Amanat Menteri Pendidikan Tahun 2019 Pendidikan Untuk Semua Tanggungjawab Semua



AMANAT MENTERI PENDIDIKAN TAHUN 2019 : PENDIDIKAN UNTUK SEMUA, TANGGUNGJAWAB SEMUA

Pendahuluan

1. Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya, kita berjaya melangkah ke tahun 2019. Kita telah berjaya mengharung segala onak, segala liku dan segala cabaran pada tahun 2018. Kita tahu, ruang dan peluang yang masih diberikan kepada kita, datang bersamanya satu tanggungjawab, satu amanah, dan satu misi.

2. Selamat Tahun Baharu dan ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua ahli keluarga besar Kementerian yang hadir pada pagi ini. Terima kasih atas segala komitmen yang diberikan sepanjang tahun 2018.

Wawasan 2020

3. Pada 28 Februari 1991, di dalam ucapan beliau bertajuk “Melangkah ke Hadapan: Wawasan 2020”, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan suatu gagasan besar yang kita ingatnya sebagai “Wawasan 2020”. Wawasan 2020 menjadi sangat signifikan buat semua rakyat Malaysia pada waktu itu. Saya sendiri, dan saya yakin, tuan-tuan dan puan-puan juga, membesar dengan Wawasan 2020. Wawasan 2020 sememangnya telah berjaya melakarkan impian dan menanamkan cita-cita kepada kita semua.

4. Wawasan 2020 mengetengahkan 9 cabaran utama yang perlu digalas oleh semua rakyat Malaysia. 5 di antara 9 Cabaran tersebut ialah:

Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan matlamat yang dikongsi bersama. Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang dan dihormati oleh negara lain. Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika. Mewujudkan masyarakat saintifik, progresif dan berpandangan depan. Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang dengan sistem sosial yang kukuh. 
6. Melihat kepada kedudukan kita hari ini, kita tinggal cuma selangkah sahaja lagi untuk menghadapi tahun 2020. Inilah masanya kita perlu kembali merenung, setakat manakah kita telah berusaha untuk merealisasikan cabaran-cabaran di atas?

7. Mahu tidak mahu, kunci utama, formula, jambatan untuk kita menuju Wawasan 2020 ialah pendidikan. Untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu, pendidikan ialah titik mulanya. Untuk melahirkan masyarakat yang demokratik, bermoral, beretika dan penyayang, pendidikan ialah terasnya. Pendidikan ialah jalan sebenar menuju ke Wawasan 2020.

8. Jika kita simpulkan, kesemua sembilan cabaran yang ingin dicapai oleh Wawasan 2020 ini sebenarnya gambaran kepada sebuah masyarakat yang mempunyai nilai-nilai yang tinggi. Masyarakat yang bersatu padu, berjiwa tenteram, demokratik, bermoral dan beretika; ialah bentuk masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai yang baik. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Nahl ayat 128:

ون ُﻧِﺳْﺣُ ﻣ ْمُ ھ َ ﯾن ِ اﻟﱠذ َ ا و ْ وَ اﺗﱠﻘ َ ﯾن ِ اﻟﱠذ َﻊَ ﻣ َ نﱠ ﷲﱠ ِ إَ◌

“Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Sidang hadirin sekalian,

9.  Selain Wawasan 2020, saya juga ingin membawa tuan-tuan dan puan-puan pulang semula kepada satu pernyataan yang telahpun mendasari sistem pendidikan kita sejak tahun 1988 lagi, lebih 30 tahun yang lepas. Pernyataan itu adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah meletakkan bahawa:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh, dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis, dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

10. Saya tidak perlu mengupas isi Falsafah ini kerana tuan-tuan dan puan-puan warga pendidikan lebih maklum dalam perkara ini.  Tetapi yang perlu kita fikirkan adalah – selepas 30 tahun Falsafah ini diperkenalkan, adakah intipatinya kita hayati dan kita aplikasikan dalam sistem pendidikan kita? Adakah kita telah mendidik anakanak kita secara holistik? Adakah kita telah berjaya memberikan laluan kepada anak-anak kita, untuk mencapai potensi terbaik mereka supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada negara? 

11. Sesungguhnya aspirasi sistem pendidikan negara adalah refleksi kepada aspirasi negara. Justeru, perubahan sistem pendidikan negara mestilah bermula dengan merenung kembali kepada Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar dapat kita teladani dan pelajari, seterusnya dapat meningkatkan usaha kita agar matlamat yang indah ini mampu kita kecapinya bersama.

Sekolah untuk komuniti dan universiti untuk masyarakat. 

Sidang hadirin yang saya muliakan,

12. Saat anak kita mula bersekolah hari ini, adakah ia bermakna anak kita sudah mendapat Pendidikan? Pendidikan ialah Dialog. Kerana itu menurut Paulo Freire, seorang filsuf dalam bidang pendidikan - bukan sahaja anak yang perlu belajar di sekolah. Di sekolah, guru juga harus belajar. Ini bermakna di dalam kelas, guru harus lebih tekun memahami anak-anak, pertanyaan mereka, persoalan di dalam kepala mereka, sikap dan sifat mereka serta berjuta pengalaman mereka yang lain lagi.

13. Dalam kata lain, kelas atau sekolah hanyalah medium pembelajaran. Dan Pendidikan bukan hanya satu hala - dari guru kepada anak. Ketika anak-anak belajar, guru juga mempunyai peluang untuk belajar.

14. Pendidikan dua hala ini merangkumi lebih dari guru dan pelajar, tetapi institusi pendidikan dan masyarakat juga. Asas pendidikan ialah melahirkan insan yang berfungsi di tengahtengah setiap komuniti dan masyarakat. Tetapi, komuniti dan masyarakat juga berperanan besar untuk menyumbang ke arah merealisasikan impian yang telah kita lakarkan bersama. Tidak kiralah siapapun kita - pendidik, staf pentadbiran atau sokongan, ibu bapa, pelajar, civil society, mahupun pihak swasta, terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama.

15. Pendidikan ialah tanggungjawab semua. Kita tidak mahu lagi pendidikan menjadi begitu terasing dengan masyarakat. Pendidikan seharusnya menjadi penyelesai kepada masalahmasalah yang melanda masyarakat, dan menjadi pemangkin kepada lahirnya masyarakat yang maju, bersatu padu dan berdaya saing. 

