Bendera One Piece Trending Di Indonesia Rupanya Ini Sebabnya
Bendera One Piece Trending Di Indonesia, Rupanya Ini Sebabnya
Menjelang sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke-80 pada 17 Ogos 2025, satu fenomena luar biasa telah mencuri perhatian ramai.
Hal ini bahkan menjadi trending di media sosial. Dalam banyak perkongsian masyarakat tempatan, dilihat bendera One Piece atau juga dikenali sebagai Jolly Roger, dikibarkan di hadapan rumah, kenderaan dan tempat awam.
https://x.com/neVerAl0nely_/status/1949270780925317288?ref_src=twsrc%5Etfw%7Ctwcamp%5Etweetembed%7Ctwterm%5E1949270780925317288%7Ctwgr%5E1372522858218c6069229ebd568c8490ab4160e8%7Ctwcon%5Es1_&ref_url=https%3A%2F%2Fthevocket.com%2Fbendera-one-piece-indonesia%2F
https://x.com/Anak__Ogi/status/1950809746702766244
Justeru, ramai yang tertanya-tanya, mengapa bendera lanun dari siri manga dan anime One Piece ini menjadi begitu popular di Indonesia menjelang hari kebangsaan mereka?
Menurut Kompas.com, seorang warga menjelaskan bahawa pemasangan bendera ini bukanlah sesuatu yang baru.
Jelasnya, sudah lama bendera ini dikibarkan sebagai tanda kekecewaan terhadap sistem politik pascareformasi yang dianggap menyimpang daripada aspirasi rakyat.
“Kami memasang bendera itu sebagai bentuk protes terhadap kebijakan pemerintah yang tidak adil,” katanya kepada Kompas.com.
Dia juga menegaskan bahawa ia bukan tindakan membenci negara, tetapi bentuk cinta terhadap tanah air yang lahir daripada keprihatinan.
“Kita tidak melawan negara, kita melawan ketidakadilan. Kritik ini adalah bentuk cinta. Kalau kita diam, kita biarkan ketidakadilan terus berlaku,” tegasnya lagi.
Di sisi lain, seorang lagi warga yang tidak mengibarkan bendera tersebut tetap menyokong simbolik tindakan itu.
Katanya, watak Luffy dalam One Piece dilihat sebagai simbol perlawanan terhadap golongan elit yang menindas.
“Luffy ingin jadi orang paling bebas di lautan. Dia lawan golongan kuat yang zalim,” jelasnya.
Tambahnya, selagi bendera Jolly Roger tidak menggantikan bendera rasmi Merah Putih dan dikibarkan bersama-sama, ia tidak sepatutnya dianggap sebagai pelanggaran undang-undang.
Apa sebenarnya maksud bendera One Piece?
Menurut laman onepiece.fandom.com seperti dilaporkan oleh Kompas.com, bendera yang dikenali sebagai Jolly Roger merupakan simbol utama bagi setiap kru lanun dalam dunia fiksyen One Piece.
Dalam versi paling popular, bendera ini menampilkan imej tengkorak manusia dengan dua tulang bersilang, iaitu reka bentuk klasik yang sering dikaitkan dengan simbol lanun.
Dalam dunia animasi One Piece, simbol Jolly Roger juga digunakan oleh watak-watak tertentu sebagai lambang penentangan terhadap kuasa yang menindas dan sistem yang tidak adil.
Tambah Kompas.com, kadangkala bendera ini juga digunakan untuk:
Menunjukkan kawasan kekuasaan sesebuah kru
Menjadi simbol perlindungan terhadap golongan lemah
Sebagai kritikan terhadap dominasi Pemerintah Dunia yang sering menyalahgunakan kuasa
Menurut Kompas.com lagi, bagi peminat tegar One Piece yang digelar Nakama, bendera ini bukan hanya simbol dalam sebuah cerita kartun.
Ia mewakili kebebasan, semangat perjuangan, persahabatan dan keberanian melawan kezaliman.
Watak utama, Monkey D. Luffy digambarkan sebagai pemimpin kru lanun Topi Jerami (Straw Hat Pirates) yang berjuang untuk menjadi manusia paling bebas di dunia, walaupun terpaksa menentang pihak berkuasa yang zalim dan kejam.
Adakah pengibaran bendera One Piece langgar undang-undang?
Tindakan mengibarkan bendera One Piece ini menimbulkan perdebatan dalam kalangan rakyat dan pengkaji dasar awam.
Riko Noviantoro, seorang penyelidik dasar, mengingatkan bahawa tindakan ini perlu dinilai mengikut Undang-Undang Nombor 24 Tahun 2009 yang mengawal penggunaan dan penghormatan terhadap simbol negara.
Jika bendera Jolly Roger dikibarkan lebih tinggi atau lebih menonjol daripada bendera rasmi Merah Putih, ia boleh dianggap sebagai pelanggaran.
Pesalah juga boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga Rp 500 juta.
“Secara prinsip, Merah Putih tidak boleh dikalahkan secara visual oleh bendera lain. Ia lambang perpaduan negara,” tegas Riko.
Tambahnya lagi, fenomena ini bukan sekadar ekspresi budaya pop, sebaliknya mencerminkan kekecewaan rakyat terhadap keadaan semasa negara.
Beliau mengaitkan situasi ini dengan simbol Garuda Indonesia Darurat yang pernah tular, juga lahir daripada rasa tidak puas hati rakyat.
“Pemerintah tidak boleh hanya melihat ini sebagai pelanggaran. Ia adalah isyarat kegelisahan rakyat dan peluang untuk memperbaiki dasar,” katanya.
BACA: Ini Perbezaan Pemain Warisan Malaysia Dengan Indonesia – Media Indonesia
BACA: Dakwa Malaysia “Claim” Budaya Pacu Jalur, Rupa-Rupanya Pemilik Akaun Rakyat Indonesia
BACA: Indonesia Dakwa Malaysia Ada ‘Harta Karun’ Bernilai
Sumber: Kompas.com (1) (2)
The post Bendera One Piece Trending Di Indonesia, Rupanya Ini Sebabnya appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/08/03/bendera-one-piece-trending-di-indonesia-rupanya-ini-sebabnya/