Bersama Viva Boat Kecil Dan Rm50 Lelaki Ini Jadi Viral
BERSAMA VIVA,BOAT KECIL DAN RM50,LELAKI INI JADI VIRAL. Rasanya ramai sudah membaca kisah abang viva antara individu yang terawal datang dari Melaka datang ke Shah Alam untuk membantu mengeluarkan mangsa banjir yang terperangkap
Menurut pembacaan saya di sosial media, beliau datang dengan kereta viva bersam boat kecil yang di gunakan untuk pergi memancing dan hanya ada duit poket sebanyak RM50 untuk minyak kereta dan makan. Tawakal betul beliau untuk datang membantu orang lain. Biarpun diri sendiri tidak memiliki aset aset hebat untuk misi bantuan macam aset aset kerajaan ada tapi dia terlebih dahulu sampai membantu sedangkan pihak pihak yang sepatutnya bertanggungjawab sibuk dengan nak adakan mensyuarat dulu.. nak adakan majlis perasmikan untuk bantu mangsa banjir
Tak faham aku dalam fasa kecemasan pun nak mesyuarat la.. nak buat majlis perasmian la. Manalah rakyat tak mengamuk. Susah sangat ke nak buat keputusan yang lebih cepat untuk segera membantu mangsa banjir yang dalam keadaan bahaya? Gamaknya tunggu pihak atasan mencari solusi mangsa banjir dah bertukar jadi ikan kaloi. Depa datang bawa nasi malukut, sayur keladi je la tabur dalam banjir
Mujur ada ramai individu dan NGO yang berhati mulia seperti abang viva yang viral ni mengambil tindakan cepat. Masing masing datang bersama boat untuk membantu
Ramai yang mula share dan viralkan kisah abang viva yang bagi netizen cukup menyentuh hati. Jadi saya copy di sini untuk pembacaan anda
Saya cukup tersentuh membaca kisah Abang Viva yang datang dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam. Kisah Abang Viva seperti berikut:
1. Abang Viva ini bernama Azwan Omar yang datang dari Melaka ke Shah Alam dengan menggunakan kereta Viva dan membawa sebuah bot di atas bumbung keretanya
2. Dia hanya berbekal duit sebanyak RM50 saja. Dia beli minyak untuk bot sebanyak RM20 dan RM30 lagi untuk makanan seperti roti dan air untuk alas perut
3. Dia bekerja sebagai operator mesin dan memohon cuti kecemasan dari majikannya untuk ke Shah Alam bagi menyelamatkan mangsa banjir.
4. Antara mangsa banjir yang diselamatkan ialah pasangan warga emas termasuk suami yang lumpuh dan seorang ibu dengan bayi yang baru dilahirkan
5. Sejak lima hari lepas, Abang Viva hanya alas perut dengan makan roti dan air serta tidur dalam botnya. Namun dia terus kental untuk selamatkan mangsa-mangsa banjir
6. Cerita dia tersebar menyebabkan orang ramai menderma wang kepadanya. Namun dia agak keberatan mahu menerimanya dan menderma sebahagian besar wang itu kepada NGO-NGO lain
7. Abang Viva berkata, "Saya datang nak tolong dengan ikhlas tak harap apa-apa pun. Saya pun tak minta untuk jadi viral sampai macam ni, orang masuk dalam internet semua. Jadi sumbangan yang saya terima itu saya akan salurkan semula kepada mangsa banjir"
8. Hebat betul kisah Abang Viva ini. Dia hanya orang biasa tanpa pangkat dan gelaran. Tetapi jiwanya amat luar biasa. Dia di antara hero yang tidak dikenali tetapi kaya jiwa dan budi
9. Moga Allah memberkati dan memberi kekuatan atas usaha Abang Viva menyelamatkan mangsa banjir. Abang Viva hero kami!
Nukilan : Dr. Abdél Rahmanov
Apapun kisah abang viva ni cukup memberi inspirasi kepada kita semua bahawa jika kita ingin membuat kebaikan tak perlu kaya. Yang kita kena ada adalah keinginan dan keikhlasan untuk membantu.
Kita tak mampu sumbang tenaga, boleh sumbang berbentuk kewangan, kalau tak ada kewangan cukuplah memberi moral support dan doa kerana setiap bantuan yang di beri samada dengan cara material atau spiritual sangat membantu untuk kembalikan semangat buat mangsa mangsa banjir yang mungkin trauma dengan apa yang berlaku
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.lekatlekit.com/2021/12/bersama-vivaboat-kecil-dan-rm50lelaki.html