Ahmad Foo Chicken X Duck Rice Alor Setar
Catatan hari Sabtu, 26 Julai 2025.
Semalam saya ke Alor Setar, Kedah yang terletak kira-kira 1 jam perjalanan dari rumah Perlis - pergi beli barang keperluan dan juga ke salun rambut muslimah (rutin gunting rambut setahun sekali). Alhamdulillah saya sangat puas hati dengan servis di Shazira Salun. InsyaAllah ada rezeki nak datang lagi untuk rawatan kulit kepala pula
Selesai urusan, saya buat carian di Google Maps - ‘restoran Cina halal near me’. Berpandukan Google Maps, sampailah saya dan suami ke restoran Ahmad Foo Chicken x Duck Rice yang terletak di Kancut. Baca ulasan di Google Maps ramai yang kata sedap nasi ayam/itik di sini. Jomlah kita cuba

Restoran Ahmad Foo terletak di sebuah bangunan lama. Kawasan parkir luas dan mudah dapat parkir, tak banyak kenderaan di sini. Mungkin sebab kami ke sini sudah pun lewat dari waktu makan - hampir pukul 4 petang. Jadinya tak ramai pelanggan ketika ini

Pelanggan boleh pilih nak duduk dalam kedai atau di luar - lebih santai di ruang terbuka. Kalau datang waktu malam tentu lebih menarik suasana di bahagian luar ni
Kami melangkah masuk ke bahagian dalam restoran. Seorang pelayan lelaki menyambut mesra dengan ucapan salam

Bahagian dalam restoran, suasana seperti di kedai kopi Cina. Nampak bersih dan kemas

Gantungan itik dan ayam

Foto zoom-in.

Cara membuat pesanan - kita pergi kaunter, pilih makanan dan buat bayar. Hidangan akan dihantar ke meja kita. Dalam foto di atas hanya memaparkan sebahagian menu yang terdapat di sini.

Hidangan pilihan kami - nasi ayam roasted (potongan ayam 1/8) harganya RM9.20 dan nasi itik special (potongan itik 1/4) harganya RM17.90.

Supnya pekat sedap. Potongan ayam dan itik pula lembut berjus. Sambal cili dan sambal/pes halia cukup sedap. Pendek kata, set nasi itik dan nasi ayam ni memang sedap sesuai dengan cita rasa kami. Saya makan dengan rasa bahagia, juga rasa macam tak cukup nasi! 🤭
Kalau nak tambah nasi, sup, sambal cili dan sambal/pes halia, semuanya boleh tambah dengan harga tertentu. Tapi kami tak menambah pun, dah cukup kenyang dengan saiz hidangan yang diberi

Selaku peminat cendol, saya tak dapat menahan diri untuk mencuba Cendol Nyonya Durian. Harganya RM11.20. Rasanya sedap lemak manis tapi bukan terlampau manis

Encik Suami minum green tea, harganya RM5.50. Nampak menarik, jadi saya cuba minum. Eh, sedap pulak! Sebelum ini saya tak boleh nak telan air green tea begini. Setiap kali cuba, boleh sedut sekali je. Saya tak gemar aroma dan rasanya. Tapi yang ini, berkali-kali saya sedut 😀
Alhamdulillah…berbaloi kami cuba makan di sini. Semua makanan dan minuman yang kami pesan memang sedap! Teringin juga nak mencuba hidangan sizzling di sini, tapi menu tersebut hanya dijual selepas pukul 5 petang.
Kalau kalian ke Alor Setar, bolehlah cuba makan di sini. Selain di Alor Setar, restoran Ahmad Foo juga sudah membuka cawangan di Sungai Petani. Carian saya mendapati, pemiliknya seorang lelaki Melayu Muslim. Info lanjut boleh rujuk di akaun Facebook ‘Ahmad Foo - Chicken Duck Rice’.
Untuk ke sini, boleh ikut panduan di Google Maps carian - ‘Ahmad Foo - Chicken Duck Rice Alor Setar’. Beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi sehingga 11 malam.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2025/07/ahmad-foo-chicken-x-duck-rice-alor-setar.html