Bantu Pengguna Jalan Raya Secara Percuma
Yusmizal Dolah Aling
JABATAN Amal Malaysia (JAM) Selangor akan meneruskan inisiatif membantu pengguna jalan raya yang menghadapi masalah ketika pulang berhari raya dari kampung halaman pada masa depan.
Ini kerana dalam program khidmat percuma yang diadakan selama empat hari berakhir Selasa lalu, pelbagai pengalaman diraih unit berkenaan sewaktu melakukan rondaan sukarela di sempadan Selangor di Lebuhraya Utara-Selatan serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
Pengarah JAM Selangor Shehdi Hazrik Shamsudin berkata, seramai 20 pemilik kenderaan dibantu pihaknya sepanjang tempoh berkenaan termasuk yang mengalami kerosakan dan perlu ditunda ke bengkel.
Katanya, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai perlindungan insuran yang cukup menyebabkan terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar kos tunda dan memperbaiki kenderaan.
“Idea membantu masyarakat ini timbul daripada rakan-rakan JAM dari seluruh negara mengaktifkan bantuan secara tidak langsung kepada pengguna jalan raya yang pulang dari kampung.
“Saya dibantu 20 orang anggota dengan tiga daripadanya adalah mekanik yang mempunyai pengalaman membaiki kerosakan kecil. Alhamdulillah ini sangat membantu dan kita berpuas hati dapat menyumbang kepada masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.
Shehdi Hazrik berkata, selain itu, pihaknya turut menemani pengguna jalan raya yang menunggu trak penunda sampai kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku, terutama ketika aliran trafik sesak menuju ke Lembah Klang minggu lalu.
“Masalah paling banyak ialah tayar pancit, brek haus serta radiator bocor.
“Usaha mereka turut tular di media sosial dan mendapat pujian netizen yang berterima kasih atas usaha sukarela dijalankan mereka yang bermula 8 Jun lalu itu.
“Insya-Allah kita akan teruskan pada masa depan, mungkin beberapa perkara dapat ditambah baik demi untuk membantu pengguna. Ia adalah peranan semua pihak dan JAM tidak mahu ketinggalan menyumbang bakti.
“Ini adalah permulaan baik kepada JAM selain daripada program bersama masyarakat yang lain. Musim perayaan adalah waktu puncak kenderaan di lebuh raya, jadi mana-mana bantuan yang boleh diusahakan, pasti akan membantu orang ramai,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/bantu-pengguna-jalan-raya-secara-percuma.html