Beri Pendidikan Politik Supaya Tak Babi Buta Laksana Undi18
Oleh Athirah Huda Zalhe  Ahli politik jangan ambil kesempatan ajar remaja berpolitik di sekolah

BANGI– Ahli politik diminta tidak mengambil kesempatan menggunakan golongan  remaja dengan mengajar mereka bermain politik kepartian di sekolah,  susulan dasar baharu menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun  diluluskan Dewan Rakyat, semalam.
Malaysia  melakar lagi sejarah baharu apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang  Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur  mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon  bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
Seramai  211 menyokong usul itu dan tiada ahli Parlimen yang menolaknya dalam  undi belah bahagi yang diadakan selepas perbahasan oleh wakil-wakil  rakyat pemerintah dan pembangkang.
RUU  itu lulus dengan sokongan 2/3 Dewan Rakyat. Ia adalah pindaan pertama  perlembagaan sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menghormati  keputusan yang dibuat itu, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional  (Pembina), Muhammad Azam Asri menzahirkan harapan supaya pelaksanaan  polisi berkenaan dapat disusuli dengan usaha untuk mendidik remaja.
Beliau  berkata, pendidikan politik dan kenegaraan juga perlu diberikan pada  kadar sepatutnya supaya kerajaan tidak ‘membabi buta’ menjalankan polisi  berkenaan.
“Didiklah mereka untuk sayangkan negara, menghormati perbezaan dan mengamalkan rukun negara sebagai pengikat kesatuan. 
“Pasti  kita tidak mahu remaja ini berbeza pendapat dengan guru-guru kerana  perbezaan fahaman politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Oleh  itu, Muhammad Azam berkata, badan autoriti dan ahli politik mesti tegas  menolak sebarang budaya dan gejala yang merosakkan golongan ini, supaya  tiada usaha daripada pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk  meraih undi.
“Dari  penelitian saya, minda remaja dan awal belia sekarang sangat terkait  rapat dengan apa yang berada di media sosial. Apa yang tular, itulah  yang membentuk cara fikir mereka. 
“Pemain  politik juga perlu mempamerkan contoh yang dicerminkan dari pendidikan  itu. Kalau ada yang gagal, itu perlu kita hindarkan,” katanya.
Pada  masa sama, beliau berkata, persatuan belia dan remaja juga boleh  diberikan insentif untuk membantu pihak kerajaan mendidik remaja serta  awal belia.
“Semoga keputusan ini dapat melahirkan masyarakat yang lebih baik bukan menjadikan negara yang kacau bilau,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/beri-pendidikan-politik-supaya-tak-babi.html