Anwar Tok Pa Antara Yang Layak Ganti Guan Eng
Manzaidi Mohd Amin                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Dr Mohd Zuhdi Marzuki 
KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya ada dua tokoh pemimpin yang  dikatakan layak menggantikan tempat Lim Guan Eng sebagai Menteri  Kewangan, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki.
 Katanya, kedua-dua tokoh itu ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar  Ibrahim dan Ahli Parlimen Jeli yang menyertai Parti Pribumi Bersatu  Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mustapha Mohamed.
     Beliau  berkata, mengikut pengamatannya kedua pemimpin itu mempunyai pengalaman  yang cukup lama dalam kabinet khususnya berkaitan dengan hal ehwal  ekonomi dan kewangan.
 Jelas Mohd Zuhdi, Kementerian Kewangan merupakan salah satu portfolio  yang paling ketara kegagalannya menyebabkan ekonomi negara dalam  keadaan tidak menentu dan kehidupan rakyat semakin tertekan.
 “Sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad benar-benar mahu  membaiki kelemahan ketara kerajaan Pakatan Harapan (PH), Guan Eng perlu  ditukar segera.
 “Tempatnya diganti oleh seseorang yang benar-benar berpengalaman  dalam kabinet sebelum ini khususnya berkaitan dengan ekonomi dan  kewangan, iaitu Anwar atau Mustafa yang dikenali sebagai Tok Pa,”  katanya dipetik kenyataannya kepada Harakahdaily.
 Mohd. Zuhdi menjelaskan, cadangan itu dikemukakannya berikutan Dr.  Mahathir ada membayangkan akan membuat rombakan kabinet selepas PH kalah  teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lalu.
 Sememangnya, ujar beliau, pihaknya mengalu-alukan pengumuman rombakan  itu yang sekaligus Pengerusi PH mengakui kelemahan ketara kerajaan  pimpinannya yang menjadi punca utama kekalahan itu.
 Mengulas mengenai nama Mustafa yang dikatakan layak menggantikan Guan  Eng, Dr. Mohd Zuhdi berkata, bekas Menteri Kewangan II itu sudah tentu  akan berdepan kesukaran kerana mungkin dibantah oleh parti komponen PH.
 “Ini kerana Mustapha baru saja menyertai PPBM dan tidak boleh  diterima oleh kebanyakan pemimpin dari PKR, Parti Amanah Negara (PAN)  dan PPBM sendiri.
 “Maka calon yang boleh diletakkan harapan untuk mengganti Guan Eng  ialah Anwar. Beliau pernah menerajui portfolio Menteri Kewangan ketika  Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
 “Selain itu, Anwar juga mempunyai rangkaian hubungan luar yang baik  sama ada dengan negara barat atau negara dunia Islam,” katanya.
 Beliau menjelaskan, melihat kepada kepentingan negara dan rakyat yang  perlu diutamakan, Mahathir perlu berlapang dada untuk menerima  kemasukan Anwar ke dalam kabinetnya.
 Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson seharusnya  melupakan hasratnya untuk mengambil alih jawatan perdana menteri dalam  tempoh penggal Parlimen ini sehinggalah selepas PRU-15.
 “Saya yakin hanya dengan tolak ansur seperti ini negara dan rakyat  dapat diselamatkan dari terjerumus dalam krisis ekonomi dan tekanan sara  hidup yang lebih teruk.
 “Boleh jadi pandangan yang dikemukakan ini akan memperkuatkan semula  kerajaan PH dan menyebabkan Muafakat Nasional menghadapi kesukaran untuk  berhadapan dengan mereka dalam PRU ke-15 akan datang.
 “Namun, sebagai sebuah blok kerjasama yang mendukung Budaya Politik  Matang dan Sejahtera (BPMS), kepentingan negara dan rakyat harus  diutamakan,” katanya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/11/anwar-tok-pa-antara-yang-layak-ganti.html