Artis Kita Patutnya Kaya
“Betul bro!” getus Ito, penyanyi kumpulan Blues Gang kepada saya terhadap kenyataannya itu. Saya dapat melihat riak mukanya penuh bersungguh – selari dengan setiap tutur bicaranya. Dan setiap kali kami duduk bertemu memperkatakan isu ini sering saya lihat betapa Ito kekal tegas dalam soal hak dan karya intelek artis.
“Kita patutnya boleh kaya. Kalau betul menjadi, kita tak perlu minta sana-sini, tagih bantuan kepada kerajaan atau minta sumbangan daripada menteri untuk tolong artis yang susah atau sakit. Komuniti artis itu sendiri mampu membina sebuah yayasan untuk kebajikan mereka sebab mereka mampu memberi,” katanya lagi.
Pengarah filem Nasir Jani mengangguk-angguk. Saya, Nasir Jani dan Ito tinggal tidak jauh antara satu sama lain tetapi jika tidak ada hal jarang saya melepak bersama mereka berdua. Petang itu saya datang ke rumah Ito kerana mencari Nasir. Dan seperti hari-hari sebelumnya, itulah buah-butir yang selalu dibebelkan oleh Ito. Tentang lanun yang bermaharajalela sejak puluhan tahun!
“Hasil yang sepatutnya dinikmati oleh karyawan seperti kita telah dirompak oleh lanun kapitalis. Oleh tauke-tauke haram!”
Bebelan Ito dan Nasir bukan baru setahun dua ini. Sejak dahulu lagi mereka lantang melawan lanun cetak rompak yang buta-buta mengaut keuntungan daripada karyawan seni. Jika kita tiada di dalam bidang mereka tak usahlah pertikaikan apa yang mereka dakwa kerana mereka sudah bergelumang dalam industri itu setengah abad. Mereka nampak apa yang berlaku. Mereka sendiri ketika muda dan berapi-api pernah terjah markas operasi cetak rompak.
Ito dan Nasir tahu kaset-kaset penyanyi Melayu di negeri mana dalam Malaysia ini paling laris jualannya dan paling banyak cetak rompak buat duit. Sedikit-sebanyak saya dapat merasai sakit-perit kesan perlawanan mereka.
Seperti budak kecil tak tahu apa-apa saya mendengar Ito membebel. Katanya, penyanyi kita ada yang silap congak. Mereka melihat persembahan pentas dan konsert adalah tempat cari makan dan lubuk duit untuk survival. Kata Ito, itu tak tepat. Yang sebenarnya penyanyi mesti perjuangkan jualan album terlebih dahulu. Konsert dan persembahan pentas hanya susulan daripada produk (album) yang telah keluar.
“Perjuangan membanteras cetak rompaklah yang patut betul-betul dibuat. Kalau album original kita laku ratus ribu atau satu juta, kita dah senang. Konsert pun ada. Ini, album tak jual sebab yang laku album cetak rompak. Dalam rekod catatan jualan tak memberangsangkan jadi macam mana nak dapat tawaran bikin konsert?”
Ito sambung lagi. “Lu bayangkan ketika Michael Jackson tengah meletup seluruh dunia pada 80-an dulu. Dia buat ‘road tour’ kat seluruh dunia termasuklah di Asia Tenggara seperti di Jepun, tapi kenapa tak singgah Kuala Lumpur? Sebab jualan albumnya tak banyak. Lu percaya jualan tak banyak? Padahal satu Malaysia dia meletup. Sebab lanun! Yang ratus ribu jual itu cetak rompak punya. Takkan Michael Jackson nak datang bila dilihat jualan albumnya puluh ribu saja.”
Ya! Saya pun rasa demam Michael Jackson dengan lagu ‘Beat It’, ‘Billie Jean’ dan ‘Thriller’. Saya rasa saya pun beli kaset cetak rompak pasar malam waktu itu. Apalah yang saya tahu tentang bencana cetak rompak ini sehingga boleh memberi kesan yang cukup teruk kepada pengkarya seni dan juga ekonomi negara.
Jadi, jika album kumpulan nasyid Raihan, album kumpulan Search dan Ella yang mencatat jualan tertinggi sehingga setengah juta unit – berapa pula sebenarnya yang cetak rompak terjual? Tak ke kaya-raya lanun-lanun itu!
Ketika kumpulan Iklim meletup dengan Suci Dalam Debu, berapa royalti mereka dapat daripada jualan sebenar album? Kalau tiada kaset cetak rompak bagaimana? Berapa royalti jualan album kumpulan Wings yang merajai dunia rock sedangkan mereka rancak berkonsert keliling tanah air waktu itu dengan kehadiran penonton puluh ribu setiap kali konsert?
