Bank Bersekongkol Bersama Pembida Penipu
Sepasang suami isteri warga emas menerima nasib malang apabila diarah mengosongkan kediaman mereka, Selasa lalu selepas hartanah itu dilelong tanpa pengetahuan mereka.
Warga emas itu mendakwa dianiaya dan ditipu pihak pembiaya apabila banglo miliknya berkeluasan kira-kira 3,500 kaki persegi sewenang-wenangnya dijual kepada pemilik baharu dengan harga RM1.44 juta.
Akibatnya, pesara kerajaan yang mahu dikenali sebagai Asmah, 64, berkata, mereka sekeluarga kini hidup dalam keadaan tertekan pada kala umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Kami sedih tidak tahu hendak ke mana, tambahan lagi raya akan tiba tidak lama lagi.
“Hidup kami tertekan selain terpaksa menanggung malu untuk berdepan dengan orang sekeliling yang sering bertanya tentang rumah kami yang kena lelong,” katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) di sini.
Asmah mempertikaikan lelongan kediamannya yang terletak di Seksyen 4, Shah Alam, Selangor itu tidak mengikut prosedur sebenar.
“Bank begitu kejam bersekongkol dengan pembida menipu warga emas macam saya.“Mereka melelong rumah saya tanpa pengetahuan saya, malah lelongan berlaku di Mahkamah Jalan Duta yang sepatutnya proses itu dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).“Lebih menghairankan kenapa ketika proses lelongan itu berlangsung hanya seorang pembida saja datang dan dia mampu membayar jumlah harga lelongan itu secara tunai tanpa sebarang pinjaman,” katanya yang memohon Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat pembeli terbabit.
Dakwa warga emas itu, mereka mengesyaki banyak kelompangan berlaku sepanjang tempoh pihak pembiaya mengendalikan kes hartanah mereka.
“Selama ini, kami tidak pernah culas bayar bulanan, tetapi cuma beberapa bulan apabila saya mengalami masalah perniagaan pada pertengahan 2017.
“Bukan saya tidak bekerjasama langsung dengan pihak bank, malah selama ini mereka menaikkan bayaran bulanan dua hingga tiga kali ganda sekali pun kami tetap bayar saja.
“Sudah tiga kali juga saya turun naik Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.
Asmah berkata, ‘keingkarannya’ tidak hadir ke mahkamah awal Januari lalu dijadikan modal pihak pembiaya melelong hartanah mereka.
“Apa yang mencurigakan seolah-olah wujud pakatan dengan peguam supaya tidak menghantar notis pemberitahuan hadir ke mahkamah, 7 Januari lalu bagi prosiding perbicaraan keempat sedangkan saya ada di rumah sepanjang masa.
“Saya ada berunding dengan pihak bank yang terletak di Jalan Pudu, tetapi mereka menutup peluang rundingan dan berkeras mahu kami menjelaskan keseluruhan RM200,000 itu jika tidak pinjaman terbatal dan rumah akan dilelong.
“Ini cara kotor dan kejam, saya harap pihak berkuasa siasat pegawai bank itu kerana syak mereka sengaja menganiaya saya walaupun pemeriksaan lanjut dengan PTG mendapati geran hartanah itu masih atas nama saya dan anak,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, mereka menerima surat arahan pengosongan rumah Selasa lalu, tetapi sampai sekarang tidak berganjak kerana tidak tahu di mana mahu berteduh.
“Kami sudah duduk sini sejak 15 tahun lalu. Waktu itu rumah ini dibeli dengan harga RM850,000 dengan bayaran RM8,000 sebulan.
“Lebih mengecewakan apabila rumah saya ini sewenang-wenangnya dijual pada harga RM1 juta sedangkan nilai pasaran sebenar RM3 juta,” katanya.
HMETRO
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://bankami.blogspot.com/2019/05/bank-bersekongkol-bersama-pembida-penipu.html