Aizat Amdan Hidup Harus Diteruskan
Kehidupan diteruskan seperti biasa, namun saya tidak dapat menafikan sejak Januari sampai sekarang hidup saya sunyi dan senyap. Fokus saya sekarang bagaimana ingin meneruskan kehidupan tanpa seorang ayah.
Itu antara luahan sayu penyanyi berbakat besar, Aizat Amdan selepas hampir lima bulan kehilangan ayah tercinta, Datuk Amdan Mat Din yang meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar pada 9 Januari lalu.
Kehidupan harus diteruskan walau sepahit mana dugaan datang menimpa dan perkara tersebut diakui pelantun lagu Hanya Engkau Yang Mampu itu ketika ditemui Kosmo! di pejabat Warner Music (Malaysia) Sdn. Bhd. baru-baru ini.
“Kita tidak akan memiliki apa yang kita mahu selama-lamanya. Cepat atau lambat, orang atau benda yang kita sayang akan pergi juga.
“Apabila kita kehilangan seseorang, orang akan cakap, kesedihan itu akan berlalu dan kita perlu move on (bergerak ke depan) tetapi bagi saya juga, kita juga perlu untuk bergerak ke hadapan pada masa yang sama,” kata Aizat, 30.
Cukup terkesan dengan kehilangan ayah tercinta, Aizat berkongsi kesayuan dan pagan atau keteguhan jiwanya menerusi sebuah lagu baharu berjudul Angin Lalu.
Lagu tersebut merupakan ciptaan Aizat sendiri, abangnya Anas dan Mel Ramlan.
Angin Lalu
Kongsi Aizat, dia yakin apa yang dilaluinya turut dirasai mereka yang pernah kehilangan orang tersayang.
“Sepatutnya lagu ini dikeluarkan pada Disember tahun lalu tetapi keadaan ayah tidak mengizinkan ketika itu.
“Sebelum memilih tajuk Angin Lalu, sebenarnya tajuk lagu ini ialah Sepi. Apa yang saya boleh katakan, lagu ini bercerita mengenai kehilangan seseorang. Bukan mengenai kisah untuk melupakan tetapi bagaimana kita membawa apa yang berlaku ke masa depan.
“Termasuk dugaan dan memori yang ada kerana kita tidak mungkin akan melupakannya,” katanya
Bercakap mengenai filem pendek untuk lagu baharunya itu, kata Aizat, apa yang ingin dilakukannya adalah sebagai gimik sebelum melancarkan lagu itu pada 17 Mei nanti.
“Memang filem pendek ini gimik sebab dalam waktu sekarang kita perlu lebih kreatif. Jadi, saya pilih untuk menerbitkan sebuah filem pendek. Bagaimanapun, saya tidak berlakon sekadar membuat kemunculan istimewa sahaja.
“Nampak berbeza sedikit untuk lancarkan lagu begini dalam bulan puasa kerana selalunya lagu-lagu raya sahaja, jadi saya mahu buat kelainan,” ungkapnya.
Filem pendek berkenaan sudah boleh ditonton melalui laman perkongsian video YouTube, Vlog Aizat sejak 26 April lalu.
Impian ayah
Diajak bercerita tentang impian ayahnya yang belum dilaksanakan, kata Aizat, sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah mengimpikan untuk melihat Aizat mengadakan persembahan orkestra.
“Saya pun tidak tahu tetapi sebelum ayah meninggal dunia, dia ada menyuarakan hasrat untuk melihat saya mengadakan persembahan orkestra.
“Insya-Allah kalau ada rezeki dan peluang, saya akan cuba penuhi impian tersebut walaupun sekarang dia sudah tiada lagi sisi,” terang Aizat.
Kongsinya lagi, sewaktu hayat, ayahnya adalah pengkritik paling jujur dan tegas dalam setiap karya muzik yang pernah dihasilkan.
“Sebelum ini, kalau saya lancar lagu baharu, arwah ayah akan jadi orang yang pertama yang mengkritik. Dia adalah pengkritik terhebat muzik saya.
“Sekarang ayah sudah tiada, tempat itu (pengkritik) diganti oleh mak dan ahli keluarga yang lain,” tuturnya.
Berbicara tentang bagaimana kehidupannya sekarang tanpa seorang lelaki yang dipanggil ayah, jawab Aizat: “Masih terbayang-bayang. Namun, seperti yang saya katakan tadi, kehidupan harus diteruskan. Saya isi masa sunyi dengan muzik namun tidak akan pernah melupakan orang yang paling berjasa dalam hidup saya.
“Kalau sedih lama-lama pun, tidak bagus juga tetapi hidup harus diteruskan. Inilah kehidupan.”
Lima bulan selepas pemergian ayah tercinta, penyanyi Aizat bercerita tentang kesedihan melalui sebuah lagu baharu berjudul Angin Lalu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/05/aizat-amdan-hidup-harus-diteruskan.html