Bajet Kedah 2019 Jangan Tiru Bajet Guan Eng
1. Riuh-rendah diperkatakan tentang Bajet 2019 yang dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, khususnya peminjam PTPTN dari golongan muda yang masih tercari-cari peluang kerja dicelah "1 juta" pekerjaan baharu dan selain mahasiswa yang "biru" mukanya mengenangkan "ceti" sedang menunggu mereka sejurus menerima gaji pertama. Peluang kerja samar-samar entah di mana, konon mampu sediakan 1 juta peluang kerja, tapi puluhan ribu pula yang hilang kerja gara-gara Kerajaan Baharu. Baru saja hendak "bernyawa" menerima gaji pertama, belum sempat belanja ibu ayah, gaji sudah dipotong untuk bayaran balik PTPTN. Bagi yang bukan graduan, gaji minimum bukan RM1,500 sebagaimana yang dijanji PH sebelum mengundi, tapi hanya RM1,100 saja. Makan "capati" sajalah anak-anak muda kita... 2. Ada pula yang memuji peruntukan sebanyak RM75 juta untuk sekolah tahfiz dan pondok berdaftar, biarpun inisiatif Kerajaan BN terdahulu memberikan peruntukan lebih banyak, RM110 juta, dan penyelengaraan pendawaian elektrik yang menekankan aspek keselamatan pelajar, termasuk yang belum berdaftar sebelum ini seolah dipandang sepi. Yang peliknya, tiba-tiba saja ada peruntukan yang tidak berkaitan kepada pihak "persendirian", tapi Menteri Kewangan umum peruntukan "wang rakyat" untuk mereka? Dengan peruntukan yang sama jumlahnya, apakah jumlah bilangan sekolah agama, tahfiz dan pondok itu sama dengan SRJKC dan sekolah persendirian berteraskan kaum itu? Adilkah? Bagaimana dengan nasib sekolah luar bandar di negeri Kedah? 3. Lebih mengundang persoalan ialah tentang nasib para petani, pesawah, penternak dan nelayan yang langsung tidak disebut oleh Setiausaha Agung DAP itu, seolah segala jerih payah mereka bersabung nyawa dan bekorban tenaga untuk memastikan negara ini tidak kelaparan terputus bekalan makanan. Paling merisaukan ialah difahamkan banyak subsidi sektor pertanian yang dipotong termasuk baja dan pengeluaran padi, insentif dan elaun sara hidup nelayan. 4. Menggelikan hati, subsidi minyak bersasar yang dicanang serata dunia sebelum ini rupa-rupanya berasaskan kuasa CC kenderaan, 1.5cc ke bawah diberikan peruntukan 100 liter RON95 sebulan, manakala motorsikal 125cc menerima 40 liter sebulan. Tidakkah Menteri Kewangan tahu bahawa terdapat banyak kenderaan mewah turut terangkum di bawah 1.5cc dan dua kali isi penuh Perodua Viva saja sudah hampir habis subsidi minyak yang diperuntukkan. 5. Apa yang membimbangkan Kak Su dan majoriti rakyat adalah tentang kedudukan ekonomi negara yang belum berubah ke arah positif. Kadar Ringgit yang dikatakan akan naik jika Dato' Seri Najib jatuh menjadi sebaliknya apabila semakin merudum akibat retorik "hutang trilion" yang tidak pernah wujud. Unjuran ekonomi negara merosot di bawah 5%, manakala defisit fiskal meningkat dari 2.8% kepada 3.7%. Hutang sebenar negara RM686 bilion menokok kepada lebih RM725 bilion dalam tempoh beberapa bulan saja? 6. Pendapatan negara yang merosot teruk telah menyebabkan banyak peruntukan kementerian dipotong dengan banyak, sekaligus membantut pembangunan negara dan kebajikan rakyat. Begitu banyak peruntukan yang diberikan Kerajaan BN kepada rakyat "hilang", tidak lagi dinikmati. Apakah keadaan ini akan meyakinkan pelabur dalam dan luar negara? Padanlah makin ramai pelabur yang ragu dan "lari" ke negara jiran. Inikah ekonomi Malaysia Baharu? Inikah GuanEngomic??? 7. Kononnya rakyat khususnya orang Melayu dan golongan berpendapatan rendah tidak perlukan "tongkat"? Tidakkah mereka rasai sendiri denyut nadi rakyat di bawah sana yang merintih akibat kenaikan kos sara hidup? Setiap kali musim tengkujuh dan bencana, kepada siapakah harapan mereka jika bukan kerajaan? Bagaimana keperluan belanja anak waktu buka sekolah di awal tahun? Kepada siapakah mereka akan mengadu dan mengharap bantuan? 8. Kerajaan PH seolah lupa bahawa amanah yang diberikan rakyat itu menagih janji dan memastikan kebajikan mereka lebih terbela. Malah jika diteliti, Bajet 2019 yang dibentang Lim Guan Eng itu amat kurang memberi manfaat kebajikan kepada rakyat Kedah secara keseluruhan, namun tertumpu kepada golongan kapitalis tertentu. Walaupun perit, namun hakikat itulah yang perlu kita rakyat bawahan hadapi. 9. Justeru itu, bersempena Bajet Kedah 2019, kita rakyat Kedah mengharapkan Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir lebih prihatin menyelami denyut nadi takyat Kedah dengan mengumumkan pelbagai inisiatif terhadap kebajikan, tidak sebagaimana yang dibentangkan Lim Guan Eng. Kerajaan bukanlah sebuah entiti perniagaan yang mencari keuntungan, sebaliknya diberi tanggungjawab berkonsepkan kebajikan kepada rakyatnya. 10. Bajet Kedah 2019 harus mengutamakan pengisian yang memanfaatkan rakyat, bukan terikut-ikut dengan Bajet Guan Eng 2019. Keadaan geopolitik dan sosio-ekonomi yang berbeza memerlukan kebijaksanaa Kerajaan Negeri untuk memikirkan pembaharuan yang lebih dinamik, kreatif dan agresif, bersesuaian dengan budaya orang Kedah yang dahagakan pembangunan untuk masa depan Jelapang Padi Kedah yang lebih baik, bukan jelapang padi di Kemboja. Kak Su (Datuk Suraya Yaacob)
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah
Ketua UMNO Bahagian Pendang
Adun Sungai Tiang
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://taipingmali.blogspot.com/2018/11/bajet-kedah-2019-jangan-tiru-bajet-guan.html