Aksi Lgbt Tomok Haram Tetap Haram Pu Amin
PERSOALAN mengenai perkongsian foto Tomok berpakaian wanita pada Selasa lalu akhirnya terjawab apabila penyanyi itu sebenarnya menghasilkan muzik video berjudul Bekas Kekasih
yang dilancarkan pada Khamis.
Selain Tomok, aktor Beto Kusyairi juga berlakon dalam karya berkenaan yang menampakkan dia turut berpakaian seperti wanita.
Bagaimanapun imej berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen malah mereka mempertikaikan tindakan selebriti itu yang dianggap tidak menghormati agama Islam yang melarang seseorang tampil dengan imej berlawanan jantina.
Mengulas hal itu, Pencetus Ummah (PU) Amin berkata, biarpun video muzik tersebut ada memberi mesej positif dan unsur dakwah namun ia tetap haram dari segi agama.
Pemilik nama Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim ini berkata, hal itu telah disebut berdasarkan hadis Ibnu Abbas RA.
"Saya sudah melihat video muzik itu dan memang benar ada mesej positif dan unsur dakwah tapi cara penyampaian itu tetap salah dan haram.
"Menerusi hadis Ibnu Abbas mengatakan Rasulullah SAW melaknat lelaki yang meniru gaya perempuan dan melaknat perempuan yang meniru gaya lelaki.
Beto (kiri) dan Tomok berpakaian merupai wanita untuk video muzik lagu Bekas Kekasih.
"Walaupun hanya berniat sekadar lakonan dan untuk berdakwah tapi ia tetap haram dan berdosa," katanya ketika dihubungi.
PU Amin terkenal kerana keberaniannya menegur isu berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di media sosial sehingga menjadi perhatian netizen.
Dalam pada itu, PU Amin memberitahu apa yang dilakukan Tomok mungkin akan memberi kesan yang negatif kepada golongan tertentu dan boleh menjadi ikutan.
Katanya, ada banyak lagi cara yang lebih sesuai dan betul untuk menyampaikan sesuatu dakwah atau mesej yang baik berbanding berpakaian wanita.
"Video muzik itu mungkin akan memberi kesan negatif. Lagi-lagi pada gerakan transgender yang berasakan isu itu bukan lagi sesuatu yang sensitif dalam masyarakat.
"Malah, ada kemungkinan besar juga ia akan menjadi satu ikutan. Maksudnya, selepas ini, ramai anak muda atau artis akan melakukan benda yang sama dengan niat hanya suka-suka atau lakonan.
"Saya tahu Tomok bukan seperti itu. Tapi sekiranya mahu menyampaikan dakwah perlulah dengan cara yang betul. Saya perlu tegaskan yang haram tetap haram," ujarnya.
Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan kenyataan Tomok mengenai video muzik itu tidak berjaya.
Namun menerusi artikel sebuah portal hiburan, Tomok mengatakan tujuan dia berpakaian sebegitu demi menghidupkan lagi jalan cerita dalam video muzik tersebut. -mstar
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mygosiphub.blogspot.com/2018/11/aksi-lgbt-tomok-haram-tetap-haram-pu.html