tidak yakin untuk melabur di Malaysia.”
Ia harus satu ‘harga’ yang kecil yang perlu dibayar oleh Wan Fayhsal jika hanya dengan menebalkan muka terhadap leteran Anwar, penduduk diwakili di kawasan Parlimennya mendapat manfaat dari segi peruntukan pembangunan.
Barangkali Ahli Parlimen PN selebihnya boleh turut ambil iktibar daripadanya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/beruntunglah-orang-machang.html