Bersatu Akui Muda Mampu Beri Ancaman
Ahmad Faizal Azumu berkata, setiap parti politik yang berdaftar sudah tentu mampu memberi ancaman kepada parti politik lain termasuk MUDA. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Bersatu mengakui kehadiran parti MUDA selepas didaftar secara rasmi mampu memberi cabaran kepada parti politik lain khususnya apabila kerajaan membenarkan pelaksanaan Undi18.
Timbalan Presidennya, Ahmad Faizal Azumu, bagaimanapuan berkata, kehadiran MUDA tidaklah sampai mampu menumbangkan kerajaan yang ada pada hari ini.
Beliau berkata, parti yang ada dalam kerajaan termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga mempunyai daya tarikan tersendiri dalam menarik penyertaan orang muda.
“Saya melihat golongan anak muda apabila diberi peranan tentu mereka bersemangat, benar parti MUDA boleh menjadi ancaman, mungkin juga kepada semua parti politik. Tapi kita perlu melihat bahawa parti lain termasuk parti dalam kerajaan PN, BN juga diminati golongan muda.
“Jadi bagi saya semua parti (politik) berdaftar boleh jadi ancaman satu sama lain,” katanya menerusi program Inklusif yang disiarkan di RTM.
Sementara itu, mengulas cadangan supaya calon pilihan raya perlu diisi oleh mereka yang berumur bawah 65 tahun, Faizal tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Katanya, usia tidak boleh dijadi ukuran sebaliknya kemampuan menjalankan amanah rakyat itu lebih mustahak.
“Perkara paling penting untuk jadi wakil rakyat bukannya had umur, bukan jantina, bukan kaum dan bukan agama.
“Pada saya tugas apabila nak pilih wakil rakyat hendaklah boleh buat kerja, saya kurang setuju kalau nak hadkan umur calon bertanding, jika umur muda tapi tak boleh buat kerja, tak amanah, tak bertanggungjawab tiada maknanya.
“Begitu juga kalau usia lebih 65 tahun, kalau tak boleh bekerja dengan baik sebagai wakil rakyat juga tak ada makna, yang penting tanggungjawab melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dan boleh jalankan amanah dengan baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kementeriannya bersetuju menangguhkan pewartaan dan penguatkuasaan had umur belia yang sepatutnya dilaksanakan 1 Jan lalu pada satu tarikh lain.
Beliau berkata, pelaksanaannya akan dibuat tahun ini dan penangguhan itu dibuat bagi memberi ruang kepada pihak tertentu menyelesaikan beberapa isu lain terlebih dahulu. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/01/bersatu-akui-muda-mampu-beri-ancaman.html