Bahana Manipulasi Media
Secangkir kopi 13
Media memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan masyarakat. Sebagai alat komunikasi, penyebaran maklumat dan pendidikan, peranan yang dimainkan media juga berubah seiring dengan perkembangan teknologi global.
Media sosial sebagai salah satu media baharu pada era Revolusi Industri 4.0, menjadi platform sesebuah media menjalankan aktiviti sosial dan politik.
Peiren Shao dan Yun Wang dalam kajiannya yang bertajuk “How does social media change Chinese political culture? The formation of fragmentized public sphere”, menyatakan bahawa perubahan berpolitik merupakan impak daripada sistem demokrasi memerlukan peranan media sebagai salah satu sarana untuk perbincangan umum. Media sosial merupakan media yang bebas untuk melakukan segala bentuk perbincangan awam. Media sosial juga tidak dipengaruhi oleh kerajaan mahupun pemerintah yang berkuasa. Oleh itu, segala bentuk perbincangan kritikal, perkongsian maklumat, komunikasi dengan orang lain, boleh dilakukan.
Rangkaian media sosial telah membentuk gerakan sosial. Dengan sifatnya yang lebih interaktif, media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram dan Line merupakan media sosial yang popular digunakan dalam membentuk gerakan sosial. Isu-isu seperti akademik, politik, ekonomi, hukum, agama dan rasuah merupakan isu-isu yang paling mempengaruhi. Di samping itu, menjadi medan luahan emosi, kecewa, gembira mengadu nasib dan meraih simpati.
Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih, demikian menurut Hootsuite and We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019.
Laporan itu menyebut, penembusan Internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus, dengan pengguna menghabiskan masa purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian.
Populariti media sosial ini tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak. Hebahan berita-berita sensasi menjadikan media sosial sebagai satu medium perantaraan yang sangat digemari oleh rakyat Malaysia khususnya generasi muda dan remaja.
Tinjauan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2018 mendapati 96.5% rakyat Malaysia menjadikan media sosial sebagai alat komunikasi, 85.5% bagi mendapatkan maklumat dan berita. Manakala 97.3% menjadikan Facebook sebagai media sosial pilihan, diikuti Instagram 57.0% dan Youtube 48.3%. Dalam konteks aplikasi pilihan, 98.1% menggunakan aplikasi WhatsApp dan 25.0% menggunakan Telegram.
Menurut satu kajian walaupun media sosial telah menjadi alat yang berkesan untuk berkongsi maklumat, media sosial juga telah disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah dan maklumat salah. Jika diperhatikan melalui perkembangan media sosial di Malaysia, kadar celik politik masih rendah kerana perbincangan di laman sesawang hanya tertumpu pada hal-hal peribadi, fitnah antara satu pihak dan pihak yang lain serta memanipulasi fakta yang betul.
Media sosial boleh dijadikan sebagai medium bagi penyebaran ilmu dan dakwah, kecenderungan generasi muda khususnya mahasiswa dan pelajar menjadikan media sosial sebagai rujukan menunjukkan jika media sosial dimanfaatkan sebaiknya banyak kebaikan yang diperolehi dengan mudah dan cepat.
Dr Zakir Abdul Karim Naik atau lebih dikenali dengan Dr Zakir Naik seorang ilmuan dan pakar dalam bidang Perbandingan Agama antara individu yang memanfaatkan media sosial sebagai platform menyebarkan dakwah. Beliau melakukan ceramah dan diskusi ilmiah berkaitan perbandingan agama dan dimuat turun ke media sosial, sehingga sesi ceramah beliau mampu menarik sehingga 12 juta tontonan di Youtube dari seluruh dunia. Ini menunjukkan media sosial cukup berpengaruh dan berperanan dalam penyebaran ilmu dan dakwah.
Kepetahan dan kelunakan laras bahasa yang digunakan ketika berhujah telah menyebabkan ramai orang bukan Islam tertarik dengan Islam dan mengucap dua kalimah syahadah. Apa yang menyedihkan melalui media sosial juga beliau dimanipulasikan sebagai seorang Pengganas yang mempromosikan keganasan. Pada tahun 2017 kerajaan India telah meminta kerajaan Malaysia mengekstradisi beliau ke sana.
Kerajaan Barisan Nasional dahulu telah mengambil pendirian dan penegasan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India. Keputusan ini telah dibuat setelah meneliti semua video dan transkrip teks ucapan beliau, tetapi tidak ada satu pun ucapan beliau menggalakkan keganasan.
Terima kasih Kerajaan kerana meneruskan pendirian Kerajaan BN untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India. Harapan rakyat, semoga pendirian kerajaan tidak berubah dek kerana ada suara-suara penentangan kalangan pimpinan PH sendiri yang tidak berpuas hati dengan pendirian yang dibuat.
Sewajarnya apapun keputusan yang diambil keutamaannya adalah untuk kemaslahatan umat Islam.
Iktibar dari Peperangan al-Ahzab atau Khandak (Syawal 5 Hijrah) boleh dijadikan panduan bagi mengesahkan sesuatu berita yang diperolehi terutamanya berita daripada media sosial. Rasulullah SAW ketika berada di saat getir berhadapan dengan komplot dan pembelotan dalaman daripada Yahudi Bani Quraizah telah menghantar Az Zubair bin Al’ Awwan untuk mengintip dan memberikan laporan. Bagi mengesahkan laporan tersebut Rasulullah SAW menghantar pula empat orang sahabat sebagai skuad penyiasat. Akhirnya setelah terbukti kebenaran pembelotan tersebut berlaku barulah tindakan dan serangan dilakukan. Semua ini dilakukan atas konsep tabayyun dan mengelak berlakunya manipulasi fakta.
UMNO perlu memanfaatkan sepenuhnya media sosial sebagai alat untuk membentuk gerakan sosial, bukan sekadar platform mendapatkan maklumat tetapi mampu mempengaruhi, meneutral dan mempositif pola fikir pengguna media sosial. Kita kembalikan peranan media sosial sebagai medium penyebaran fakta bukan auta, penyatu bukan pemecah, penyelamat bukan pemusnah dan yang paling penting konsep tabayyun diutamakan bagi mengelak bahana manipulasi media yang memberikan impak negatif kepada UMNO dan politik tanah air.
AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/06/21/bahana-manipulasi-media/