Akaso V50 Pro Kamera Aksi Harga Mampu Milik Dengan Rakaman 4k Asli
Akaso adalah jenama pertama bagi kategori kamera aksi yang saya miliki. Setelah menggunakan Brave 4 yang boleh dikatakan sebagai ‘GoPro Marhaen’, saya terus terasa ingin menaik taraf bagi mendapatkan pengalaman dan kualiti rakaman yang lebih baik lagi.
Sememangnya hasil rakaman dari Brave 4 boleh digunakan untuk tugas ‘bidan terjun’ ketika kamera utama tidak berfungsi. Ianya lebih dari sekadar boleh diharap, cuma saya yakin perbezaan harga antara Brave 4 dan V50 Pro pasti ada sesuatu yang signifikan bagi memisahkan antara keduanya.
Lalu kini model Akaso V50 Pro telah pun saya miliki.
Saya cuba untuk kurangkan ‘kesilapan’ tetapan ketika ujian sesi yang lalu, dan inilah hasil yang saya boleh kongsikan.
Terlebih dahulu mari kita buka kotak.
Tapi harap jangan terperanjat pula dengan gambar-gambar seterusnya.
Eh eh, apa dah jadi ni?
Begini, pakej yang saya pesan adalah terus dari China. Sebaik saya buka bungkusan, saya dapati pemegangnya telah patah. Mujurlah ia tidak diperlukan untuk menggunakan kamera ini.
Wahhh, kenapa sampai bergunting tu?
Tidak seperti bungkusan kotak Brave 4, model V50 Pro ini menggunakan gam yang tersangatlah kuat. Saya tidak mahu buka ia dari bawah kerana tidak dapat tidak, kameranya berada di bahagian ‘kotak plastik’ keras di atas. Ia perlu juga dibuka.
Dan seperti gambar di bawahlah hasilnya.
Jangan gelakkan saya. Sedih tahu? Sayang betul kotak plastik tersebut dah pun jadi sejarah hitam dalam pengalaman saya sepanjang membuka kotak produk.
Oh, masalah belum habis lagi. Mohon tahan dulu ketawa tu.
Ya Tuhan, apa masalah lagi ni?
Saya cuba sedaya upaya menggunakan tangan untuk buka pengikat kamera. Hampir saja saya patahkan ia. Rupa-rupanya apa yang saya perlukan adalah satu alat yang telah disediakan dalam kotak. Kenapalah saya tak cuba semak dahulu.
Inilah dia rupa alat yang dapat membantu saya untuk membuka pengikat kamera tersebut.
Bagaimana pula rupa kamera aksi setelah ia dikeluarkan dari kotaknya?
Beginilah rupanya setelah ia dikeluarkan ya. Memang cantik, tidak ubah seperti kamera mahal. Tetapi harganya tak sampai pun RM400. Ya, dari penulisan ini anda boleh agak yang saya amatlah berpuas hati dengan apa yang saya dapat kali ini.
Apa yang ada dalam kotak?
1x Kamera AKASO V50 Pro
1x Pengecaj bateri.
2x Bateri berkapasiti 1100mAh.
1x Bekas kalis air.
1x Alat kawalan jauh.
1x Bicycle Stand.
10x Mount.
2x Helmet Mount.
1x Bandage.
5x Tethers.
1 x Penutup belakang.
1x Kabel USB.
1x Kain pengelap kanta.
1x Manual pengguna.
Ini gambar yang lebih jelas untuk apa yang akan ada dapat jika anda beli ‘pakej’ V50 Pro.
Pengecaj beserta dua biji bateri.
Inilah antara sebab-sebab kukuh mengapa saya amat menyukai Akaso. Apabila anda beli saja kameranya, ia sudah hadir dengan pelbagai aksesori, dan ia juga serasi dengan mana-mana aksesori dari GoPro.
Anda tidak perlu membeli pengecaj bateri, dan baterinya juga diberikan dua biji. Apa yang anda perlu beli hanyalah kad microSD, dan jika itu pun anda sudah ada, maka apa yang tinggal hanyalah mulakan rakaman.
Kenapa model V50 Pro lebih baik dari model sebelumnya?
Model ini menyokong mikrofon luaran, yang mana ia akan dapat membantu anda terutamanya vlogger dalam mendapatkan kualiti suara yang lebih bagus dari rakaman mikrofon terbina dalaman.