16. Yang ingin saya tekankan ialah tugas mendidik ini bukanlah tugas guru semata-mata. Setiap daripada kita ialah pendidik dan kita mesti menggalas tanggungjawab ini bersama-sama demi masa depan negara. Pepatah Inggeris menyebutkan: It takes a village to raise a child. Rasulullah SAW berpesan, 

ﮫِﯾﱠﺗ ِﻋَ ر ْنَ ﻋ ٌلْ وُﺋْﺳَ ﻣ ْمُ ﻠﱡﻛُﻛَ و ٍ اع َ ر ْمُ ﻠﱡﻛُ ﻛِ◌

“Kamu semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipersoalkan tanggungjawabnya terhadap kepemimpinannya.” (HR. Bukhari)

17. Memahami essence pendidikan ini, dapatlah kita mencapai hasrat menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan, dan mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi. Inilah dua visi penting yang perlu kita galasnya bersama.

18. Demi mencapai dua visi penting ini, kita telah menetapkan tiga hala tuju yang akan menjadi kompas dan paksi pergerakan kita. Tiga hala tuju tersebut ialah 1. Pendidikan berteraskan nilai, 2. Peningkatan kualiti seluruh sistem serta 3. Autonomi dan akauntabiliti untuk sekolah dan universiti.

Hala Tuju Pertama: Mengembalikan Cinta Ke Dalam Pendidikan 

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi, 

19. Cinta ialah teras kepada pendidikan. Kita mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anak kita kerana kita cintakan mereka. Dengan cintalah, kita mahu mereka mencintai ilmu, terus membesar sebagai seorang yang sentiasa mahu belajar, dan memahami bahawa pendidikan bukanlah tentang penghujungnya semata-mata, tetapi proses berterusan mengejarnya.

20. Penetapan hala tuju pendidikan berteraskan nilai (valuesdriven education) adalah sangat tepat dalam usaha menjadikan cinta sebagai teras pendidikan. Di antara banyak nilai, kita mahu memberikan tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras yang ingin kita binakan bersama, iaitu: cinta atau kasih sayang (love), kegembiraan atau kebahagiaan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect). 

21. Sekolah dan universiti harus menjadi tempat yang paling membahagiakan dan proses pembelajaran berjalan dengan penuh keseronokan, agar ia mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu. Sekolah juga harus menjadi tempat di mana perbezaan bukan sahaja dihormati, tetapi dihargai dan dirayakan.

22. Saya percaya, hakikat sebenar tujuan pendidikan ialah memanusiakan manusia. Praemodya Ananta Toer pernah berkata, “Apalah guna sekolah-sekolah didirikan kalau tak dapat mengajarkan yang mana benar, dan yang mana tidak…”. Justeru, sekolah mesti menjadi tempat untuk memanusiakan manusia, mengajarkan benar dan salah, dan mengetengahkan konsep pembelajaran melalui sifat ingin tahu. Kita tidak mahu anak-anak kita hanya diajarkan cara menjawab soalan peperiksaan, tetapi tidak diajarkan untuk bertanya soalan. 

23. Pendidikan tidak seharusnya memenjara, tetapi membebaskan. Kualiti pendidikan yang sebenar terletak kepada persoalan setakat mana kita telah berjaya membebaskan potensi dan kemenjadian anak-anak kita agar menjadi lebih daripada apa yang kita harapkan. Hal ini selari dengan penekanan satu M yang ingin kita tambah selepas 3M; iaitu selepas membaca, menulis dan mengira, kita ingin menambah M yang satu lagi, iaitu manusiawi. 

24. Sekiranya kita ingin membentuk masyarakat yang penyayang, harmoni dan bersatu menuju matlamat yang sama untuk merealisasikan Wawasan 2020, semuanya mesti bermula daripada sekolah dan universiti. Dan sistem pendidikan yang berteraskan nilai ini mampu untuk melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan sekali gus mencintai negara. 

Hala Tuju Kedua: Ketinggian Kualiti Sebagai Pemangkin Kecemerlangan, Relevansi dan Keberkesanan

Sidang hadirin yang dimuliakan,

25. Selain daripada pendidikan berteraskan nilai, Kementerian juga akan menjadikan ketinggian kualiti (high quality) sebagai hala tuju yang perlu dicapai bersama. Ketinggian kualiti merangkumi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan.

26. Kecemerlangan membawa maksud kecemerlangan pelajar supaya potensi mereka dapat dicapai tanpa mengira kebolehan dan minat, kecemerlangan pendidik, kecemerlangan institusi dan kecemerlangan sokongan sistem daripada pentadbiran dan stafstaf sokongan. Kecemerlangan ini harus dilihat dari semua aspek dan peringkat.

27. Konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara four walls of room. Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan di setiap masa dan setiap tempat. Kita perlu mempunyai mindset bahawa dunia ini ialah kelas pembelajaran sepanjang hayat. Kita mesti berusaha untuk melahirkan pelajar cemerlang yang berfikiran tinggi, yang membaca, yang mempunyai sifat ingin tahu, dan yang relevan dengan keperluan industri, serta mempunyai kearifan tempatan (local genius) yang mampu berdaya saing di peringkat global.

28. Dan ya, ini semua cabaran yang sangat besar. Kita hidup dalam zaman disebut oleh Harvard Business School sebagai VUCA – satu terma pengurusan yang merujuk kepada volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity. Kita tidak dapat mengelak malah perlu mendepani arus globalisasi melalui pendidikan yang relevan dengan generasi millenial. Golongan pendidik perlu faham dengan karakter generasi yang intim dengan teknologi, lebih jagat dan berfikiran terbuka.

29. Oleh itu, anak-anak kita perlu dilengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi dan komunikasi (ICT), malah kementerian juga akan berusaha memanipulasi teknologi blockchain, kepintaran buatan (Artificial intelligence) dan ‘penjagatan internet’ (Internet of things) di dalam sistem pendidikan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran serta penyimpanan data. Kerjasama dengan pihak swasta berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan kesukarelawanan juga akan ditingkatkan.

