Ambang Kemusnahan Negara
Masyarakat akan berada di ambang kemusnahan apabila fitnah berlaku berleluasa. Orang ramai terlalu mudah mempercayainya dan melakukan tindakan yang mendatangkan keburukan. Mereka tidak lagi yakin kepada kebenaran, sebaliknya sukakan kepalsuan.
Fitnah lahir dalam masyarakat yang tidak berpegang kepada hukum-hukum agama di mana keburukan dilakukan secara berleluasa dan ilmu (ajaran Islam) tidak dipatuhi.
Ironisnya, orang yang melakukan perbuatan itu mendakwa tindakan itu sebagai memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa. Malah, atas nama agamalah banyak berita fitnah disebarkan melalui alam siber.
Rasulullah sabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah” (Hadis riwayat Muslim).
Perbuatan fitnah juga sebahagian perbuatan mengadu-domba memburukkan pihak lawan dan pada masa sama untuk menonjolkan diri.
Fitnah yang disebarkan mudah menyebabkan permusuhan dua pihak. Memang sifat manusia mudah rasa tercabar dengan mengambil tindakan yang melanggar batasan agama dan kemanusiaan.
Situasi itu lebih bercelaru apabila ada pihak ketiga mengambil kesempatan menaburkan fitnah agar mencetuskan permusuhan yang lebih tegang.
Untuk mengelak wujud konflik fitnah, terutama melalui alam siber, wajib bagi setiap Muslim menghalusi berita yang diterima. Jika menerima sesuatu berita yang tidak sahih, janganlah diforwardkan kepada orang lain.
Ini untuk mengelak fitnah merebak hingga tidak dapat dikawal atau tidak dijangka kesannya. Sebelum mempercayai sebarang berita, perlu dipastikan kesahihannya berdasarkan sumber dan faktanya.
Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Jangan memperkatakan sesuatu yang kita tidak pasti. Sesungguhnya, diam lebih baik daripada berkata-kata perkara tidak perlu.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa fitnah tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnahkan memberi keampunan. Dapat kita fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang yang difitnah bagi memohon maaf.
Fikirkan, betapa besarnya dosa jika fitnah itu ditujukan kepada kelompok orang ramai yang tidak mampu ditemui setiap orang untuk memohon maaf. Malah, kita tidak kenal pun orang yang telah difitnahkan itu.
Dosa membuat fitnah menghalang seseorang daripada memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana dirinya akan diberikan malu oleh Allah.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya dari Abu Zar).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/02/kio.html