Bercuti Di Pulau Pemanggil Johor

Setiap tahun dalam agenda percutian, saya akan selitkan destinasi ke pantai timur. Pertengahan bulan June 2025 saya dan kawan-kawan menghabiskan masa bersama bercuti di Lanting Resort Pulau Pemanggil selama tiga hari dua malam. Sebenarnya percutian ini tertangguh dari July tahun lepas kerana cuaca yang tidak baik tahun itu. Pakage yang telah dibayar, kami tunaikan tahun ini. Perjalanan bermula dari Jeti Batu 2 atau Jeti Lazam. Saya pernah ke jeti ini dulu semasa naik bot ke Pulau Aur dan Pulau Dayang beberapa tahun dulu

Kami sarapan di kedai makan Jeti Lazam ini sambil menunggu kawan-kawan yang datang dari tempat yang lain. Saya dan tiga kawan sampai awal sehari dan bermalam di homestay area Mersing. Pagi itu kami memakir kenderaan di tempat parkir berbayar di Jeti Lazam. Kami seramai lapan orang berangkat ke Pulau Pemanggil sekitar jam 08:20 pagi. Hanya kumpulan kami sahaja yang menaiki bot tersebut. Perjalanan lancar sekitar satu jam 20 minit dan kami sampai di Jeti Lanting Resort pada jam 09:40 pagi.


Sampai di Jeti Lanting Resort kami disambut oleh beberapa orang petugas resort dan sarapan pagi siap terhidang di pelantar jeti. Kami berehat dan bersarapan di sana dahulu sebelum mengambil kunci bilik



Air laut di Pulau Pemanggil sangat jernih. Dari pelantar jeti tempat kami menjamu selera, kami melihat dengan jelas ikan-ikan berbagai jenis dan warna dan juga beberapa ekor sotong yang bersaiz besar berenang santai di bawah. Setelah semua puas menikmati pemandangan sambil mengisi perut, kami mengambil kunci bilik masing-masing setelah mendengar serba sedikit peraturan di tempat penginapan dan jadual aktiviti percutian kami dari guide

Petang itu selepas makan tengahari, kami memulakan aktivity hari pertama. Kami di bawa menaiki bot dan singgah di beberapa tempat di Pulau Pemanggil. Pertama sekali kami singgah di Kampung Buau. Terdapat beberapa buah rumah berpenghuni di kampung yang mempunyai sebuah sekolah dan seorang murid ini. Kami mandi manda di kampung ini, bertegur sapa dengan penduduk kampung dan berjalan di pinggir pantai yang dibina pelantar bersimen








Setelah pulang ke penginapan, kami mandi manda lagi di kawasan resort sementara menunggu guide menurunkan buah kelapa yang kami pesan. Di sebelah malam, setelah makan kami berehat di jeti sambil menikmati air kelapa yang kami pesan petang tadi. Kami berehat agak lama di jeti ini sambil bercerita memandangkan kami telah kenal berbelas tahun dan banyak kali mendaki bersama


Keesokkan paginya kami mengambil pakage snorkling satu hari. Setelah sarapan pagi, kami menaiki bot menuju persinggahan pertama iaitu Batu Belah. Setelah turun untuk snorkling, saya melihat batu-batu seperti lantai yang terbelah-belah di kawasan snorkling ini.






Kemudian kami ke Turtle Bay. Tidak ada penyu di sini pagi itu. Kami meneruskan perjalanan ke Shipwrecked atau dikenali juga Pemanggil Titanic. Terdapat sebuah kapal karam di sini. Kapal karam tersebut dipercayai dari China dan karam kerana terlanggar batu berkemungkinan ketika cuaca buruk atau atas masalah lain. Ketika kami sampai di kawasan kapal karam tersebut, terdapat bahagian kapal yang timbul kerana air surut. Rezeki kami kata pilot boat. Guide terus berenang dan mengikat tali pada kapal karam sebelum kami dibenarkan turun


Kami bergambar di bahagian kapal yang timbul itu. Kemudian guide mengajak kami berenang hingga ke hujung kapal. Kapal itu sungguh besar pada pandangan saya. Saya hampir sampai ke hujung ketika saya berpatah balik ke bahagian timbul itu. Saya rasa agak seram bila terus berenang di kawasan yang semakin dalam dan masih belum sampai ke hujung kapal.

Sepatutnya jadual seterusnya kami mendaki Bukit Buau. Tetapi disebabkan letih bermain air, kami membatalkan rencana ke sana. Kemudian kami ke Nemo Spot dan Giant Brain Coral


Inilah kali pertama saya snorkling di laut yang penuh dengan telur sotong. Pada masa itu air laut kelihatan agak sesak dengan telur sotong. Menurut kawan-kawan lain, fenomena ini juga tidak pernah mereka temui ketika snorkling.


Kemudian kami singgah di 100 Years Walid Cave. Kami cuma bergambar dari atas bot berlatar belakangkan Gua Burung Walid ini


Ada lagi satu spot snorkling kami batalkan kerana letih dan telah puas berenang. Disebabkan masih awal, kawan-kawan saya bertanya kepada pilot bot sekiranya dia boleh membawa kami ke Pulau Aur. Pilot bot sangsi sekiranya minyak bot tidak cukup walaupun jarak ke Pulau Aur dan Pulau Dayang hanya 30 minit perjalanan. Setelah mengagak sukatan minyak, akhirnya kami ke Pulau Aur


Sampai di Pulau Aur kami menikmati ais kacang di gerai hujung jeti. Selepas itu sisi gelap Pulau Dayang pun berlaku. Persatuan Bot Pulau Dayang meminta kami membayar sejumlah wang kerana kami berkunjung ke Pulau Dayang tanpa menginap di sana. Menurut pilot bot, menjadi kebiasaan pengunjung yang tidak bermalam di Pulau Aur atau Pulau Dayang dikenakan sejumlah bayaran jika ke Pulau Aur. Kerana tidak mahu menimbulkan masalah kami setuju membayar Rm300 setelah tawar menawar walaupun kami kurang paham tujuan bayaran. Kami kemudian merakam gambar di Pulau Aur dan mandi manda di Pulau Dayang sebelum bergerak pulang ke Pulau Pemanggil.







Malam itu selepas makan malam kami berehat di jeti sambil minum air kelapa. Malam itu kami habiskan masa hingga larut malam di jeti sambil duduk dan baring-baring terlentang menyaksikan ribuan bintang yang bertaburan di langit. Seperti malam semalam, kami akhiri hari kedua di Pulau Pemanggil di jeti sambil bercerita hingga mengantuk. Terima kasih Allah kerana cuaca yang bagus.


Hari ketiga, sebelum sarapan kami bersiar di pantai dan menyaksikan matahari terbit di hujung resort. Cuaca hari itu sungguh cerah. Kami berehat di tebing batu sambil melayan naluri masing-masing.








Setelah sarapan kami check out dan memulangkan semua peralatan snorkling. Kemudian kami menaiki bot sekitar jam 10:00 pagi menuju ke Mersing


Terima kasih kawan-kawan, semoga kita berjumpa lagi di percutian akan datang. Terima kasih Allah kerana hadiahkan kawan-kawan sama minat
Contact Pulau Pemanggil:
[email protected] Din 012 3317808
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://jalankegunung.blogspot.com/2025/07/bercuti-di-pulau-pemanggil-johor.html