30. Selain itu, pendidikan STREAM (Science – Technology – Reading – Engineering – Arts – Mathematics)  juga harus menjadi tumpuan. Sains bukanlah sekadar satu subjek semata-mata, kita perlu memperkenalkan dan mempopularkan Sains sebagai satu cara hidup. Bidang STREAM adalah bidang yang menjadi tumpuan bukan hanya di Malaysia tetapi di serata dunia kerana daya saing sesebuah negara bergantung kepada penguasaan dalam bidang STREAM. Laporan Forum Ekonomi Dunia 2017 menyatakan bahawa sebanyak 65 peratus kanak-kanak yang berada di sekolah rendah pada hari ini akan bekerja dalam bidang baharu yang berlandaskan STREAM pada masa hadapan apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.

31. STREAM tidak harus menjadi bidang yang hanya ditekankan untuk ujian dan untuk kelas aliran sains, sebaliknya harus diberikan tumpuan khusus. Kaedah pengajaran guru-guru juga harus mengalami perubahan selari dengan perkembangan teknologi semasa sebagai pengupaya (enabler) untuk mempersembahkan pendekatan yang terbaik. Pendidikan bukan hanya soal apa yang disampaikan, tetap juga soal bagaimana ia disampaikan.

32. Bercakap tentang sains dan teknologi ini, kita tidak dapat lari daripada keperluan menguasai bahasa Inggeris. Justeru, kementerian telahpun memperkenalkan Highly Immersive Programme (HIP) yang bertujuan membangunkan milieu bahasa Inggeris di sekolah bagi memupuk budaya pembelajaran serta penggunaan bahasa Inggeris yang positif dalam kalangan murid. 

33. Selain HIP, program-program lain seperti program Professional Up-skilling of English Language Teachers (Pro-ELT), atau The English Language Enhancement Progamme in Secondary Schools (PPKBIS), Program Intervensi Tambah Opsyen Bahasa Inggeris (PITO BI) Sekolah Rendah dan Program English for Preschool Teachers akan ditingkatkan mutunya dan diperluaskan jangkauannya.

34. Tidak dapat tidak, untuk bertarung di pentas global, dan membawa Malaysia ke persada antarabangsa, penguasaan bahasa Inggeris ialah nilai tambah yang sangat relevan dan mustahak di sekolah dan universiti. 

Hala Tuju Ketiga: Autonomi dan Akauntabiliti

Sidang hadirin sekalian,

35. “You have brains in your head. You have feet in your shoes. You can steer yourself in any direction you choose.” Kata-kata ini membuktikan bahawa ruang membuat pilihan ialah ruang yang sangat penting, dan setiap individu harus yakin dan teguh dengan pilihan mereka. Setiap individu dan institusi saya yakin, mempunyai kemahiran dan keunikan yang tersendiri. Atas dasar inilah kita sangat mengutamakan konsep autonomi dan akauntabiliti.

36. Saya percaya, pendekatan top-down dan one-size-fits-all tidak lagi relevan. Setiap komuniti lebih memahami keperluan mereka sendiri dan perlu diberikan lebih ruang dan kepercayaan untuk membuat keputusan. Pemberian autonomi ini mesti juga hadir bersama dengan sikap kebertanggungjawaban yang tinggi (akauntabiliti) sekali gus menghasilkan pendidikan yang berkualiti.

37. Autonomi bukan sahaja tertakluk kepada pentadbiran, tetapi juga melalui usaha pihak sekolah dan universiti melibatkan pihak luar untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Kita perlu memperhebatkan pelibatan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, sama ada PIBG, alumni, NGO-NGO, agensi-agensi lain dan pihak swasta, agar penyelesaian yang lebih inovatif dan praktikal dapat difikirkan. Masalah-masalah disiplin, seperti dadah dan keciciran yang semakin serius memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh yang saya percaya dapat diselesaikan dengan sokongan dan dokongan setiap anggota masyarakat. Penglibatan ibu bapa dan guru yang telah bersara misalnya untuk menjadi pembantu guru juga boleh menjadi salah satu cara menyokong sistem pendidikan kita. Sesungguhnya sekolah itu untuk komuniti, dan universiti itu untuk masyarakat

38. Hal ini mungkin susah untuk digambarkan, tetapi saya telahpun melihat bagaimana ia boleh dijayakan. Sebagai contoh, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kluang yang telah memberikan autonomi kepada pihak sekolah untuk menentukan program dan pergerakan mereka sendiri. Setiap sekolah lebih mengetahui keperluan dan keunikan mereka, dan mereka perlu diberi ruang untuk bergerak berdasarkan kebitaraan (niche) mereka. Kata pepatah: hanya jauhari yang mengenal manikam.

Pengalaman Pembelajaran Yang Menyeronokkan

Tuan-tuan dan puan-puan,

39. Tiga hala tuju yang telah saya nyatakan iaitu 1. Pendidikan berteraskan nilai, 2. Peningkatan kualiti seluruh sistem dan 3. Autonomi dan akauntabiliti akan menjadi teras kepada agenda perubahan di sekolah dan universiti.

40. Sekolah mesti menjadi tempat yang paling selamat dan menyeronokkan. Untuk merealisasikan cita-cita ini, kementerian telah memberikan penekanan khusus empat bahagian penting di peringkat sekolah. Empat bahagian tersebut yang akan menjadi tumpuan pada tahun ini ialah:

(1) Persekitaran dan infrastruktur

41. Pertama, persekitaran dan infrastruktur — kita mahu memastikan sekolah sebagai tempat yang selamat dan sejahtera, di samping lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan. 

42. Sejak awal pentadbiran saya di kementerian, saya telah pergi memantau sekolah-sekolah daif di Sabah & Sarawak. Saya komited untuk memastikan projek membaikpulih sekolah daif di seluruh negara menjadi salah satu keutamaan. Malah, pejabat saya dilengkapi dengan dashboard yang membolehkan saya memantau secara live perkembangan projek membaikpulih sekolah-sekolah daif tersebut.

43. Pada tahun 2018 sahaja, pembaikan projek sekolah daif di Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 394 projek dengan peruntukan berjumlah RM1.703 bilion. 

44. Sehingga 31 Disember 2018, daripada 394 projek sebanyak 237 (60%) buah projek telah siap dan dikeluarkan CPC manakala 65 (17%) buah projek telah siap pembikinannya dan dalam proses pengeluaran CPC sebelum dapat diserahkan untuk kegunaan sekolah pada sesi persekolahan 2019. Baki 92 (23%) buah projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap selewatnya pada bulan Mac 2019.

