Apa Itu Ekonomi Gig Adakah Malaysia Terkesan
Pernahkah anda bertemu dengan seorang pekerja yang bekerja tanpa majikan? Pernahkah juga anda bertemu dengan kenalan terdekat yang selesa bekerja sebagai seorang rider bagi perkhidmatan Food Panda dan Grab Food? Mereka ini adalah antara orang yang terkesan dengan trend yang diberi nama Ekonomi Gig.
Apa itu Ekonomi Gig?
“Ekonomi gig” atau turut dikenali sebagai “Gig Economy” adalah satu trend sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu mengajikan pekerja sepenuh masa. Dalam erti kata lain, anda menjadi freelancer yang berkemampuan untuk bekerja secara fleksibel tanpa perlu bekerja secara rutin 9-5.
Bilakah istilah ini mula popular?
Istilah ekonomi gig mula popular sejak dunia dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 2008. Kegawatan ekonomi ini benar-benar memberi kesan kepada dunia terutama Amerika Syarikat sehingga mencetus trend pendigitalan kerja menerusi kegiatan sharing economy.
Maka wujudlah platform perantara penyedia perkhidmatan digital seperti Uber, AirBnB dan Lyft yang menjadi benih kepada perkembangan ekonomi gig di Amerika Syarikat. Selain daripada itu, bekerja secara remote dan kontrak jangka pendek mula mendapat perhatian masyarakat.
Kebanjiran mereka yang menceburi bidang freelancer ini menjadikan mereka yang mengamalkan ekonomi gig ini digelar sebagai “gigger “, satu kumpulan pekerjaan baru yang menentukan sendiri cara mereka bekerja selepas daripada kumpulan tradisional pekerjaan sepenuh masa (full time) dan pekerjaan separuh masa (part-time).
Journalist yang mempopularkan istilah ekonomi gig
Istilah “ekonomi gig” juga mula digunakan secara meluas apabila Tina Brown, seorang wartawan dan editor The Daily Beast memperkenalkan istilah unik ini pada tahun 2009 menerusi penulisannya tentang apa itu ekonomi gig dan bagaimana trend semasa ini melibatkan tugasan berteraskan kemahiran (skill) dan keperluan perusahaan yang bakal dipilih masyarakat.
Mengapa istilah dan trend ini popular?
Era digital benar-benar mengubah pandangan generasi muda terhadap kehidupan. Jika satu ketika dahulu pekerjaan atau kestabilan kerjaya menjadi fokus utama dalam mencari kelangsungan hidup, generasi kini lebih mementingkan fleksibiliti dan kebebasan dalam kerjaya. Ini sekaligus memberi kesempatan kepada untuk melakukan apa yang mereka suka sehingga menjadikan sebahagian daripada mereka seorang digital nomad. Apa itu digital nomad?
Melakukan kerja dari serata dunia
Digital nomad adalah mereka yang bekerja bagi meneruskan kelangsungan hidup namun tanpa memerlukan mereka untuk bekerja di pejabat, bekerja dalam waktu yang mereka suka, dimana sahaja serata dunia serta bayaran yang berpadanan dengan usaha dan skill yang ada pada diri mereka. Asal ada internet, semuanya kerja boleh berjalan.
Kesempatan ini juga digunakan oleh perusahaan untuk mengurangkan kos dimana majikan tidak perlu menyewa pejabat yang besar, sebaliknya hanya perlu mengeluarkan kos berdasarkan projek, mengurangkan beban pengurusan disamping mengubah model perniagaan yang lebih efisyen. Trend semasa ini benar-benar memberikan kebaikan win-win situation kepada kedua belah pihak.
Adakah Malaysia terkesan dengan ekonomi gig?
Sudah semestinya. Bergerak seiring dengan revolusi industri 4.0, ekonomi gig sudah mula kelihatan kesannya di Malaysia terutama jika anda tinggal sekitar Lembah Klang (Kuala Lumpur dan bandar sekitarnya).
Antara perkhidmatan yang cukup popular melibatkan sharing economy ini adalah perkhidmatan penghantaran makan seperti FoodPanda, Grab Food, Bungkusit dimana pekerjaan sebagai rider cukup popular dikalangan warga kota untuk mencari wang tambahan mahupun kerja sepenuh masa.
