Bayi Menendang Dalam Perut Bukan Saja Saja Ada Fakta Menarik Tentang Si Manja Di Alam Rahim
Ibu hamil terutamanya yang baru pertama kali mengandung pasti teruja ingin merasai pergerakan bayi dalam kandungan, kan?
Ia merupakan satu fenomena biologi yang biasa berlaku di antara minggu ke-18 hingga 22 kehamilan.
Apabila kandungan sudah mencecah trimester ketiga, para ibu akan diajar bagaimana cara untuk mengira pergerakan bayi bagi memantau tahap kesihatan mereka secara am.
Walaupun topik ini seakan-akan mudah dan tidak banyak perkara berkait dengannya, namun ada beberapa fakta menarik yang mungkin anda tidak tahu.
Teruskan membaca.
#1 Anda mungkin terlepas pergerakan pertama bayi di dalam kandungan
Sukar untuk si ibu, terutamanya mereka yang baru pertama kali hamil, hendak mengetahui bagaimana rasa bayi bergerak di dalam kandungan.
Tendangan pertama mereka tak membuatkan anda sakit dan ia juga tidak sekuat mana.
Kebanyakan ibu menerangkan pengalaman merasai pergerakan bayi seperti keadaan perut ketika anda berasa resah.
Ia subjektif dan tidak sama bagi setiap wanita mengandung.
Walau bagaimanapun, pergerakan tersebut akan lebih kuat apabila tangan dan kaki janin sudah terbentuk dengan baik (anggaran minggu ke 21 kehamilan).
#2 Pergerakan bayi hanya bermula pada trimester kedua
Jangan ditunggu bayi anda bergerak sekiranya anda baru sahaja didiagnosis dengan kehamilan.
Seperti yang anda sedia maklum, pergerakan bayi dalam kandungan boleh dirasai oleh ibu seawal 18 minggu.
Namun, setiap wanita mempunyai pengalaman yang berbeza.
Kebarangkalian untuk anda merasai pergerakan bayi bergantung kepada saiz janin.
Semakin bertambah minggu kehamilan, semakin keraplah anda akan merasai pergerakan janin.
#3 Bayi bergerak 3 hari sekali
Pergerakan si manja di trimester kedua sukar untuk diramal.
Kadangkala si ibu hanya merasa pergerakan sekali dalam 3 hari.
Usah risau kerana ia perkara normal. Pada fasa awal kehamilan, saiz janin masih kecil dan ruang rahim besar.
Pergerakan mereka sukar untuk dirasai berbanding dengan janin yang sudah besar pada fasa lewat kehamilan.
Anda akan merasai pergerakan yang lebih kerap kelak.
#4 Bayi bukan sekadar “tendang” sahaja
Mereka juga boleh menumbuk, berpusing dan mengeliat.
Sebarang pergerakan yang dirasai oleh ibu bukan sekadar tendangan semata-mata. Oleh sebab itulah terdapat perbezaan pada intensiti.
Perkara tersebut boleh berlaku ketika bayi anda tersedu. Jangan risau, ia tidak berbahaya kepada bayi di dalam kandungan.
#5 Waktu aktif bayi bergerak dalam kandungan
Apabila anda sudah sampai ke satu fasa, anda akan sedar si manja mempunyai kecenderungan untuk aktif pada masa tertentu.
Faktor seperti keresahan dan pengambilan snek juga boleh menyebabkan pergerakan mereka berlaku lebih kerap.
Pergerakan mereka mudah untuk dirasai terutamanya pada waktu malam apabila anda sedang berehat.
#6 Jika mereka tidak bergerak, maknanya mereka sedang tidur
Apabila anda berada dalam trimester ketiga, jika bayi anda tidak bergerak tidak bermaksud terdapat masalah di sebaliknya.
Bayi anda mungkin sedang tidur.
Terdapat juga wanita yang melaporkan bahawa pergerakan bayi terhenti selepas mereka melakukan hubungan seks.
Ayunan pergerakan dan kontraksi yang berlaku semasa orgasme boleh menjadi pencetus kepada dodoian bayi dalam kandungan.
#7 Pergerakan anda boleh melegakan rasa tidak selesa ‘ditendang’ anak
Jika anda berada dalam trimester kedua, pergerakan anak selalunya tidak mendatangkan sebarang rasa tidak selesa.
Almaklumlah, mereka masih lagi kecil.
Namun, apabila mereka semakin besar, tumbukan, sepakan dan tarian yang berlaku boleh menyebabkan rasa tidak selesa kepada ibu hamil.
Jika perkara ini berlaku, cuba tukar kedudukan anda. Kalau anda sedang berdiri, cuba duduk.
Pada kebanyakan masa, pergerakan bayi terhenti seketika.
#8 Meh kacau anak dengan sedikit minuman bergula
Pengambilan makanan atau minuman yang boleh meningkatkan gula dalam darah boleh mencetuskan pergerakan bayi.
Ia merupakan satu trick yang anda boleh amalkan sekiranya rindu akan pergerakan anak kelak.
Namun, jangan berlebih-lebih pula ambil minuman bergula. Ia boleh menjejaskan kesihatan anda.
#9 Kiraan pergerakan bayi hanya dibuat apabila anda sudah mencecah trimester ketiga
Walaupun pergerakan dirasai pada trimester kedua, ia hanya perlu dikira apabila kandungan anda mencecah usia 28 minggu.
Berbeza dengan tendangan, kiraan pergerakan adalah lebih mudah namun ia agak leceh.
10 pergerakan perlu ada dalam masa 1 jam. Jika tidak cukup, cuba ambil minuman bergula.
Anda hanya perlu risau sekiranya pergerakan bayi anda kurang daripada 10 dalam masa 2 jam.
Di Malaysia, kebanyakan kiraan berfokus kepada tendangan bayi. 10 tendangan (pergerakan kuat) perlu dirasai dalam masa 12 jam.
Konklusi
Pergerakan bayi merupakan aspek penting dalam pemantauan tahap kesihatan janin terutamanya pada fasa lewat kehamilan.
Di Malaysia, fokus kepada aspek penjagaan tersebut tertumpu kepada carta pergerakan yang perlu direkodkan oleh ibu hamil.
Jika terdapat kekeliruan, rujuk doktor untuk khidmat nasihat perubatan.
Sumber: Hello Doktor
The post Bayi Menendang Dalam Perut Bukan Saja-saja! Ada Fakta Menarik Tentang Si Manja Di Alam Rahim appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/bayi-menendang-dalam-perut-bukan-saja-saja-ada-fakta-menarik-tentang-si-manja-di-alam-rahim/