45. Pembangunan Sekolah Daif pada tahun 2019 akan ditambah baik dari aspek penggunaan skala impak, kaedah pelaksanaan dan skop pembinaan. Dalam hal ini, keutamaan diberikan kepada sekolah yang telah mendapatkan pengesahan tidak selamat daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan teknikal KPM.  Selain daripada peruntukan Kementerian Kewangan, inisiatif lain seperti mewujudkan Tabung Penyelenggaraan Sekolah Kerajaan dan galakan sumbangan melalui potongan cukai kepada penyumbang juga sedang digerakkan.

46. Ingin saya tekankan sekali lagi di sini, operasi membaikpulih sekolah daif ini akan menjadi keutamaan dan bakal digerakkan dengan lebih agresif selepas ini. Menyediakan infrastruktur asas yang sempurna adalah amanah pendidikan yang perlu kita jayakan bersama. 

(2) Proses Pengajaran

47. Keduanya ialah proses pengajaran. Sejak hari pertama saya diamanahkan, salah satu fokus utama saya adalah untuk memastikan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan. Mendidik anak-anak harus dijalankan dengan penuh kasih sayang supaya dapat menanamkan perasaan cinta pada ilmu pengetahuan. Pekerjaan yang mulia dan bermakna ini seharusnya tidak menjadi sebuah pekerjaan yang menyakitkan dan membebankan.

48. Oleh hal yang demikian, kementerian sedang berusaha keras untuk mengembalikan tugas hakiki para guru iaitu mendidik dan mengajar. Atas dasar itulah kita telah berjaya mengenal pasti punca tugas-tugas perkeranian yang mengganggu tugas utama guru, yang tidak lagi relevan malah perlu dimansuhkan. Hal ini dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan dari akar umbi; iaitu para guru yang mengajar di sekolah.

49. Untuk memastikan tujuan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, kementerian mempunyai perancangan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang. Untuk perancangan jangka masa pendek, mulai Januari 2019, sembilan (9) intervensi telah digariskan untuk dilaksanakan oleh pihak Kementerian, JPN, PPD dan sekolah untuk mengurangkan beban tugas guru. Sembilan (9) intervensi tersebut telah dipecahkan kepada lima (5) inisiatif iaitu:
a. Inisiatif pertama: memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, sebanyak tiga (3) intervensi akan dilaksanakan iaitu memudahkan pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). 
b. Inisiatif kedua:  pengurusan data dan sistem online, sebanyak dua (2) intervensi akan dilaksanakan iaitu segala pengumpulan data hendaklah diambil dari sumber data sedia ada di dalam sistem KPM.  Di samping itu,  Sistem Kehadiran Murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya bagi merekod kehadiran murid. Dalam hal ini, guru tidak lagi perlu mengisi buku Jadual Kedatangan Murid. 
c. Inisiatif ketiga:  sesuai dengan pemansuhan Peperiksaan Tahap 1, sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid di sekolah. 
d. Inisiatif keempat: penyeragaman borang dan proses pemantauan, sebanyak dua (2) intervensi akan dilaksanakan untuk memastikan guru tidak lagi terbeban untuk mengisi borang kebersihan, keselamatan & penarafan kantin.
e. Inisiatif kelima: penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah, intervensi yang akan dilaksanakan akan memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

50. Lima inisiatif ini merupakan langkah pertama untuk meningkatkan kualiti pengajaran, manakala langkah kedua pula melibatkan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru-guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran yang terbaik.

51. Bercakap tentang latihan guru juga, saya ingin memaklumkan bahawa Kementerian sedang dalam penelitian khas untuk melihat semula sistem latihan guru di IPG. Pemerkasaan IPG harus dilaksanakan lebih dari sekadar menukar nama maktab-maktab perguruan sahaja. Perubahan mentaliti, budaya dan amalan adalah intipati utama perubahan yang ingin kita lakukan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan graduan. Ini adalah untuk memastikan kualiti guru yang terlatih yang dihantar ke sekolah benar-benar menepati standard yang dapat mengisi keperluan pembelajaran Abad ke-21. 

52. Saya menanamkan harapan yang tinggi buat para guru untuk terus mendidik anak bangsa dengan tekun dan bangga. Penyair Usman Awang pernah bermadah, 
“Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya, 
di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota, 
di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu, 
dia adalah guru mewakili seribu buku.”

(3) Proses Pembelajaran

53. Seterusnya adalah berkenaan dengan proses pembelajaran di sekolah. Untuk memastikan nilai-nilai yang telah saya terangkan dapat diberikan tumpuan, maka bermula pada tahun ini juga, bentuk pentaksiran bagi murid Tahap Satu iaitu bagi Tahun 1, 2 dan 3 di semua sekolah rendah akan tertumpu kepada perkembangan karakter dan potensi murid. 

54. Penekanan ini adalah berorientasikan pembelajaran (learning-centered) dan tidak lagi berorientasikan peperiksaan (exam-oriented). Pentaksiran alternatif ini akan menggantikan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun yang telah lama diamalkan. 

55. Pentaksiran Bilik Dajah (PBD) ini juga akan melihat kepada perkembangan potensi murid secara lebih menyeluruh termasuk penerapan amalan nilai murni dan kesedaran sivik khususnya yang berbentuk rutin harian. Ia akan berlaku melalui suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna buat murid dan guru. Kita ingin melihat murid gembira untuk belajar dan dapat membentuk nilai-nilai yang baik seperti rajin berusaha, amanah, hormat orang lain, tekun bekerja, dan rajin membaca.

56. Selain itu, kita juga telah memansuhkan pembahagian kelas mengikut pencapaian akademik. Hal ini kerana pembahagian kelas mengikut pencapaian akademik terutamanya seawal Tahun Satu adalah tidak selari dengan prinsip asas Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), iaitu menekankan kemenjadian murid secara holistik atau menyeluruh. Pemansuhan pembahagian kelas ini akan menjadi platform yang baik untuk mewujudkan iklim pembelajaran yang positif berteraskan nilai-nilai murni.

(4) Pendidikan Inklusif

57. Keempat dan yang terakhir ialah pendidikan inklusif. UNESCO mentakrifkan pendidikan inklusif sebagai “a process of addressing and responding to the diversity of needs of all learners.”

58. Berdasarkan takrifan UNESCO ini, jelas bahawa pendidikan merupakan hak setiap individu di sesebuah negara. Tidak wajar untuk mana-mana golongan dalam negara ini terpinggir daripada menerima pendidikan hanya kerana perbezaan status sosial dan kebolehan mereka.

