Bagaimana Kita Harus Menjayakan Keluarga Malaysia
Selamat Hari Raya.
Setelah kita bermaaf-maafan di hari raya, izinkan saya menyentuh saku anda yang sekarang ini ternyata telah kosong kerana wangnya telah habis dibelanjakan.
Yang tinggal mungkin duit raya yang diterima anak-anak, sedikit wang yang disimpan isteri dan baki kecil di bank sebelum gaji bulan Mei masuk.
Begitulah keadaan kewangan anda sekarang yang menjadi contoh menyeluruh kepada berpuluh ribu, malah mungkin berjuta rakyat di Malaysia sekarang.
Ungkapan “habis bulan, habis gaji” agak kurang tepat kerana bulan Mei yang masih di minggu pertama ini, wang gajinya sudah habis, dibelanja untuk beraya.
Kata orang utara, “raya sakan” kerana dua tahun yang lalu, kita tidak dapat beraya dengan sempurna.
Pulang ke KL
Bagaimana nak pulang ke KL atau ke Lembah Klang? Harga petrol dah melambung tinggi. Dulu cuma RM1.30 seliter, sekarang RM3.80.
Kalau terkena “traffic jam” di lebuh raya, lebih banyak lagi penggunaan petrol. Duit tol lagi nak dibayar, sedangkan kereta “Proton Preve” buatan tempatan anda ini sudah pun berusia tujuh tahun. Baru saja habis bayaran ansuran dua bulan lepas, setelah berhempas pulas selama tujuh tahun membayar duit pinjaman bank.
Sedikit kelegaan terasa dan tercapai. Tetapi, wang lebihan dua bulan ansuran kereta itu sekarang telah dibelanjakan untuk pulang beraya di kampung, menjenguk ibu dan bapa mertua yang tersendiri dan kesepian lebih dua tahun.
Rasanya belanja untuk bulan Mei ini agak tersangkut sedikit dan terpaksa meminjam pula.
Tujuh tahun dulu, anak-anak masih kecil. Sekarang mereka sudah membesar, 16 tahun, 13 tahun dan 10 tahun. Belanja mereka turut meningkat.
Budaya konsumer
Ketika pulang ke utara tempoh hari, dalam keadaan trafik yang panjang dan sesak, anak yang berumur 16 tahun itu bersuara: “Dah tiba masa ayah tukar kereta.”
Dia cadangkan Proton X70, lebih tinggi, lebih selamat dan lebih selesa bila pulang beraya di desa. Tetapi. anda cuma terdiam kerana untuk itu, anda sememangnya tidak mampu.
Dalam benak anda, seperti anda berkata-kata: “Inilah hasil pelajaran yang mereka dapat di sekolah. Budaya konsumer…atau berfikiran ke arah material semata-mata…mereka mahu yang canggih sahaja…telefon canggih, kereta canggih, ‘handbag’ yang berjenama serta kasut dan pakaian yang berjenama semuanya.”
Sambil anda melayani fikiran tersendiri di belakang stereng kereta, anda merenung kembali sejarah pekerjaan anda yang hampir merentasi 20 tahun lamanya.
Setelah tamat universiti dengan hanya diploma jurusan kejuruteraan jentera, anda diambil bekerja dengan gaji awalan sebanyak RM1,500 sebulan.
Setelah berpindah pekerjaan sebanyak dua kali dengan hampir sembilan tahun pengalaman, anda baru berupaya mendapat gaji satu kali ganda atau RM3,000 sebulan.
Ini bermakna, kenaikan purata tangga gaji anda cuma sebanyak RM150 setahun dan untuk tempoh hampir sepuluh tahun itu, cuma kenaikan sebanyak 6% setahun.
Kenaikan sebegini tidak bermaya, tidak bisa melawan inflasi dan memberi kebahagiaan kepada status keluarga yang anda “terjerat” ke dalamnya beberapa tahun kemudian.
Dengan kedatangan anak pertama anda, 16 tahun yang lalu, tanggungan anda juga meningkat. Isteri anda yang bertugas sebagai “cashier supermarket” terpaksa berhenti kerja demi menjaga anak kesayangan.
Sekolah muzik
Gaji kecil tidak memberi banyak peluang dan menjadikan gaya hidup anda amat sederhana di Lembah Klang. Banyak kesulitan yang anda tempuhi serta banyak juga kegemaran anda yang tidak dapat dipenuhi.