Cirinya cukup mudah. Kerja yang fleksibel, berpadanan dengan usaha dan bebas. Itu adalah intipati dan daya penarik mengapa ia menarik minat sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur untuk mencubanya. Itu baru disentuh tentang peluang pekerjaan untuk golongan pekerjaan skil rendah (low skill jobs). Belum lagi pekerjaan skill tinggi (high skill jobs).
Jika kita mengaitkan tentang pekerjaan yang melibatkan skill tinggi namun dalam diam turut memiliki jumlah freelancer yang ramai adalah bookkeeper (accounting), videografer, grafic designer, programmer dan SAP consultant. Malahan ada diantara pekerjaan tersebut yang menerima bayaran serendah RM1,800-3,000 sehari. Ya betul, itu bayaran untuk sehari.
Kesan ini dirasai sejak 2017 lagi apabila Khazah Research Institute telah mengeluarkan discussion paper yang bertajuk “An exploration of the future of work in Malaysia” yang membincangkan tentang bagaimana perkembangan jumlah mereka yang bekerja sendiri dikawasan urban (seperti Kuala Lumpur) semakin meningkat saban tahun. 2016 sendiri membabitkan 1.7 juta orang. Selain daripada itu, sektor perkhidmatan juga terus mengungguli keperluan industri dimasa akan datang dan dijangka plot perubahan ini akan terus meningkat. Jadi kita perlu bersedia.
Perubahan yang dilihat dimasa akan datang?
1. Perubahan budaya kerja di Malaysia
Pejabat yang besar bukan lagi satu keperluan
Dalam tempoh masa 5 ke 10 tahun lagi, kemungkin besar akan berlaku perubahan yang cukup besar dalam bidang pekerjaan dan ianya akan merebak ke bukan sahaja bidang melibatkan teknologi, sebaliknya turut melibatkan sektor tradisional seperti perakaunan.
Pekerja tidak lagi terikat dengan persekitaran pejabat koperat. Mereka boleh bekerja dimana sahaja yang diinginkan tanpa perlu terikat dengan tempat. Ini termasuklah bekerja dari rumah.
Baca juga: 7 Tabiat Yang Mampu Meningkatkan Produktiviti Kerja Anda
Mengenai tugasan kerja pula, pekerja hanya bekerja untuk tugasan yang melibatkan skop kerja. Tidak lebih daripada itu. Efisiensi akan terus meningkat dek kerana tuntutan semasa yang memerlukan mereka bekerja dengan prestasi terbaik. Senang cerita, tak bagus maka tak ada la job.
2. Kewujudan platform freelancing
Fiverr antara platform untuk menyerlah bakat untuk freelancer
Diketika ini, saya menggunakan beberapa laman web untuk freelancing. Sebagai contohnya Workana, Freelancer dan Fiverr yang sememangnya menjadi tempat untuk mencari kerja-kerja P2P (peer to peer). Saya percaya dimasa akan datang, industri platform freelancing atas talian akan terus berkembang dan berfokuskan kepada pasaran lokal.
Menariknya, jika yang mencari freelancer selama ini adalah orang perseorangan dan syarikat kecil, dalam 5-10 tahun akan datang, jangan terkejut jika syarikat besar juga akan menggunakan perkhidmatan freelancer. Sekarang ini juga Samsung dalam usaha ke arah itu.
“Samsung kini memperluaskan penggunaan platform freelancingnya. Saya benar-benar percaya ini adalah masa depan, “kata Cathleen Nilson, ketua On Demand Talent di Samsung dalam temu bual dengan Fortune.(2017)
Mereka yang berkemahiran akan terus menikmati keuntungan diatas kematangan pasaran dan masyarakat tentang budaya kerja semasa. Trend ini bakal menghubungkan mereka yang memerlukan perkhidmatan dan mereka yang memberi perkhidmatan. Segala yang anda inginkan semuanya terletak di hujung jari.
3. Pekerjaan tetap akan digantikan dengan freelancer
Peluang pekerjaan tetap akan semakin berkurangan
Bagaimana cara untuk dapatkan pekerja yang berkemahiran, mampu selesaikan masalah yang dihadapi syarikat, mampu kurangkan kos syarikat dengan kerja berdasarkan projek sahaja? Jawapannya adalah gigger atau turut dikenali sebagai freelancer.