59. Dalam agenda pendidikan inklusif ini, kita akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan OKU, golongan B40, orang asli dan kanakkanak tanpa dokumen turut menerima pendidikan seperti murid yang lain. Kita akan memastikan mulai tahun ini, pintu institusi pendidikan akan terbuka seluas-luasnya kepada semua kanakkanak yang berhak.

60. Kementerian bertanggungjawab memastikan setiap OKU menerima pendidikan sewajarnya. Antara usaha yang dilakukan adalah menyediakan kemudahan mesra OKU secara berperingkat di sekolah, bermula dengan Sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dan meningkatkan kerjasama antara Kementerian, syarikat korporat dan NGO berhubung penyediaan perkhidmatan pendidikan khas.

61. Mulai tahun ini juga, Kementerian telah melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-reject Policy) secara menyeluruh bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK). Ini bagi memastikan tiada murid dalam kalangan OKU yang dinafikan daripada memasuki alam persekolahan. Langkah ini diambil bagi memastikan golongan ini mendapat hak pendidikan yang sama seperti murid yang lain dan mengelakkan isu keciciran pendidikan dalam kalangan OKU.

62. Bercakap tentang hak, kementerian juga telah memutuskan untuk mengembalikan semangat SBP yang asal, iaitu untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik atau B40. Selama ini, peluang untuk mendapat pendidikan berkualiti kepada pelajar-pelajar ini begitu terhad. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kementerian untuk menyeimbangkan semula jurang ini atas dasar ekuiti sejagat kerana where you come from should not determine who you become in life. 

63. Peluang dan akses terhadap pendidikan yang berkualiti merupakan jalan keluar daripada kemelut kemiskinan yang melanda negara kita. Saya sendiri pernah melihat bagaimana contoh kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970-an dimana anak-anak miskin dibantu untuk ke luar negara, dan hari ini mereka menjadi seorang profesional dan pulang membantu mengubah nasib keluarga. Peluang dan akses ini bukan sahaja mampu menukar nasib sebuah keluarga, sebaliknya membantu seluruh generasi sekali gus menawarkan masa hadapan yang lebih cerah.

Mengembalikan Wibawa Pengajian Tinggi

64. Aristotle menitipkan pesan kepada kita, "The roots of education are bitter, but the fruit is sweet." Kelangsungan pengajian tinggi merupakan hasil daripada kerja keras kita semasa alam persekolahan, the fruit of our education. Memasuki alam pengajian tinggi ialah memasuki alam yang penuh cabaran. Di sinilah kita mengenal siapa diri kita, ke mana perjalanan kita, dan bagaimanakah kita mahu menuju ke arahnya.

65. Selari dengan visi kita iaitu untuk mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi melalui peningkatan kualiti dan penekanan nilai sebagai teras pendidikan, kita telah menggariskan empat hala tuju khusus bagi Universiti Awam dan Pengajian Tinggi. Empat hala tuju tersebut ialah: (1) Kualiti, (2) Autonomi, (3) Kolaborasi dan (4) Pengantarabangsaan.

66. Universiti ialah medan intelektual terbuka. Di situlah tempat berlakunya perdebatan teori, pergaduhan wacana dan perkongsian ilmu yang meriah dan terbuka. Inilah sebenarnya neraca kualiti setiap universiti. Hal ini sangat bertepatan dengan hala tuju kita iaitu ketinggian kualiti yang mana akan dilaksanakan menerusi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevan dan keberkesanan. Untuk mencapai tahap ketinggian kualiti yang memuaskan ini, beberapa perubahan akan dijalankan, antaranya ialah:

Para akademik perlu visible dengan penghasilan karyakarya yang memanfaatkan masyarakat. Kita juga menggalakkan universiti untuk menyuburkan budaya dialog, forum, debat, wacana dan program-program lain yang bersifat intelektual dan ke arah memberikan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara. Etika merupakan aspek yang sangat besar dan perlu ditekankan. Etika bekerja yang tidak baik, budaya plagiarism, pembulian akademik mesti dihentikan. Integriti tidak akan dikompromi, termasuk pembasmian plagiarisme, bonceng gratis dan kegilaan menerbitkan artikel yang tidak berkualiti semata-mata ingin mengejar markah penerbitan. Penerbitan yang dihasilkan mestilah mencerminkan penguasaan para intelek terhadap bidangnya sekaligus menjadi rujukan sejagat di dalam bidang tersebut. Kita akan meningkatkan kualiti geran-geran penyelidikan. Geran-geran yang akan dikeluarkan mestilah berbentuk: knowledge transfer, menggalakkan penterjemahan karya-karya besar dan mesti ke arah menyelesaikan masalah masyarakat dan negara yang bersifat semasa dan substantial. Para pensyarah yang telah dikurniakan geran kajian juga digalakkan membimbing dan membiayai calon-calon pasca sarjana mereka melalui geran-geran tersebut dengan melantik mereka menjadi pembantu penyelidik (research assistant). Bagi sistem promosi para pensyarah pula, kita akan mula bergerak ke arah penggunaan sistem yang memudahkan seperti sistem pusat data raya (big data) dengan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) yang akan memuatkan semua usaha dan sumbangan mereka sekali gus akan menentukan kelayakan kenaikan pangkat secara automatik. Tiada lagi lambakan borang yang perlu diisi. Perpustakaan akan menjadi gedung ilmu yang paling luas dan tidak berpenghujung. Sistem perhubungan antara perpustakaan seluruh universiti akan ditambahbaik dan akses-akses kepada penerbitan luar akan ditingkatkan.  Kita juga mensasarkan agar Universiti Awam dan pengajian tinggi kita menjadi rujukan dan tumpuan global. Proses pengantarabangsaan ini termasuklah dengan usaha meramaikan bilangan pelajar asing untuk datang menuntut di Malaysia selaras dengan visi menjadikan Malaysia sebagai international education hub, dan membina lebih banyak cawangan universiti tempatan di luar negara dengan kaedah satelit universiti. Selain itu, kita juga akan menggalakkan penubuhan cawangan universiti asing di dalam universiti awam seperti projek MJIIT di UTM, serta memperbanyakkan lagi kolaborasi kajian di antara universiti tempatan dengan universiti terkemuka di luar dan menggalakkan para akademik untuk menjadi profesor pelawat di universiti luar negara.

