Berkat Gaji Seorang Guru
Ketika membuat pilihan untuk menjadi seorang guru 12 tahun dahulu, pesanan pertama yang saya akan ingat sampai bila-bila adalah, "Kerja guru tu apa kerjanya?" "Jika tidak masuk kelas dan mengajar, berkatkah gaji yang kita terima tu?"
Berkat Gaji Seorang Guru
Pesanan tak lain tak bukan, daripada ahli keluarga saya sendiri, iaitu kakak sulong saya yang juga merupakan seorang guru.
Mungkin bunyinya macam mudah. Tapi nak melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipertugaskan memang menuntut komitmen dan pengorbanan yang sangat tinggi. Sama saja tuntutannya seperti pekerjaan lain.
Peranan guru melangkaui tanggungjawab terhadap individu atau kelompok kecil. Maka tak hairan lah bagaimana sesebuah negara yang maju menumpukan aspek pendidikan melebihi segala-galanya. Kerana di situ kemandirian bangsa mereka dalam menjadi bangsa berjaya.
Dalam menjalankan amanah sebagai guru, antara prinsip yang saya pegang adalah, "Walau kita bergaji RM3000, tapi jika kita kerja macam gaji RM5000, inshaAllah bakinya Allah akan gantikan dengan perkara lain.
Rezeki kadangnya, datang bukan hanya dalam bentuk duit saja
Anak yang baik, kenderaan susah rosak, rumah terpelihara, keluarga bahagia. Semuanya adalah bentuk rezeki yang Allah boleh kurniakan. Bukan duit sahaja. Sesungguhnya rezeki Allah tu sangat luas.
Begitu juga jika kita bergaji RM5000, tapi kerjanya macam bergaji RM3000. Percayalah bahawa rezeki yang bukan pada hak kamu itu akan kembali semula kepada Nya. Anak tak menjadi, kenderaan selalu rosak, barang selalu hilang, rumah sentiasa dibimbangi, keluarga porak peranda dan sebagainya.
Teringat saya dengan ucapan seorang rakan tatkala wang kutipannya hilang dicuri. Ujarnya, "Mungkin ada bahagian rezeki aku yang kurang bersih, patut lah duit kena curi.."
Pendek kata, keberkatan duit atau harta itu bukan lah pada banyaknya harta tersebut. Tetapi adalah apabila sedikitnya, tetap mencukupi. Banyaknya, tetap tidak mengkelabukan mata dan hati!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikguhailmi.com/2018/12/berkat-gaji-seorang-guru.html