Ajal Ketika Memandu Bas Ekspres Akibat Serangan Jantung
IPOH: Seorang pemandu bas ekspres meninggal dunia akibat serangan jantung apabila tiba di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, Johari Abdul Jalil, 57, sedang memandu dan membawa penumpang dari Kuala Lumpur menuju Pulau Pinang, sebelum dipercayai mengalami sakit dada dan bertindak berhenti di lorong kecemasan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan.
Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia pada jam 3.14 pagi.
Rakan sekerja mangsa yang enggan dikenali berkata, arwah difahamkan sudah mengalami sakit dada ketika tiba di Simpang Pulai, namun masih dapat memandu hingga ke Plaza Tol Ipoh Selatan sebelum berhenti di situ.
“Saya difahamkan mangsa sempat berhenti di lorong kecemasan dan menarik brek tangan sebelum tidak sedarkan diri.
“Berita tersebar di media sosial mengatakan arwah ambil keputusan keluar Tol Ipoh Selatan untuk berhenti minum adalah tidak benar dan tiada langsung insiden membahayakan penumpang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.
Beliau berharap orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita tidak tepat kerana boleh menyinggung perasaan ahli keluarga dan rakan yang mengenali mangsa.
Sementara itu, isteri mangsa, Noriza Mustaffa, 52, yang hadir menuntut jenazah berkata, dia mendapat maklumat mengenai kejadian menimpa suaminya kira-kira 3 pagi daripada rakan mangsa.
“Saya bersama anak terus bertolak ke Ipoh dari Alor Setar, Kedah dan tiba 7 pagi tadi.
“Arwah sebelum ini tidak pernah mengadu atau memberitahu ada penyakit jantung dan keluarga hanya mengetahui dia ada penyakit darah tinggi,” katanya.
Beliau berkata, mereka mempunyai tiga anak dan seorang cucu dan arwah baru saja bekerja dengan syarikat bas berkenaan dan sebelum ini memandu bas syarikat lain serta mempunyai bas sendiri.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.kelimerah.com/2019/07/ajal-ketika-memandu-bas-ekspres-akibat.html