55. Untuk meningkatkan lagi autonomi di universiti, kita akan menilai semula petunjuk prestasi (KPI) setiap fakulti dan memansuhkan KPI yang bersifat one-size-fits-all. Universiti akan dibahagikan kepada kluster bagi mewujudkan sinergi dan kolaborasi agar tidak lagi bergerak bersendirian. Autonomi diberikan kepada universiti dan kluster-kluster mereka untuk menentukan KPI masing-masing. 

56. Pemerkasaan mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan telah dan akan terus diberi penekanan. Antara usaha pertama adalah pemansuhan seksyen 15 (1) (c) yang mengekang penglibatan para mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus secara sah. Pemansuhan ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. 

57. Di samping itu, melalui usahasama berterusan dengan pihak pentadbir universiti awam di seluruh negara, kita sedang berusaha untuk mewujudkan Kesatuan Pelajar (Students’ Union) yang telah lama terkubur di dalam sejarah negara. Melalui Kesatuan Pelajar ini, para mahasiswa akan mempunyai lebih banyak peranan, peluang dan lebih banyak tanggungjawab di dalam proses membuat keputusan di universiti masing-masing.

58. Dalam hala tuju yang ketiga iaitu kolaborasi, ekosistem kecendiakawanan mesti disemarakkan lagi. Ini boleh dilakukan melalui hubungan mentor-mentee antara profesor senior dan pensyarah-pensyarah baru untuk mewujudkan lebih banyak schools of thoughts dalam bidang masing-masing.

59. Dalam hal ini, universiti tidak seharusnya terasing daripada realiti kehidupan semasa. Demi mempersiapkan pelajar-pelajar kita untuk menjadi sarjana awam (public intellectual) yang mesti menggalas tugas sebagai penyelesai masalah-masalah masyarakat, pihak universiti mestilah menjalankan kolaborasi dengan semua pihak yang sesuai seperti pihak sekolah, politeknik dan Kolej Vokasional. Banyak yang boleh dilakukan oleh Universiti Awam untuk membantu komuniti setempat, termasuklah memberi latihan untuk meningkatkan kualiti PdP di sekolah.

60. Di samping itu, pihak universiti juga perlu berkolaborasi dengan pihak lain untuk mewujudkan endowment dari institusi wakaf, zakat dan alumni. Gunakanlah peluang insentif cukai untuk aktifkan endowment melalui alumni. Pihak alumni universiti awam juga diminta untuk kembali membantu alma mater masing-masing seperti yang berlaku di universiti terkemuka antarabangsa.

60. Seterusnya, kita akan menggerakkan dengan lebih drastik dan menyeluruh usaha pengantarabangsaan (internationalisation) universiti. Paling penting sekali, para akademik Universiti Awam perlu menjadi rujukan antarabangsa di dalam bidang masingmasing dan bukan lagi menjadi jaguh kampung sahaja. Karya-karya yang bermutu tinggi mesti dihasilkan dan diterjemah, proses penterjemahan mesti giat dijalankan, penjenamaan semula dan pemasaran mesti berjalan dengan lebih efektif di peringkat global. Kita juga perlu meningkatkan mobiliti profesor dan staf ke luar negara di samping juga lebih banyak ahli akademik dari luar negara berkunjung dan berkhidmat di dalam negara kita.

TVET Sebagai Pilihan Utama

61. Yuval Noah Harari di dalam karya beliau 21 Lessons for the 21st Century mengingatkan kita tentang keperluan industri di masa hadapan tidak lagi selari dengan apa yang kita pelajari hari ini. Kita mesti prihatin dan peka terhadap corak perubahan dan derasnya arus kemajuan. 

62. Oleh itu, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan keupayaan  institusi dan  sistem TVET agar terus  kekal  kompetitif dan menepati kehendak pasaran. Kementerian akan melaksanakan sistem akreditasi yang diharmonikan dengan jaminan kualiti untuk membolehkan mobiliti pelajar dalam institusi TVET termasuklah Malaysian Technical Universiti Network (MTUN). MTUN juga harus bergerak ke arah Fachhochschule di Germany dan diukur dengan penghasilan graduan teknikal dan penyelesaian isu-isu teknikal dan bukan lagi penerbitan semata-mata.

63. Kita juga akan meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan melalui pendekatan mengupayakan industri untuk menerajui pembangunan kurikulum, menghapuskan pertindihan program dan sumber, meningkatkan keberkesanan kos serta memperluas pembiayaan TVET bagi meningkatkan enrolmen.

64. Dalam masa yang sama, kementerian sedang dalam usaha  menyelesaikan isu pengiktirafan Kolej Vokasional yang kontroversial supaya pelajar-pelajar di KV ini akan diberikan hak pendidikan yang saksama. Usaha memastikan para pelajar KV mendapat pengiktirafan dari pihak-pihak terlibat, terutamanya pihak industri sedang dijalankan. Hal ini memerlukan agar KV diletakkan selari bersama insititusi-institusi TVET yang lain agar berlakunya keselarian di dalam halatuju dan hubungan dengan pihak industri. Usaha penyatuan ini selari dengan ruh penyatuan dua kementerian di bawah satu bumbung pada hari ini.

65. Politeknik dan Kolej Komuniti juga tidak akan dipinggirkan dari radar usaha reformasi yang akan dibawa pada tahun ini. Peningkatan rangkaian dan usahasama di antara kedua-dua institusi ini dengan pihak industri, terutamanya syarikat-syarikat besar dan ternama menjadi keutamaan demi memastikan kebolehpasaran graduan di dalam bidang teknikal akan sentiasa mapan. 

66. Penjajaran di antara MTUN dengan politeknik juga telah diusahakan untuk memastikan peluang graduan politeknik untuk melanjutkan pelajaran lebih terjamin. Politeknik dan kolej komuniti juga telah membuka peluang bagi para pelajar lepasan tahfiz untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran untuk kerjaya hidup mereka. 

67. Apa yang telah disenaraikan adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk menjadikan laluan TVET, Politeknik, KV dan Kolej Komuniti benar-benar setaraf dengan pilihan lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua atau pilihan alternatif.

Pendidikan Tanggungjawab Semua

Tuan-tuan dan puan-puan,

68. Firman Allah SWT di dalam Surah al-’Alaq ayat 1 hingga 5:
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang Menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhan-mulah Yang Maha Mulia. Yang Mengajar (manusia) dengan pena. Dia Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

69. Hampir pasti ketika membicarakan soal pendidikan, kita  tidak dapat lari daripada berbicara mengenai buku. Buku ialah pintu kepada imaginasi. Hanya dengan membaca, anak-anak hari ini boleh bermimpi untuk menjejak impian mereka.