Buat apa hendak membayar RM2500 fresh graduate yang perlu diberi latihan, faedah syarikat, insuran, serta KWSP jika anda boleh mendapat freelancer yang berkemahiran dengan kos yang sama tanpa perlu bayaran bulan. Syarikat tidak terbeban dengan kos yang terpaksa dibayar walaupun pekerja tidak bekerja. Itu bahagian pasaran kerja.
Baca juga: 7 Perkara Yang Menghalang Diri Daripada Mencapai Matlamat Hidup
Dibahagian pekerja yang berkemahiran pula, mereka sudah bosan buat pekerjaan yang sama dalam sistem tradisional yang memerlukan mereka datang ke pejabat. Semangat “be your own boss” akan mula berkumandang dikalangan profesional dimana mereka mahukan bekerja dalam jadual yang tersendiri, membina jenama diri, dan berurusan sendiri dalam urusan perniagaan yang lebih bernilai.
4. Pengubalan undang-undang dan polisi
Pengubalan undang-undang penting untuk melindungi pekerja
Walaupun kerajaan sekarang seperti tidak ada kesedaran ekonomi dek kerana sibuk berpolitik dengan skrip yang sama, saya percaya isu ini akan tetap dibangkitkan di Parlimen oleh kerajaan bagi mencari jalan terbaik untuk melindungi giggler.
Malahan menurut laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sendiri telah menyatakan ekonomi gig telah berkembang di Malaysia pada kadar 31% berbanding pekerjaan konventional pada tahun 2017 menjadikan ia satu trend yang perlu diberi perhatian.
Hit pertama yang melanda di Malaysia adalah isu insentif Food Panda yang menjadi isu nasional baru-baru ini. Bagaimana pekerja-pekerja tersebut perlu diteliti kontrak diantara mereka supaya perjanjian diantara mereka memberikan situasi menang-menang. Dimasa yang sama perlu diteliti adalah mereka(pekerja) ini diberi perlindungan yang sepatutnya? Ini belum lagi masuk isu perlindungan SOCSO, KWSP dan banyak lagi.
Diluar negara, kebanyakan negara sudah mula mengambil langkah perlindungan kepada mereka yang terlibat dengan ekonomi gig. Parlimen Eropah contohnya telah meluluskan peraturan baru yang memberikan hak minima kepada gigger untuk bekerja termasuklah untuk kontrak zero hour. India pula telah memperkenalkan draft Code on Social Security 2019 yang menafsirkan pekerja yang terlibat dengan ekonomi gig ini sebagai “Gig workers” dan “platform workers” dimana mereka akan diberikan hak jika berlaku kematian dan kecacatan, kesihatan, faedah bersalin dan banyak lagi.
Kesimpulan tentang ekonomi gig
Dapat dilihat dizaman moden ini, kemahiran menjadi salah satu senjata utama untuk mencapai kemajuan kerjaya. Menerusi pasaran terbuka, ianya menjadi penghubung kepada sumber yang dapat memberi kebaikan buat mereka yang membekal dan membelinya. Malah lambakan platform akan terus muncul bagi menjadi merapatkan jurang komunikasi antara dua.
Semestinya ekonomi gig menawarkan kehidupan alternatif kepada semua. Ia menawarkan kebebasan dan fleksibaliti buat mereka yang menginginkannya. Namun sedar atau tidak, disaat indah khabar yang diterima, pasti akan ada sisi gelap yang perlu dihadapi oleh giggler. apakah cabaran baru yang perlu dihadapi oleh mereka? Apakah kelangsungan ekonomi gig ini mampu memberi nafas baru dan peluang pekerjaan yang lebih meluas.
Insyallah jika saya punya kesempatan, saya ceritakan pula tentang kesan lain yang perlu dihadapi buat mereka yang terlibat dengannya. Kita akan ulas dengan lebih dalam tentang persediaan yang perlu dilakukan terutama kepada golongan fresh graduate yang berhadapan secara terus dengan zaman ekonomi gig.
The post Apa itu ekonomi gig? Adakah Malaysia terkesan? appeared first on Azmir Shah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://azmirshah.com/apa-itu-ekonomi-gig/