Bergotong Royong Membuat Persiapan Reunion
Catatan kisah pada hari Jumaat, 25 November 2022
Lokasi reunion kami terletak di Lantana Villa, Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi, Selangor. Sebuah rumah besar dan mewah yang terletak agak terasing dari rumah-rumah lain. Lokasi yang tepat untuk reunion, tidaklah nanti bunyi riuh-rendah kami mengganggu jiran. InsyaAllah kalau rajin saya akan buat entri khusus perkongsian mengenai Lantana Villa
Berbalik kepada cerita gotong-royong membuat persiapan reunion - saya tiba di Lantana Villa agak lewat berbanding sahabat AJK yang lain, iaitu pada waktu Maghrib. Saya rasa berdebar dan teruja nak bertemu sahabat-sahabat memandangkan dah beberapa tahun saya tak bertemu mereka. Kali terakhir sewaktu reunion kami yang ke-2 iaitu pada tahun 2018.
Hidangan makan malam yang cukup menyelerakan.Selesai menunaikan solat, kami makan malam bersama. Ada sahabat yang memasak nasi dan ada yang memasak telur dadar/telur mata. Lauk tempoyak daun kayu dibawa oleh seorang lagi sahabat, katanya dibuat oleh makciknya. Lauk kegemaran saya
Memang berselera kami makan beramai-ramai sambil berbual. Riuh-rendah jugaklah walaupun tak sampai 20 orang yang ada pada malam tersebut. Selain AJK seramai 15 orang, ada juga sahabat dari jauh yang datang awal dan sahabat dekat yang sudi dikerah tenaga untuk turut membantu membuat persiapan
Selesai makan-makan, jomlah kita bergotong-royong…
Antara barang-barang untuk beg cenderahati (goodies bag) yang akan diberi kepada setiap yang hadir
Props untuk bergambar dan sebahagian hadiah untuk aktiviti permainan
Sudah siap. Bunga rampai dengan titisan minyak lavender & ros, harum mewangi seluruh rumah macam nak menyambut pengantin baru. Belon 3 warna, tiup guna pam. Beberapa kali juga meletup, membuat suasana gamat seketika dek terkejut. Yang tukang pam tenang je, kita yang tengok rasa seram kotlah belon meletup lagi. Haha…
Beg cenderahati dan beg hadiah aktiviti sudah siap diisi, kami susun dalam bilik karaoke. Lengkap ada tag nama disetiap beg supaya mudah pemilik beg cari kalau nanti beg diletak merata
Meja pendaftaran merangkap sudut berfoto dalam rumah
LabuLadies Reunion sempena 32 tahun persahabatan. ‘LabuLadies’ tu merujuk kepada sahabat perempuan batch kami yang bersekolah di Labu, Negeri Sembilan. Kami mula bertemu dan bersahabat sejak penghujung tahun 1990, iaitu sewaktu kami melangkah masuk ke tingkatan 1. Kehidupan selama 5 tahun di asrama membuatkan ikatan persahabatan kami terjalin erat dan Alhamdulillah kekal sehingga hari ini
Selesai gotong-royong dan mesyuarat terakhir, masing-masing beransur tidur sekitar pukul 1.30 pagi. Esok paginya masih ada kerja-kerja akhir yang perlu dibuat sebelum pendaftaran bermula pada pukul 11.30 pagi. Tugasan saya juga lebih berat pada hari berlangsungnya reunion kerana saya dan seorang lagi sahabat ditugaskan sebagai AJK Makanan
Semua AJK rasa berdebar, bimbang kalau majlis reunion tidak berjalan lancar atau ada kekurangan yang ketara. Mungkin begini rasanya kalau kahwinkan anak, gurau seorang sahabat. Cuma tentunya majlis reunion lebih mudah sebab kami ada barisan AJK, berbahagi tugas dan saling membantu
Bagaimana suasana pada hari reunion? InsyaAllah di entri seterusnya. Bukan mudah nak mengarang dan memilih lambakan foto untuk diabadikan sebagai catatan blog
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2022/12/bergotong-royong-membuat-persiapan.html