70. Oleh hal yang demikian, Kementerian Pendidikan telah menggerakkan sebuah kempen besar-besaran ke arah membina sebuah masyarakat yang membaca dan cintakan ilmu. Saya menyeru semua pihak untuk menyahut gerakan #malaysiamembaca ini yang akan dipimpin oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan akan digerakkan di seluruh peringkat agar kita berjaya menjadikan budaya membaca sebagai budaya dominan sekali gus menjadikan negara kita sebagai negara membaca pada tahun 2030.

71. Dalam Amanat Tahun Baharu 2019 ini, saya telah menjelaskan hala tuju dan visi utama Kementerian termasuklah keutamaan yang akan kita berikan untuk tahun ini. Apa yang ingin dilakukan bukanlah mudah namun ia tidak mustahil sekiranya kita melakukannya bersama-sama – this is not a one-man show.

72. Selain daripada sokongan warga keluarga besar Kementerian, bersama-sama dengan saya juga ialah sekumpulan pakar-pakar pendidikan yang mewakili pelbagai bidang. Mereka ini telah diberikan peranan penting sebagai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk menasihati KPM, dan sebagai ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN) untuk melihat semula dasar dan hala tuju pendidikan masa hadapan.

73. Di kesempatan ini juga, saya menyeru semua pihak dari pelbagai bidang dan kemahiran untuk turut bersama-sama membantu menjayakan amanah ini. Saya juga mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bersama-sama kita dalam agenda pembinaan bangsa melalui pendidikan ini.

Penutup

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

74. Izinkan saya mengakhiri perutusan ini dengan berkongsi sebuah kisah; kisah seorang guru yang meledakkan harapan dan cita-cita ketika saya berusia 15 tahun. Beliau hanya seorang guru biasa di sebuah sekolah yang biasa. Yang luar biasanya, dari darjah 1 sampailah darjah 6, beliau tidak pernah lulus peperiksaan. Dan beliau cuma mula bersekolah semula pada umur 18 tahun, mengambil peperiksaan SPM dan STPM kemudiannya melanjutkan pelajaran ke UM dan berjaya menjadi seorang guru. 

75. Beliau sering membawa pendekatan yang berbeza dalam melihat perkara-perkara seharian, malah dalam persoalanpersoalan agama. Beliau sentiasa galakkan agar pelajar-pelajarnya selalu bertanya, persoalkan, fikir, dan cari jawapan. Beliau mengajar saya untuk melihat sesuatu perkara melalui dimensi yang lain, dan beliau sentiasa menyuruh saya untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Beliaulah insan pertama yang mengajarkan KBAT kepada saya, jauh sebelum istilah KBAT diwujudkan.

76. “Kita ini hidup dengan impian. Impianlah yang memberikan kita sebab untuk bangun esok pagi dan meneruskan kehidupan.” Saya percaya, impianlah yang menyebabkan beliau yang tidak pernah bersekolah mampu melahirkan seorang insan yang mahu bercita-cita. Impianlah yang menyebabkan saya berani untuk merasa tidak puas hati dengan apa yang ada dan menyebabkan saya menyertai politik seterusnya menyahut cabaran menjadi seorang menteri pada hari ini. Impian jugalah yang mendorong saya untuk menarik tangan tuan-tuan dan puan-puan sekelian untuk melakukan reformasi di dalam pendidikan kita pada hari ini agar masa depan negara kita akan lebih baik dari semasa ke semasa.

77. Nelson Mandela pernah menyebutkan, “Pendidikan ialah senjata terbaik untuk mengubah dunia”. Malala Yousafzai juga telah mengingatkan kepada kita semua, "Satu pen, satu buku, seorang kanak-kanak dan seorang guru boleh mengubah seluruh dunia." Begitulah bagaimana guru saya mengubah pemikiran saya sejak saya remaja. Beliau berjaya menjadi pencetus impian bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada setiap orang yang beliau didik.

78. Seawal umur saya 15 tahun, beliau telah menyemaikan satu harapan agar saya menjadi menteri pendidikan untuk membina Malaysia yang lebih baik di masa hadapan. Beliau jugalah yang telah menjentik pemikiran kritikal saya untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai proses pembinaan manusia berdaya saing di dalam kehidupan tanpa tercabut sifat manusiawinya. Bersama titipan impian untuk menjadi menteri pendidikan semenjak 30 tahun dahululah yang telah memandu saya untuk sampai ke posisi di mana saya berdiri pada hari ini.

79. Justeri, pada hari yang bersejarah ini, saya mahu mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada guru saya, Ustaz Sakijan Muri yang sama-sama hadir bagi mendengar amanat ini. Terima kasih untuk segalanya, ustaz. 

80. Dan kepada semua yang hadir pada hari ini, janganlah takut untuk bercita-cita, janganlah takut untuk membina impian, samasamalah kita menggembleng tenaga demi memugar masa hadapan anak bangsa yang lebih cerah. Kata pepatah arab, : ﻣﻦ ﯾﺰرع ﯾﺤﺼﺪ sesiapa yang menanam akan memetik hasilnya,  إذا ﺻﺪق اﻟﻌﺰم وﺿﺢ اﻟﺴﺒﯿﻞ: dan sesiapa yang benar-benar ada kemahuan, akan terbukalah jalan untuk mencapainya.

81. Sekian, wabillahi taufiq, walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



---
#terbaeekkk ‎#kipidap #‎mknaceunlimited‬ #‎mknace‬ ‎#blogger‬ #‎photography‬ #‎photoblog‬ ‎#‎SJCAM‬ ‎#SJ4000‬ #J3‬ ‎#Samsung‬ ‎#GalaxyCamera ‎#altek ‬#‎cubic‬ #love‬ ‎#followme‬ #‎beautiful‬ #‎blogoftheday‬ #fun‬ #like‬‎ #life‬ #colorful‬‎ #photooftheday‬ #‎MyExperience #‎mknaceunlimited,‬ #‎mknace‬, ‎#blogger,‬ #‎photography,‬ #‎photoblog,‬ #‎MyExperience‬,

Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :

http://mknaceunlimited.blogspot.com/2019/01/amanat-menteri-pendidikan-tahun-2019.html

Kempen Promosi dan Iklan
Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua.

Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini
Amanat Menteri Pendidikan 2019 Setting Khas Paparan Layar Besar Di Jpn Johor

Amanat Menteri Pendidikan 2019 Setting Khas Paparan Layar Besar Di Jpn Johor

papar berkaitan - pada 18/1/2019 - jumlah : 377 hits
Amanat Menteri Pendidikan 2019 Setting khas paparan layar besar di JPN Johor Buat setting khas supaya dapat ditonton bersama di Bilik Mesyuarat Selasih Kami buka youtube eduwebtv Kebanyakan pegawai menggunakan peranti mudah alih masing masi...
Takwim Persekolahan Tahun 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia

Takwim Persekolahan Tahun 2019 Kementerian Pendidikan Malaysia

papar berkaitan - pada 10/1/2019 - jumlah : 562 hits
Takwim Persekolahan Tahun 2019 Hi Korang Walau sesi persekolahan dah bermula pun minggu lepas rasanya masih belum terlewat lagi Diah nak kongsikan jadual takwim persekolahan untuk tahun 2019 Semoga berguna untuk ibu bapa dekat luar sana tu ...
Rph 2019 Kssr Tahun 6 Pendidikan Jasmani

Rph 2019 Kssr Tahun 6 Pendidikan Jasmani

papar berkaitan - pada 6/1/2019 - jumlah : 611 hits
RPH 2019 KSSR Tahun 6 Pendidikan Jasmani Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua Alhamdulillah perkongsian kali ini berkaitan Rancangan Pengajaran Harian yang telah disediakan untuk dimuat turun oleh warga pendidik sekalian Umum sedia m...
Mahathir Menteri Kabinet Sertai Rakyat Sambut Kemeriahan Tahun Baharu 2019

Mahathir Menteri Kabinet Sertai Rakyat Sambut Kemeriahan Tahun Baharu 2019

papar berkaitan - pada 1/1/2019 - jumlah : 257 hits
Tepat jam 12 tengah malam percikan bunga api berwarna warni menghiasi ruang udara di seluruh negara mengalu alukan kemunculan tahun baharu 2019 Meskipun 2018 dipenuhi dengan pelbagai peristiwa yang meninggalkan kenangan pahit dan manis namu...
Selamat Tahun Baru 2019 Buat Semua

Selamat Tahun Baru 2019 Buat Semua

papar berkaitan - pada 16/1/2019 - jumlah : 349 hits
MASIH BELUM TERLEWAT UNTUK MAMA NAK UCAP SELAMAT TAHUN BARU KENGKAWAN ALAM MAYA SEMUA WALAU DAH BERLALU BEBERAPA HARI KAN
Jokowi Ingatkan Para Menteri Kabinet Hati Hati Hadapi Tahun Politik 2019

Jokowi Ingatkan Para Menteri Kabinet Hati Hati Hadapi Tahun Politik 2019

papar berkaitan - pada 8/1/2019 - jumlah : 324 hits
Presiden Joko Widodo atau Jokowi mengingatkan para menteri untuk berhati hati menghadapi tahun politik 2019 Jokowi meminta jajaran menterinya menjaga Pilpres serta Pileg berjalan dengan aman dan demokratis
Undang Undang Terpakai Pada Semua Raja Menteri Rakyat Biasa Pm

Undang Undang Terpakai Pada Semua Raja Menteri Rakyat Biasa Pm

papar berkaitan - pada 3/1/2019 - jumlah : 257 hits
Diterbitkan Hari ini 10 32 malam Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan tiada peruntukan yang mengecualikan sesiapapun daripada kedaulatan undang undang Perdana menteri berkata kedaulatan undang undang terpakai kepada semua orang darip...
Dampak Kebijakan B20 Dan Kenaikan Tarif Impor Mulai Terlihat Di Tahun 2019

Dampak Kebijakan B20 Dan Kenaikan Tarif Impor Mulai Terlihat Di Tahun 2019

papar berkaitan - pada 2/1/2019 - jumlah : 256 hits
Direktur Eksekutif Center of Reform on Economics Indonesia Muhammad Faisal mengatakan dampak upaya pemerintah untuk menekan impor melalui implementasi B20 maupun penaikan tarif PPh barang impor akan mulai terlihat di tahun 2019
Pemansuhan Tol Tanjung Kupang Johor Hadiah Tahun Baru Kata Timbalan Menteri

Pemansuhan Tol Tanjung Kupang Johor Hadiah Tahun Baru Kata Timbalan Menteri

papar berkaitan - pada 1/1/2019 - jumlah : 260 hits
Pemansuhan tol Tanjung Kupang Johor hadiah Tahun Baru kata timbalan menteri Dikemas kini 2 jam yang lalu middot Diterbitkan
Sah Kes Najib Razak Cacat

Rahsia Kawal Gula Dalam Darah Supaya Tak Melompat Lompat Lagi

Tremendous Nadi Collaboration

Kebaikan Rawatan Rendaman Kaki Bersama Garam Bukit Dan Ais Batu

Salam Dalam Salat Jenazah Sekali Atau Dua Kali

10 Praktik Keberlanjutan Yang Wajib Diterapkan Di Tahun 2025

Takwim Cuti Persekolahan Tahun 2025 2026

Melawat Ke Sand Dunes Di Tottori Jepun


echo '';
5 Insiden Jalan Sesak Yang Berlaku Lebih 24 Jam Durasinya

Senarai Lagu Tugasan Konsert Minggu 6 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

Keputusan Markah Peserta Konsert Minggu 5 Gegar Vaganza 2024 Musim 11

10 Filem Drama Seram Melayu Berhantu Terbaru 2024 2025 Mesti Tonton

One In A Million 2024 Senarai Peserta Juri Format Pemarkahan Hadiah Dan Segala Info Saksikan Live Di TV3 Malaysia Dan Tonton Calpis Soda OIAM


The Skill Hexagon The Power Of Multifaceted Abilities

Skill Up Steam Curator

Dua Sahabat Makan Ikan Mentah Minum Air Laut Sepanjang Hanyut

Godox Perkenalkan Lampu Led Knowled Ms60r Bi Yang Sangat Fleksibel

Adi Putra Alami Jangkitan Kuman Di Paru Paru Kini Dalam Keadaan Baik

Jangan Risau Gadis M Sia Bimbang Bf Terlalu Akrab Dengan Sepupu Perempuannya