Adakah Wang Matlamat Akhir Ppbm
Dhia HaniFMT January 2, 2019
“Melayu perlu lindungi diri sendiri.“Melayu perlu berdikari, tak boleh bergantung bantuan kerajaan selamanya.“Melayu malas.”
Semua ini antara ungkapan manis yang pernah diucapkan pemimpin-pemimpin tertinggi PPBM. Antaranya, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka sentiasa mempersoalkan kehidupan orang Melayu kononnya kerana terlalu bergantung harap dengan bantuan kerajaan sehinggakan negara tidak boleh maju.
Sepatutnya sebelum Dr Mahathir atau mana-mana jua pemimpin PPBM ingin memberi nasihat kepada rakyat untuk tidak menjadi Melayu yang malas, seeloknya berikan dahulu kuliah percuma itu kepada ahli-ahli Melayu dalam PPBM.
Belum pun ada perkara yang dilakukan boleh dibanggakan, tetapi sudah berani meminta macam-macam dari kerajaan.Baru-baru ini, Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri menggesa kerajaan memberikan jawatan serta kontrak kepada ketua-ketua bahagian dan cawangan PPBM, termasuk wakil yang kalah di Kelantan dan Terengganu diberikan faedah seperti jawatan dan kontrak.
Apabila ahli PPBM sendiri lantang meminta tanpa rasa malu, ini jelas menggambarkan prinsip perjuangan mereka bertuhankan pangkat dan wang semata-mata, bukannya untuk berkhidmat kepada negara mahupun rakyat. Jadi, inikah yang dinamakan Malaysia Baru?
Desakan ini sama sekali tidak mengejutkan mana-mana pihak kerana perkara ini sudah dijangkakan apabila PPBM berada di blok kerajaan. Tetapi, hairannya bukankah PPBM dikatakan mempunyai perjuangan yang ikhlas dan suci? Jadi, inilah perjuangan suci yang dibangga-banggakan PPBM itu?
Ini bukan perjuangan suci, tetapi ini perjuangan lanun secara terang-terangan yang ingin memusnahkan negara. Dahulunya sibuk menghina, mencaci dan pelbagai lagi tuduhan berbakul-bakul terhadap ahli Umno kerana makan rasuah, perompak dan sebagainya, tetapi sekarang apa bezanya? Tidak ubah seperti meludah ke langit jatuh ke muka sendiri.
Betullah kata pepatah Melayu “malas”, satu jari telunjuk menunjuk orang lain, tetapi dalam tidak sedar 4 jari lagi menuding ke diri sendiri.
Walaupun Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyangkal pandangan ini, tetapi tidak boleh dinafikan lagi rata-rata perwakilan yang berada dalam perhimpunan agung tahunan parti itu bersorak meraikan pandangan naib presiden mereka.
Namun, yang menarik perhatian saya adalah kenyataan Syed Saddiq mengatakan ada perwakilan berani menyebut nama menteri yang menjanjikan kontrak kepada mereka.
Persoalannya, siapakah menteri yang dimaksudkan Syed Saddiq itu? Adakah ini merupakan rancangan sebelum tertubuhnya Pakatan Harapan (PH)?Jika perkara ini benar-benar berlaku, nampaknya perjuangan untuk membela nasib rakyat hanya retorik kerajaan hari ini sahaja.
Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://idahsalam.blogspot.com/2019/01/adakah-wang-matlamat-akhir-ppbm.html