Asyraf Mengharapkan Muhyiddin Bersatu Pulang Ke Gagang Umno
Sudah  sampai waktunya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan parti pimpinannya  Bersatu 'pulang ke gagang' Umno, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi  Dusuki.
"Demi mengelakkan penyatuan ummah menjadi retorik  sebagaimana saranan Muhyiddin, penulis berasakan sudah tiba masanya  untuk perdana menteri bersama seluruh saf kepimpinan dan ahli Bersatu  untuk kembali ke pangkuan Umno," katanya pada penulisan kolum Sinar Harian, terbit hari ini.
Jelasnya, sebahagian besar pimpinan Bersatu berasal "daripada rahim yang sama iaitu Umno."
"Hakikatnya, dasar, orientasi dan ideologi Bersatu adalah sama dan tiada bezanya dengan Umno.
"Sejarah  membuktikan bahawa beberapa parti serpihan yang terpecah daripada Umno  kembali semula kepada parti terbesar orang Melayu itu.
"Ia merujuk  kepada matlamat asas penubuhan setiap parti-parti serpihan itu seperti  Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Parti Negara, Parti Melayu Semangat 46  dan termasuklah parti Bersatu yang hanya bertujuan untuk menjatuhkan  Umno," katanya lagi pada tulisan berjudul "Kembalilah ke pangkuan Umno"  itu. 

Ini bukan pertama kali, Asyraf mengajak pemimpin Bersatu kembali kepada Umno.
Sebelum ini, sudah beberapa kali Asyraf membuat pelawaan sama. 
Minggu  lalu, dia turut menggunakan pengibaratan serupa, bahawa Umno dan  Bersatu itu berasal dari rahim sama, tiada bezanya dari segi orientasi  mahupun ideologi. 
Dia meminta ahli Bersatu dan Umno melebur ego  masing-masing dan membenamkan sejarah hitam lampau yang masih menghantui  mereka bagi mengorak langkah bersama.
Pada 23 Jan 2019, sewaktu Bersatu bersama PH menjadi kerajaan, ketua pemuda Umno itu pernah membuat permintaan sama.
Ketika  itu, Asyraf berkata memandangkan matlamat Bersatu hanya untuk  menumbangkan Umno pada PRU14 telah tercapai, maka wajar kepimpinan parti  itu kembali kepada Umno.
"Najib (Razak) tidak ada lagi  dalam kepimpinan (Umno) sekarang, adakah perjuangan Bersatu masih  relevan sedangkan dalam wawancara dengan Oxford Union baru-baru, mereka  telah memaklumkan matlamat sebenar parti itu.
"Justeru, saya rasa  mereka (Bersatu) boleh tutup parti sebab matlamat tercapai dan kembali  ke pangkal jalan dengan menyertai Umno," katanya.
'Tak pernah masuk, macam mana nak balik?
Bagaimanapun,  pelawaan Asyraf itu nampaknya ditepis Bersatu, antaranya oleh Ketua  Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam yang  menyifatkan hal itu tidak timbul dalam kalangan ahli Armada.  
“[...]  Keanggotaan ahli Armada kami tak pernah jadi ahli Umno pun dulu, saya  tak pernah masuk Umno pun. Jadi macam mana kami nak balik kepada Umno?
“Armada ataupun Bersatu adalah parti pertama pilihan anak muda yang ada dalam Armada ketika ini [...],” katanya semalam. 
Untuk rekod Bersatu ditubuhkan menjelang PRU lalu oleh beberapa bekas pemimpin kanan Umno.
Bersatu  bersama PH berjaya menumbangkan Umno setelah mendapat mandat untuk  menjadi kerajaan pada 2018, dan selepas itu, terdapat lagi ahli-ahli  Umno yang melompat parti menyertai Bersatu.
Bagaimanapun susulan  Langkah Sheraton hujung Feb lalu, Bersatu dibawa keluar oleh Muhyiddin  daripada PH menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baru bersama Umno  bersama parti-parti lain, 
Hubungan kedua-dua parti itu sering dan  masih dilihat tegang sehingga ke hari ini, terutamanya beberapa  pemimpin kanan Umno yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam  PRU-15 nanti. 
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
 ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
  
  
  


 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.mindarakyat.net/2020/12/asyraf-mengharapkan-muhyiddin-bersatu.html