Contohnya, anda berminat dengan muzik dan menjadi impian anda untuk memberi latihan muzik kepada anak-anak anda. Tetapi, ini tidak pernah tercapai kerana anda sentiasa kekurangan wang. Sekolah mereka tidak mengajar muzik.
Walaupun pendapatan tetap bulanan itu pasti ada, tetapi perbelanjaan tetap seperti sewa rumah, ansuran kereta, belanja petrol untuk ke tempat kerja, duit tol, “parking” dan makan harian tidak dapat dielakkan.
Mungkin tuah anak pertama, anda dinaikkan pangkat daripada eksekutif kepada penolong pengurus, dengan sedikit kenaikan gaji.
Beserta wang simpanan dan pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), anda berjaya membeli sebuah rumah pangsa dua kamar tidur yang lokasinya tidak jauh dari tempat anda bekerja. Tetapi, bayaran bulanan untuk rumah ini melebihi separuh pendapatan bulanan anda.
Sebagai langkah penjimatan, anda terpaksa menjual kereta Kancil anda ketika itu dan menggantikannya dengan sebuah motosikal untuk ke tempat kerja.
Dengan pemilikan rumah, perbelanjaan rumah juga meningkat. Bil elektrik, air dan gas, bayaran pengurusan dan peralatan rumah serta perbelanjaan sekolah anak-anak juga adalah tanggungan yang pasti setiap bulan.
Sedangkan kegemaran anda terhadap muzik dan budaya Melayu lenyap sama sekali dan tinggal angan-angan sahaja.
Daripada B40 kepada M40
Namun sekarang, dengan kedudukan jawatan sebagai pengurus, tangga gaji sebanyak RM6,500 sebulan, dengan isteri dan tiga anak remaja, di sebuah rumah pangsa milik sendiri, dengan sebuah kereta sederhana, pendapatan bulanan masih tidak mencukupi.
Walaupun status anda telah beralih daripada kategori B40 kepada M40, ternyata keadaan dan masalah yang anda hadapi, tetap sama dan tidak banyak berubah.
Anak-anak anda tidak mendapat peluang seperti yang anda impikan. Anda mahukan mereka bersukan contohnya, tetapi di sekolah mereka tiada peralatan yang baik.
Jauh sekali kolam renang seperti yang anda lihat di sekolah “private” yang dinikmati oleh anak-anak ketua eksekutif syarikat, di mana anda berkhidmat itu.
Anda sering juga bertanya; Kenapa golongan B40 dan M40 tidak mendapat kemudahan yang sama?
Tetapi, ini sebenarnya persoalan politik, yang mana anda, dulunya, tidak begitu prihatin. Anda pernah berfikir politik itu tidak melibatkan kehidupan anda.
Tetapi sekarang, anda dapat melihat dengan jelas hubungan politik itu ke atas pendapatan, kehidupan dan gaya hidup masyarakat di sekeliling anda.
Kemudahan asas di sekolah
Alangkah baiknya sekira anak pertama anda dilatih dalam bidang muzik, anak kedua di arena bola sepak dan anak ketiga yang perempuan itu dalam bidang seni tari dan budaya atau ahli gimnastik?
Dengan kaedah sebegini, mereka tidak akan terperangkap dan diselubungi keperitan hidup dan keadaan tidak wajar itu. Atau dalam erti sebenar, kemampuan anda yang terhad itu tidak akan memerangkap mereka ke arah kemiskinan yang jitu.
Ini adalah paling tidak adil. Tidak adil lagi apabila anda membaca berita bahawa wang negara yang begitu banyak telah dihabiskan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berbelanja sesuka hati mereka melalui projek-projek GLC atau dalam syarikat milik negara itu.
Alangkah baiknya sekiranya kerajaan bersikap lebih bertanggungjawab dan menyalurkan wang negara tersebut untuk membina kemudahan asas untuk sekolah-sekolah.
Kemudahan asas seperti kolam renang, gimnasium, trek sukan dan padang bola untuk memberi kemudahan asas kepada semua pelajar, tidak kira mereka golongan B40, M40 atau T20.
Sebenarnya inilah yang diperlukan oleh Keluarga Malaysia demi memberi mereka peluang sama rata, tanpa sebarang sekatan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/05/bagaimana-kita-harus-menjayakan.html