Bapa Chempaka Alara Terkilan Tak Sempat Peluk Buat Kali Terakhir
Suasana hiba menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) apabila seorang bapa rebah dalam tangisan selepas memeluk dan mencium jenazah anak tunggalnya, Chempaka Alara Azizi, sejurus selesai proses bedah siasat pada Isnin.
Chempaka Alara, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, meninggal dunia dalam satu kemalangan tragis yang berlaku di Kilometer 142 Jalan Keratong–Bahau, Muadzam Shah, pada petang Ahad. Ibunya, Amelia Kartika Mappatata, 32, turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di HTAA.

Bapanya, Azizi Abd Karim, yang bekerja sebagai jurulatih renang berkata dia sempat berhubung dengan anak dan isterinya hanya lima minit sebelum kejadian melalui panggilan video.
“Itu kali terakhir saya lihat wajah ceria Bunga, dia sempat luahkan rindu. Tak sangka itulah perbualan terakhir kami,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita.
Menurut Azizi, beliau kali terakhir bertemu secara fizikal dengan anaknya pada pagi Khamis, sebelum isteri dan anaknya bertolak ke Melaka untuk menghadiri majlis kenduri rakan. Mereka dijadualkan pulang ke Kuantan pada Ahad, namun takdir berkata sebaliknya.
“Saya rasa sangat terkilan, saya tak sempat peluk dia sebelum mereka pergi. Masa panggilan video tu, saya cuma sempat kata ‘sabar, ayah nak datang ambil Bunga nanti kita jumpa’,” tambahnya.
Dalam tragedi berkenaan, tiga individu dilaporkan maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Mereka ialah pemandu kereta, Aida Asmalia Abu Samah, 46; penumpang, Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18; serta Chempaka Alara.
Tiga lagi penumpang termasuk ibu Chempaka, Amelia Kartika; anak pemandu, Adam Wafiy Muqri Jaslihardi, 14; dan adik kepada Siti Auni Syafiqa, Siti Adawiya Syauqina, 13; mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital sama.
Menurut laporan, kemalangan berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Alor Gajah, Melaka selepas menghadiri satu majlis perkahwinan.
Jenazah Chempaka Alara telah dituntut oleh keluarganya sekitar jam 1 petang selepas selesai proses bedah siasat. Jenazah dibawa ke Masjid Taman Taman untuk dimandi dan dikafankan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Lapan, Jalan Kuantan–Gambang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/bapa-chempaka-alara-terkilan-tak-sempat-peluk-buat-kali-terakhir/