Beginilah Cara Yang Betul Merangsang Bayi Usia 8 Hingga 12 Bulan Belajar
Ibu bapa sekarang ramai yang semakin prihatin dan ‘advance’ dalam bab hendak merangsang anak masing-masing supaya cepat pandai. Tetapi perlu diingat ia bukan satu perlumbaan untuk membandingkan anak siapa paling pandai dan cepat belajar kerana setiap anak mempunyai tahap pencapaian yang berbeza antara satu sama lain.
Selain dari itu, papa mama juga perlu tahu apa cara rangsangan yang betul perlu dibuat mengikut usia anak. Tak semestinya kena terus ajar bayi kenal huruf ABC seawal usianya. Sebaiknya papa dan mama dahulu yang kena belajar cara betul merangsang bayi mengikut garis panduan mereka yang pakar dalam bidang perkembangan kanak-kanak.
Perkongsian Puan Ruby Atika, Ahli Terapis Pertuturan Bahasa yang berpengalaman luas dalam bidang linguistik, psikologi, perkembangan bahasa dan neuropsycholinguistik untuk bayi dan kanak-kanak patut dijadikan sebagai garis panduan berguna dalam membesarkan si manja anda.
Lagi sebulan saja lagi anak saya, Muhammad Amru Iyyadh genap 12 bulan. Kini dia 11 bulan.
Anda boleh biarkan anak membesar secara fitrahnya kanak-kanak sihat yang lain. Sememangnya kanak-kanak belajar secara spontan berdasarkan rangsangan persekitarannya.
Saya pula, selalu ajar anak orang. Takkan saya tak ajar anak sendiri pula kan?
Maka saya nak share sikit apa yang selalu saya buat dengan baby 11 bulan yang bulat ni.
1) Saya ajar tiru isyarat mudah seperti tepuk tangan, bye bye, cekur udang gamit, habis, aum cak.
2) Saya galakkan tumpuan bersama dan interaksi dua hala.
Contoh: Saya ikut suara dia. Bila dia sebut “nanana” saya pun sebut “nanana”.
Contoh: Saya pejam celik mata, pandang dia dan tunggu. Bila dia pula pejam celik, saya puji dan seterusnya giliran saya pula pejam celik.
3) Saya ajar dia tunjuk dengan jari telunjuk. Tunjuk apa saja. “Tu….bulan.” Kemudian dia tiru tunjuk apa yang saya tunjuk. Sebelum ni jika saya tunjuk, dia melihat jari saya. Bukan pada benda yang saya maksudkan. Sekarang dia dah faham.
4) Saya ajar dia kenal anggota badan. Tapi sekali ajar hanya sebut 1 bahagian saja. Contohnya kalau hari ni ajar “hidung”, maka semuanya cerita pasal hidung. Dia juga kena tunjuk dengan jari telunjuk ke arah hidung abangnya atau hidung saya.
5) Saya ajar main benda ikut fungsi seperti telefon di telinga, cawan untuk minum, sudu untuk suap makan, bola untuk baling, kereta untuk tolak dan sebagainya.
6) Saya sebut segala apa yang saya buat, “Ummi buka pintu, ummi pakai kasut, Iyyadh ikut ummi, jom!”.
7) Saya sebut segala apa yang dia sedang lihat, pegang dan lakukan.
8) Disebabkan dia dah boleh berjalan, saya ajar dia cari abang-abang dia yang menyorok. Tapi kalau saya yang menyorok, dia masih menangis ingat saya nak tinggalkan dia….
9) Saya letak benda dalam plastik, kotak tisu lama atau balang kuih, dan biar dia sibuk fikir nak keluarkan benda tu.
Banyak lagi sebenarnya. Ni yang saya terfikir buat masa ni. Saya yakin anda juga ada mengajar anak anda dengan cara masing-masing.
Saya tak ajar ABC 123 hinggalah anak saya cecah usia 4 tahun.
Saya juga tak ajar anak tengok tv walaupun program pendidikan.
Saya tak beli mainan mahal untuk anak saya. Mainan mahal saya belikan untuk kelas terapi saya saja.
Jika anak anda telah berusia 2 tahun dan masih tidak bercakap seperti rakan sebaya, bawalah jumpa speech therapist terdekat.
Sumber: Ruby Speech Therapy
The post Beginilah Cara Yang Betul Merangsang Bayi Usia 8 Hingga 12 Bulan Belajar appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/beginilah-cara-yang-betul-merangsang-bayi-usia-8-hingga-12-bulan-belajar-2/