Bergema Presiden Pas Tarik Saman Sr
Assistant Editor/ PAK SUBKY LATIF
Berita besar dan gempar selepas Pakatan Harapan boleh dikalahkan di Cameron Highlands ialah kejutan Presiden PAS menarik samannya atas Sarawak Report demi diselesaikan di luar mahkamah.
Gemanya diduga berakhir jika PRK Semenyih PH dikalahkan lagi. Jika PH menang juga, gema tidak disangka PAS itu berdengung lagi.
Sekalian seteru rasa terhibur atas tindakan politik PAS itu sebagai ubat kekalahan PH/DAP di Cameron Highlands. Bersorak semua justeru ia dikira memalukan PAS yang amat sangat.
Adakah PAS malu? Tidak boleh kata ia tidak malu kecualilah ia parti yang tidak pemalu. Memang malu. Malunya dua minggu saja. Lepas itu hilanglah malunya.
Saya dipanggil semula hadir mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat setelah lebih 10 tahun rehat. Setiap mesyuarat lebih setahun lalu dibentangkan perkembangan Sarawak Report itu. Mesyuarat dimaklumkan kes itu sedap bagi PAS.
Setahun dulu saya ziarah Tun Salleh Abas di Kuala Terengganu. Dia mentelaah buku tebal yang PAS beri laporan perbicaraan kes itu di Mahkamah London. Katanya pada saya, tidak hujah wartawan Inggeris itu yang dapat dipegang. Karut belaka.
Setiap mesyuarat kami bincang tentang kos perbicaraan yang besar. Lagi lambat ia selesai lagi banyak duit diperlukan. Semuanya dibuat dalam matawang pound sterling. Beban kewangan itu bertambah apabila Ringgit jatuh terutama sejak PH berkuasa.
Sumber duit PAS dari penyokongnya. Mereka tidak pernah culas menyumbang. Demikanlah sejak 68 tahun lalu. Sejak kerajaan baru ini harga semua barang dan perkhidmatan melambung. Dulu sudah tinggi, kini bertambah tinggi.
Beban hidup sekalian penyokong PAS sudah bertambah payah. Mereka terpaksa bagi dua pendapatan antara keperluan hidup harian dan menampung kos saman di England. Ahli tidak lari dari tanggungjawab melainkan lari dari parti.
Jika saman itu diteruskan penyokong PAS dan keluarganya mungkin terpaksa bergilir hari. Jika ini yang pimpinan putuskan ahli sedia puasa hingga tidak diketahui bila mereka berbuka.
Perjuangan PAS itu panjang dan keperluannya banyak, bukan sekadar menghadapi Sarawak Report. Banyak lagi duit dan tenaga diperlukan untuk menyekat penguasaan total PH membentuk non-Malaysian Malaysia.
Saya suka saman itu tidak diteruskan. Cukuplah dengan aduan kita kepada mahkamah duniawi bagi mendapat keadilan atas angkara Sarawak Report itu. Saya tidak salahkan sesiapa atas aduan kepada kejaksaan London yang mahal itu. Kepercayaan semua kejaksaan London lebih meyakinkan dari pengamal undang-undang dalam negeri.
Saya sarankan kepada mesyuarat, mari kita kembali mengadu kepada Allah seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz di bawah pimpinan Dato’ Asri buat, membaca Yasin serentak oleh semua pihak di seluruh negara, mohon Allah lepaskan PAS dari fitnah. Dua kali itu dibuat atas isu berlainan.
Gara-gara fitnah itu PAS ditentang dari BN, kalah di Kelantan. Saya tanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz, apa jadi dengan Yasin kita? Dari menteri biasa Mahathir naik jadi TPM dan jadi PM.
Jawab Tok Guru, kita tidak tahu cara mana Allah perkenan munajat kita. Sabar dan yakin, Allah mendengar rayuan hamba-Nya yang teraniaya.
Tiga tahun berlalu, PAS diilhamkan mempromosi konsep kepimpinan ulama, PAS pulih dari krisis politik tertendang dari BN, PAS bertambah kuat. Tahun 1990 PAS kembali 100 peratus berkuasa di Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz jadi Menteri Besar.
Mari baca Yasin serentak. Apalah malunya menyelesaikan saman di luar mahkamah? Yang aula kini berdoa Umno rampas Putrajaya dari PH dalam PRU15.
"Islam Memimpin"
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/02/bergema-presiden-pas-tarik-saman-sr.html