Amal Doa Ini Untuk Lebih Kuat Menghadapi Cabaran Dan Masalah
Pernahkah kalian mendengar bahawa dunia ini adalah medan perjuangan dan syurgalah sahaja tempat istirehat yang sebenar-benarnya. Lalu apakah yang dimaksudkan dengan medan juang? Darah, tangisan, duri, duka dan pengorbanan adalah gambarannya. Maka sebesar sabar dan tawakal adalah ubat paling mujarab. Sesudah berjuang, ganjaran pasti menanti.
Dalam surah Al-ankabut Allah berfiman yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata:
‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya orang yang berdusta.’”
Semulia Makluk Juga Diuji
Maha Suci Allah yang mengotakan segala apa yang dikata. Pandanglah di dunia ini, siapa sahaja yang tidak pernah berhadapan dengan masalah dan ujian hidup. Lumrahnya apabila memegang taklifan sebagai seorang manusia, hidupnya diuji.
Sejak awal kejadian manusia bermula dengan kemunculan Adam dan Hawa, telah diuji manusia tentang keimanannya, ketaatannya, kesetiannya sehinggalah ujian yang dihadapi oleh kita manusia biasa hari ini. Tiada seorang pun yang terlepas.
Dalam menghadapi liku ujian, Allah Taala melihat respon dan reaksi hambaNya. Adakah makin mendekat kepada Allah ataupun makin menjauh dan tersasar dari landasan kebenaran. Tiada daya upaya untuk mengelak daripada cubaan yang mendatang tetapi bukankah akal yang dikurniakan ini fungsinya untuk berfikir dan membuat keputusan? Kita juga bahkan disediakan senjata yang paling dekat dan ampuh, iaitu doa.
Doa Apabila Bersedih
Tertarik saya dengan perkongsian daripada Ustazah Asma Harun yang telah mula tular di media sosial berkenaan ayat suci Al-Quran.
Surah Ghafir ayat 44.
وَأُفَوِّضُ أَمري إِلَى اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ بَصيرٌ بِالعِبادِ
“… aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”.
Doa ini jika diamalkan dalam kehidupan seharian dengan penuh yakin, sudah tentu hati yang bercelaru akan kembali tenang, fikiran yang buntu, akan kembali segar.
Lihatlah maksud ayat Quran diatas, cukup cantik. Seorang hamba menyerahkan seluruh urusannya kepada Yang Maha Menguasai Dan Mengetahui. Apa sahaja ujian, datangnya dengan keizinan Allah. Maka daripadaNya jualah penawar segala resah dan gelisah yang timbul disudut hati.
Berkongsi derita kepada manusia, belum tentu kita berasa lega dan aman. Allah adalah yang paling memahami kita. Tanpa perlu kita bercerita, diam kita sahaja sudah membuat Allah Tahu malah lebih tahu daripada diri kita sendiri. Sayanglah seandainya ujian yang bertandang tidak mengakrabkan hubungan kita dengan Allah.
Serahkan segala urusan kepada Allah. Libatkan Dia dalam segenap urusan biarpun urusan yang dianggap kecil dan senang. Moga dengan itu, segala kekecewaan yang datang dapat dikawal dan dihadapi dengan sederhana. Seandainya kejayaan yang berkunjung, tidak pula membuat kita berbangga diri. Itulah indahnya apabila seluruh urusan, seluruh jiwa diserahkan kepada Rabbul Izzati.
Sumber: tzkrh.com
The post Amal Doa Ini Untuk Lebih Kuat Menghadapi Cabaran Dan Masalah appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/amal-doa-ini-untuk-lebih-kuat-menghadapi-cabaran-dan-masalah/