Mikrofon luaran ini boleh dibeli di Shopee, dengan harga semurah RM7.99.
Selain itu, Akaso V50 Pro juga mempunyai panel skrin boleh sentuh, tidak seperti Brave 4 yang perlu dinavigasi menggunakan butang.
Cuma, kelebihan Brave 4, ia mempunyai skrin di hadapan, yang memudahkan pengguna untuk menyemak status semasa kamera sama ada ia aktif ataupun tidak.
Selain itu, anda boleh gunakan alat kawalan jauh yang juga diberikan secara ‘percuma’ di dalam kotak, atau anda boleh hubungkan ia kepada telefon pintar anda untuk mengawalnya menggunakan aplikasi iSmart Pro+.
Anda boleh lihat bagaimanakah rupa paparan antaramuka penggunanya pada gambar berikut.
Atau, jika anda buat ia melintang, ia akan kelihatan seperti ini.
Kalau nak diambil kira tentang aksesori, maka sama sahaja dengan Brave 4. Ia juga ada semua aksesori yang dinyatakan. Jadi di mana lebihnya V50 Pro?
Model V50 Pro menggunakan chipset iCatch v50 dan sensor Panasonic 34112. Gabungan kedua spesifikasi ini sudah banyak digunakan pada jenama kamera aksi bajet yang lain dalam mendapatkan rakaman 4K. Perkara ini tidak asing lagi, mungkin kerana kosnya yang lebih murah. Tetapi kualiti rakamannya bagaimana?
Mari kita tonton satu sampel video 4K yang saya sediakan. Cuma maaflah, mikrofon tersebut saya pegang terlalu dekat dengan mulut. Disebabkan itu bunyinya agak ‘pecah’ sedikit. Rakaman yang akan dibuat selepas ini saya akan letakkan ia berdekatan dengan badan supaya vokal saya tidak jadi terlalu bingit.
Biasalah, ‘pengalaman pertama’.
Kalau anda ambil gambar dengan resolusi 20MP (default) pula bagaimana? Ok atau tidak?
Anda boleh lihat sendiri hasil gambar yang saya ambil pada waktu petang semalam.
Super Wide Mode.
Super Wide Mode.
Super Wide Mode.
Narrow Mode.
Narrow Mode.
Narrow Mode.
Kamera ini punyai mode Narrow, Medium, Wide, dan Super Wide. Anda boleh cuba setiap satunya untuk lihat perbezaan.
Jadi apa kelebihan dan kekurangannya yang jelas nyata (pro dan kontra)?
Apa sahaja benda di dunia ini pastilah ada pro dan kontranya. Akaso V50 Pro juga tidak dapat lari dari hakikat itu.
Pada saya, ada dua kontra yang saya tidak beberapa suka iaitu pertamanya, ia masih mengguna pakai port Mini USB, yang juga bertindak sebagai tempat untuk anda alihkan gambar dan video ke PC, atau sebagai tempat untuk anda masukkan mikrofon luaran.
Keduanya, ia tiada fungsi rakaman 4K 60fps. Hanya model V50 Elite sahaja yang ada fungsi tersebut, itu pun tiada EIS. Anda perlu gunakan gimbal juga bagi mendapatkan rakaman yang stabil.
Selain itu, tiada apa lagi yang dapat saya coretkan mengenai kekurangannya.
Kelebihan yang ada pada model ini mengatasi kekurangan yang wujud.
Jika anda inginkan satu kamera aksi yang mampu merakamkan resolusi 4K secara asli, tetapi harganya dalam kategori mampu milik, tidak perlu tercari-cari lagi. Akaso V50 Pro adalah satu model yang berjaya menambat hati saya.
Ia ada skrin sesentuh, menyokong mikrofon luaran, boleh dibawa ke dalam kolam renang atau rakaman dalam laut dengan bantuan bekas kalis air, boleh dipautkan ke helmet dengan mount yang tersedia secara percuma di dalam kotak, ada dua bateri siap pengecajnya sekali, dan pelbagai lagi ciri yang mana jenama mahal pun belum tentu mampu tawarkan dengan harga sebegini.
Kalau berminat, anda boleh beli melalui pautan Shopee di sini: Akaso V50 Pro.
Atau boleh juga dapatkan melalui Lazada: Akaso V50 Pro (LazMall).
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/akaso-v50-pro-kamera-aksi-harga-mampu-milik-dengan-rakaman-4k-asli/