Aiman Tino Bengang
Sepanjang tahun lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan penyebaran video skandal seks yang didakwa mirip beberapa selebriti terkemuka tanah air.
Tidak menolak kemungkinan sekiranya perkara itu sebenarnya didalangi individu tertentu memandangkan modus operandi dan proses penyebarannya sama.
Bagi penyanyi, Aiman Tino yang juga mangsa keadaan itu, dia sendiri tertanya-tanya, apakah niat di sebalik tindakan individu tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan itu.
“Sejujurnya, saya sendiri pun tak faham, apa tujuan dan motif individu yang menyebarkan video selebriti ini. Bukan saya saja menjadi mangsa, bahkan ramai selebriti lain turut menjadi mangsa,” katanya.
Menurut Aiman, dia juga tidak menolak sekiranya insiden yang menimpa dirinya bermotifkan iri hati dan tidak mustahil sekiranya ia didalangi sindiket ‘scam’.
“Saya tak pernah bermusuh dengan sesiapa dan tak mustahil sekiranya apa yang berlaku ada kaitan dengan rasa iri hati dan sebagainya. Tak mustahil juga sekiranya ada sindiket ‘scam’ yang wujud di sebalik semua ini.
“Mungkin ada pihak yang ingin ‘mengenakan’ golongan selebriti dengan menyebarkan video tidak sepatutnya,” katanya.
Namun, Aiman yakin masyarakat sudah boleh berfikir dengan bijak dan waras sebelum menghakimi.
“Isu dan insiden ini bukanlah satu isu baru. Ia sudah muncul sejak sekian lama dan saya yakin, masyarakat pun sudah lali dengan apa yang berlaku. Saya anggap ini sebagai dugaan dalam hidup sebagai selebriti,” katanya.
FOKUS KERJAYA DAN PERNIAGAAN
Industri seni hiburan tanah air bukan saja menjadi platform untuk mengetengahkan bakat seni seseorang anak seni. Ia bahkan mampu menjadi platform atau pintu rezeki lain yang mungkin dapat menjana pendapatan lumayan.
Kerana hakikat itu, ramai anak seni yang berlumba-lumba untuk mengembangkan kemampuan mereka ke dalam bidang lain selain menjadikan seni sebagai tunjang utama kerjaya.
Bagi Aiman yang mula popular menerusi lagu Ku Rela Dibenci, kehadirannya di dalam industri sejak beberapa tahun lalu membuka pintu rezeki dan peluang untuknya mencabar kemampuan diri.
Selain menyanyi, Aiman melangkah setapak lagi dalam bidang lakonan dan juga perniagaan sekali gus menjadikannya usahawan muda.
“Muzik dan nyanyian masih lagi menjadi keutamaan saya dalam bidang seni. Namun, lakonan juga menjadi cabang seni yang saya takkan lepaskan walaupun ia bukanlah satu bidang yang dianggap serius untuk diri saya,” katanya.
Mengenai bidang lakonan, Aiman akan terus mencuba sekiranya diberikan peluang dan kepercayaan.
“Kalau ada tawaran, saya terima. Tak salah untuk mencuba nasib,” katanya.
Aiman pernah membintangi beberapa drama antaranya, Cerita Hantu Asrama, Mak Cun musim keempat dan telefilem Penunggu Simpang.
Berkongsi mengenai perniagaan pula, siapa sangka, Aiman kini mula menapak dalam perniagaan menjual produk makanan.
“Perniagaan yang saya jalankan adalah snek telur masin dan setakat ini, saya sudah memasarkan sehingga ke Singapura. Perniagaan ini juga dibantu oleh rakan perniagaan saya yang juga cef di sana.
“Alhamdulillah, selepas setahun, saya sudah nampak jalan dan peluang yang cerah dalam perniagaan ini. Insya-Allah, saya mencuba untuk membawa masuk ke pasaran tempatan pula,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aiman merancang untuk melancarkan single, Dendam Simpati yang turut dimuatkan dalam album sulung.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/01/aiman-tino-bengang.html