Arab Saudi Sokong China Dalam Isu Uighur Ini Jawapannya
Oleh : Anasz*
1. Sejak dua tiga hari ini aku dapat mesej personal bertanyakan perihal isu "kenyataan Mohamad Bin Salman (MbS)" yang katanya menyokong tindakan China ke atas penduduk Uighur di China.
2. Sejujurnya aku kurang pasti dari mana media memetik kenyataan MbS ini.
3. Dan bersandarkan pembacaan aku yang terhad ini (belum melaksanakan kajian secara menyeluruh) Arab Saudi berada dalam dilema pada ketika ini. Mereka tidak mahu digelar sebagai negara menyokong pengganas, dan dalam masa yang sama tidak mahu membiarkan umat Islam terus diseksa.
4. Benar Arab Saudi menyokong sebarang usaha untuk menghapuskan pengganas yang menggunakan nama Islam. Misalnya Daesh / ISIS. Namun untuk menyatakan Arab Saudi menyokong tindakan China terhadap etnik Uighur, ianya adalah satu kenyataan yang perlu di perhalusi dan dikaji secara mendalam. Kerana yang nyata , tidak ada sebarang kenyataan rasmi MbS atau dari kerajaan Arab Saudi sendiri.
5. Sepertimana dalam artikel sebelumnya, aku menyatakan bahawa isu Uighur ini adalah isu dalaman China. Dan sebarang tindakan atau komentar mengenai Uighur boleh ditafsirkan sebagai mencabar kedaulatan China.
5. China pula mendakwa, tindakan mereka ini adalah sebahagian dari tindakan "memerangi pengganas" dalam memberikan justifikasi tindakan mereka terhadap etnik Uighur.
6. Ini ditambah lagi dengan wujudnya anasir ISIS / DAESH yang dilaporkan sudah merebak ke dalam kumpulan etnik berkenaan. Dimana ISIS / Daesh merupakan ancaman keselamatan kepada Arab Saudi. Sekaligus menambahkan kerumitan dalam isu ini. (Rujuk : https://www.ft.com/content/ddeb5872-ff1f-11e6-96f8-3700c5664d30 & https://icct.nl/wp-content/uploads/2017/11/ClarkeKan-Uighur-Foreign-Fighters-An-Underexamined-Jihadist-Challenge-Nov-2017-1.pdf)
7. Maka dalam hal ini, Arab Saudi tidak boleh menyatakan secara terbuka sokongan mereka terhadap etnik Uighur di China kerana ianya boleh membawa konotasi yang berlainan kepada pemerintah China yang akan menafsirkan bahawa Arab Saudi sebagai sebuah negara yang menyokong aktiviti keganasan - Satu istilah yang cuba dihilangkan oleh pemerintah Arab Saudi pasca 9/11.
8. Oleh kerana itu aku berpandangan bahawa semua pihak seharusnya jangan mudah menunding jari menyatakan pihak itu salah dan pihak ini benar.
9. Bukan mudah berada dalam situasi Arab Saudi pada hari ini. Mereka dipaksa untuk terbuka dan dalam masa yang sama mereka juga diminta mengekalkan sikap konservatif mereka.
10. Isu Uighur ini memerlukan penyelesaian melalui jalan diplomasi. Dan sebarang tindakan campurtangan negara asing, hanya akan memberikan tekanan yang lebih teruk kepada etnik Uighur yang terdapat di China.
* Penulis merupakan graduan sarjana dalam bidang strategi dan keselamatan dari UKM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penaminang.com/2019/12/arab-saudi-sokong-china-dalam-isu.html