Aliff Syukri Dah Insaf Taknak Cipta Gimik Murahan Lagi
Najiy Jefri
Datuk Seri Aliff Syukri bersama isteri dan anak-anak. Foto Instagram Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, 36, nekad untuk mengurangkan kontroversi dan mencipta gimik murahan demi menarik perhatian warganet.
Aliff berkata, dia juga kini sudah mula memperlahankan rentak di media sosial supaya kehadirannya dilihat lebih matang dan dikenali sebagai usahawan berjaya.
"Saya mengaku awalnya saya kejar glamor sebab saya bukan artis, tapi rupa-rupanya glamor tanpa duit pun tak ada erti. Kalau perasan enam bulan kebelakangan ini, saya lebih selesa mendiamkan diri daripada kontroversi.
"Sejujurnya saya dah tak suka dengan kamera. Kalau nak cari kontroversi mudah saja, asal ada orang buat isu saya boleh menyelit dan ulas sebab pengikut saya dah tinggi... bukan nak riyak tapi itulah hakikatnya.
"Jadi sekarang saya mahu lebih matang, tengok orang lain buat gimik itu dan ini, saya rasa tak apalah sebab kita dah merasa dulu. Saya dah tak perlukan lagi. Apa yang saya cari sekarang adalah ketenangan," katanya ketika ditemui pada majlis Malam Aspirasi D'Herb yang diadakan di sebuah hotel, semalam.
Menurut Aliff, keputusan terbabit dibuat selepas menyedari anak-anaknya sudah semakin meningkat remaja dan enggan dirinya tidak dihormati oleh isteri dan anak-anak kelak.
"Jika diikutkan, anak pertama saya dah masuk tingkatan tiga, bila dia tanya... abah kenapa video viral macam ini, kita pun jadi malulah. Jadi saya fikir walaupun kurang kontroversi, maruah itu lagi penting.
"Anak-anak pun dah semakin membesar, dah jadi anak bujang dan anak dara. Saya dan isteri menjadi saksi betapa sukarnya nak membesarkan mereka dan kami pun dah tak boleh nak marah-marah sebab takut mereka memberontak, jadi dari situ kami sedar.
"Saya nak jaga reputasi saya sebagai bapa. Saya mahu hubungan perkahwinan saya dan isteri berkekalan. Saya nak rasa dihormati oleh isteri, anak-anak dan masyarakat," katanya.
Tambah Alif, dia berharap perubahan yang bakal dilakukan dapat diterima baik oleh semua pihak kerana sudah tidak sanggup lagi terkait dengan sebarang kontroversi.
"Sebenarnya kontroversi ini seronok tapi, biarlah dia datang secara semula jadi bukan dibuat-buat sebab nak kejar glamor. Kalau ikutkan saya pun nak popular hingga umur 60 tahun tapi bukan dengan cara yang murah.
"Saya kena sedar diri yang saya akan tua. Tak lama lagi dah nak masuk 40 tahun, rambut pun dah beruban. Sekarang adalah masa untuk saya jadi ahli perniagaan sebenar bukan nak 'gelenya-gelenya' (gedik) lagi. Saya tak nak dah. Nanti orang kata orang tua tak sedar diri.
"Dalam tahap sekarang ini, saya nak beserdahana saja. Alhamdulillah semua dah cukup. Nak kata kaya tujuh keturunan saya tak berani sebab kita bukan Tuhan, kita tak tahu mungkin satu hari nanti saya akan susah juga tetapi buat masa ini cukuplah boleh hantar anak ke sekolah, bayar gaji pekerja dan tidak dihimpit kontroversi murahan," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/aliff-syukri-dah-insaf-taknak-cipta.html