Ito meluahkan rasa kesal kepada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini. Juga tahap kesedaran masyarakat yang rendah tentang salahnya membeli karya rompak ini. Mereka tak sedar membeli barang palsu adalah tidak bermoral. Ibarat kita membeli ayam atau buah daripada pencuri. Apa bezanya?
“Sakit buek lagu
Untung banyak lanun yang sapu
Tak boleh cari makan
Selagi lanun tak dihapuskan.”
Itu antara bait seni kata lagu Sakit Sakit Sakit dendangan Ito bersama Blues Gang yang popular sekitar 80-an. Keluhan tentang seriusnya gejala cetak rompak. Memang jika namanya pun lanun, sudah pastilah kerjanya menghisap hasil kerja orang lain.
“Duit-duit rompakan lanun ini bukan sikit, bro! Puluh juta ringgit punya nilai,” sungut Ito lagi.
Benar. Keuntungan ini lanun bawa untuk buat perniagaan lain. Macam-macam bisnes haram lain boleh dibuat bermodalkan duit yang dirompak daripada hasil titik-peluh karyawan ini. Mereka hidup mewah sedangkan seniman dan waris daif dan miskin. Masyarakat tidak menyedari hal ini kerana kesungguhan pihak berwajib menjalankan kesedaran ini tidak berkesan dan tidak sampai. Kegiatan lanun ini juga merugikan kerajaan kerana lanun tidak bayar cukai.
“Indonesia pun ada cetak rompak, bro. Tapi selepas dua atau tiga bulan album original keluar baru mereka keluar. Kita kat sini, original belum keluar yang lanun punya dah ada kat kedai. Ha! Ha! Ha!”
Ini bukan jenaka. Segala cerita ini telah dimasukkan dalam babak filem Kembara Seniman Jalanan (arahan Nasir pada 1986). Filem tersebut memaparkan yang lanun itu adalah kerja ‘orang dalam’ industri sendiri. Filem tersebut juga pernah mengalami masalah digam dan beberapa babak dipotong dek kerana ia menyentuh pihak-pihak tertentu sehingga mereka panas punggung.
“Tapi sekarang bukan zaman kaset lagi,” kata saya. “Ini zaman internet. Album fizikal sudah tak dibuat lagi. Lanun pun dah lingkup.”
Lanun rakam rompak hari ini pupus bukan kerana penguatkuasaan tetapi kerana peredaran zaman. Tetapi lanun tetap lanun, kata Ito. Mereka terus mengganas mengikut cara lain.
Boleh saya simpulkan isi yang diluahkan oleh Ito dan pengarah Nasir ialah pihak berwajib harus beri perhatian yang lebih serius dalam soal ini termasuklah tentang isu pembahagian royalti karyawan juga. Ia dirasakan masih tidak memuaskan. Malah ada pihak lain yang ambil peratusan mereka lebih sehingga kek pengkarya menjadi kecil sedangkan royalti ini adalah keringat pengkarya. Jika mereka mati, waris mereka akan dapat hasil tersebut. Mengapa ada pihak lain yang tak pasal-pasal dapat juga malah dapat lebih pula? Itu persoalan yang mereka pertikaikan.
Ini sudah lama berlaku. Lanun sedut usaha mereka. Ada pengkarya yang putus asa dan untuk memperkatakannya seperti sia-sia.
Benar zaman internet telah membunuh album fizikal sekali gus industri lanun juga tergugat, fikir saya. Tetapi era internet mewujudkan pula budaya muat turun (download) secara haram. Tak perlu lanun, kita sendiri pun boleh buat. Atau dengan kata lain – tanpa kita sedar dan tanpa rasa bersalah, ketika kita memuat turun filem, lagu, lukisan, foto secara haram dan kita menikmati hasil karya mereka walaupun kita tidak menjualnya kepada pihak lain untuk keuntungan peribadi; kita sebenarnya telah jadi lanun!
Saya diam sambil terus mendengar rungutan Ito dan Nasir. Saya saksi sendiri nada suara dan riak wajah mereka ketika membicarakan hal ini. Berapa ramai dalam kalangan kawan-kawan seangkatan mereka punya kesedaran seperti mereka? Atau bukan mereka tak tahu tetapi sedar bahawa mereka tidak terlawan dengan jentera yang terlalu besar. Berapa lamakah lagi kita harus menunggu lanun-lanun ini disekat? Ito, Nasir, penggiat seni dan saya akan sentiasa menunggu pihak kerajaan memainkan peranannya dengan berkesan atau mungkinkah kami akan selamanya berputih mata? Entahlah! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/12/artis-kita-patutnya-kaya.html