Bercinta Selepas Kahwin Juga Ada Kemanisan Yang Tersendiri Kaka Azraff
Meskipun bertemu jodoh dengan lelaki lebih muda, penyanyi Kaka Azraff, 30, bersyukur dikurniakan suami yang memahami dan bertanggungjawab. Sempat bercinta selama tiga bulan sebelum diijabkabulkan dengan Adam Azriff, 25, pada 14 Disember lalu, Kaka berkata, setiap hari membentangkan pengalaman baharu yang mematangkan lagi langkah mereka.
“Sukar untuk saya ungkapkan, namun saya dapat rasakan, bercinta selepas berkahwin juga ada kemanisan yang tersendiri. Selepas hidup bersama, kami mula belajar mengenali hati satu sama lain dan perjalanan itu sangat mencabar, namun menyeronokkan. Alhamdulillah, saya dapat melihat perubahan dalam diri Adam selepas berkahwin. Dia sangat mengambil berat dan bersifat pelindung. Berada di sisinya membuatkan saya sentiasa rasa selamat,” katanya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Bukan Hal Aku dan Sibuk itu berkata, biarpun usia Adam muda lima tahun daripadanya, dia yakin lelaki itu mampu membimbingnya ke arah kebaikan. Kaka yang kini hamil empat bulan juga teruja apabila diberikan Allah kesempatan untuk melalui fasa baharu sebagai bakal ibu ketika usia perkahwinan mereka masih hijau.
“Perasaan saya bercampur baur. Dalam teruja, saya sebenarnya berdebar kerana ini pengalaman baharu dalam hidup saya dan suami,” katanya yang mengumumkan kehamilannya pada 14 Mei lalu.
Sebagai wanita, Kaka berkata, nalurinya begitu berharap untuk melahirkan anak perempuan sebagai cahaya mata pertama. Bagaimanapun, Kaka akur, segala-galanya ketentuan Allah dan berharap kandungan serta bayi yang bakal dilahirkan nanti sihat dan sempurna.
“Jika ditanya mengenai perancangan hari hadapan, saya tidak menghalang sekiranya anak kami nanti menunjukkan minat dalam bidang seni. Saya mahu anak mengikut jejak langkah ayahnya yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pelakon iklan cilik. Tidak salah rasanya mendidik anak dari kecil supaya pandai mencari dan menyimpan duit untuk kegunaan pendidikan pada masa hadapan,” katanya.
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/05/bercinta-selepas-kahwin-juga-ada.html