Agenda Dap Tawan Takluk Jajah Negara
Pilihan Raya Pihak Berkuasa TempatanDecember 13, 2019
TUNTUTAN DAP yang berulang kali mendesak supaya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) kembali diadakan menunjukkan kedegilan parti itu enggan akur dengan hakikat dan keterangan pernah dibahaskan. Malah, DAP tidak pernah berlunak, sebaliknya semakin mengeraskan sikap angkuh di tahap melampau apabila turut menuntut milikan tanah 999 tahun di Perak.
Walhal, tuntutan-tuntutan tersebut telah sedia dimaklumi, adalah bertentangan Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menunjukkan DAP sentiasa memilih jalan mencabar, menggugat dan kurang ajar. Malah, ia juga menunjukkan DAP hanya mementingkan diri dan tetap berkeras mengusung agendanya biarpun rakan-rakan PH menyuarakan penolakan terbuka.
Ianya lantaran sikap DAP yang sentiasa mahu menguasai secara mencengkam, bahkan tidak percaya kepada rakan sepakatan sendiri. Ini sebagaimana tindakan mengumumkan lantikan pemimpinnya, Liew Chin Tong bagi mewakili DAP kepada masyarakat Cina sekiranya PH yang meletakkan calon Bersatu menang dalam PRK P.165 Tanjung Piai baru-baru ini.
Namun, PRK tersebut jelas menunjukkan penolakan majoriti penduduk termasuk kaum Cina terhadap PH yang tempiasnya juga memberi isyarat khusus bernada ‘amaran’ kepada DAP. Namun, DAP tidak pernah belajar untuk mengharmonikan tindakannya dengan realiti rakyat dan negara. Maka kami para Pemuda PAS sanggup menjadi benteng rakyat terhadap DAP.
Oleh itu, Pilihan Raya PBT adalah sandaran DAP untuk ‘menawan, menakluk dan menjajah’ kedudukan penting dan strategik bandar-bandar di seluruh negara secara sistematik. Posisi tersebut memiliki segala aset ekonomi, kewangan dan pentadbiran, serta pengaruhnya kepada pelbagai cabang. DAP akan bermaharajalela melaksanakan tindakan yang menguntungkannya.
Ketika itu, kuasa perundangan akan digubal selaras kehendaknya, selain mempengaruhi pindaan kepada perundangan dasar yang lain. Inilah nafsu serakah seiring roh Komunisme yang tidak muncul secara kebetulan dalam negara mutakhir ini. DAP adalah dalang paling disyaki atau dibalik tabir semua malapetaka yang muncul pasca PRU14.
DAP dalam diam-diam sebenarnya sudahpun menerajui banyak kepentingan bukan sahaja di jawatan tertinggi negara, malah juga rangkaian Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Ketika sama mereka cuba menghalang rakan-rakan sepakatan sendiri menjawat posisi berkaitan dengan pelbagai alasan prinsip kononnya. ‘Halal’ untuk DAP, ‘haram’ bagi pihak lain.
Oleh itu negara ini harus gusar, kerana tindakan dibuat DAP adalah langkah ke arah ‘memperhambakan’ rakyat. DAP hanya sedia memiliki rakan kongsi dengan mereka yang sanggup tunduk patuh pada segala agendanya, itupun secara ‘diperalatkan’. Maka, membenarkan tuntutan DAP bererti membuka jalan menghancurkan kedaulatan bumi tercinta Malaysia ini.
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”
IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
– HARAKAHDAILY 13/12/2019
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2019/12/agenda-dap-tawan-takluk-jajah-negara.html