Adakah Sambutan Maulidur Rasul Dibenarkan
Saat kota hijjaz dalam kegelapan dek hari-hari yang berlalu penuh kerosakan tanpa panduan dari tuhan, wanita-wanita direndahkan martabat dengan dibunuh diusia kecil kononnya pembawa bala tidak kurang ada dijadikan hamba pemuas nafsu semata-mata, golongan lemah dan miskin ditekan, agama terdahulu diubah dengan tangan-tangan yang akhirnya hilang padanya kesucian, dan pelbagai kefasadan yang lain menjalar dalam jiwa umat membuat masyarakat arab jahilliyah terus hanyut dan tersesat.
Namun, bukti cinta dan kasih sayang Allah s.w.t pada masyarakat ketika itu juga yang akan datang zaman selepasnya, daripada terus-menerus berada dalam kegelapan, diutuskan seorang Rasul pembawa risalah ilahi, pembentuk akhlak terpuji dengan menyebarkan cinta dalam jantung hati insani bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dengan saling menghormati tidak kira bangsa, agama dan jantina.
Rabie’ al-Awal, menjadi saksi kelahiran cahaya umat, Rasulullah s.a.w yang berasal dari sebuah keluarga yang mulia dan terkenal akan kebaikannya walaupun bertukar generasi. Kehadiran baginda s.a.w ini mengembirakan bumi dan seisinya malahan musuh-musuh ketat Islam, selepas perutusan baginda yang terdiri daripada pembesar-pembesar Quraisy turut senang ketika itu menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w. hingga melakukan sembelihan tanda kesyukuran.
Lahirnya cahaya ummat
Para sarjana sejarah dan ilmuan Islam bersepakat bahawa Rasulullah s.a.w lahir pada hari isnin, bulan Rabie’ al-Awal (walaupun ada pendapat lahir bulan ramadhan tetapi ia adalah pandangan yang ganjil) pada tahun gajah tetapi berbeza dalam menentukan tarikh kelahiran baginda s.a.w. Hari Isnin sebenarnya bukan sekadar hari kelahiran baginda bahkan banyak peristiwa yang berlaku pada hari yang sama tapi pada tarikh yang berbeza.
Daripada ibn Abbas berkata: “ Rasulullah s.a.w dilahirkan pada hari isnin, keluar berhijrah pada hari Isnin, memasuki Madinah pada hari Isnin, wafat pada hari Isnin dan mengalihkan Hajar Al-Aswad juga pada hari Isnin.”[Ibn Kathir]
Daripada ibn Abbas berkata: “ Rasulullah s.a.w dilahirkan pada hari isnin, keluar berhijrah pada hari Isnin, memasuki Madinah pada hari Isnin, wafat pada hari Isnin dan mengalihkan Hajar Al-Aswad juga pada hari Isnin.”
Manakala yang dimaksudkan dengan tahun gajah itu adalah tahun yang mana Abrahah Al-Asyram memerangi kota Makkah dan menghancurkan Kaabah[iii]. Imam Ibn Qayyim (M 751H) ada menyatakan bahawa golongan tentera bergajah ini adalah terdiri daripada golongan nasrani, dan agama mereka merupakan agama yang lebih baik daripada ahli Makkah kerana arab Quraisy menyembah berhala. Justeru Allah memenangkan mereka (golongan ahli kitab yang benar) ke atas Quraisy sebagai petanda awal kelahiran Nabi s.a.w dan kemuliaannya (sebgaimana disebut juga dalam agama nasrani).
Imam Ibn Kathir banyak meletakkan riwayat-riwayat berkenaan tarikh kelahiran baginda yang berbeza pada setiap satunya. Ada yang mengatakan bahawa pada lapan, sembilan, dua belas dan sebagainya. Tetapi apa yang lebih penting bukan tarikh tersebut, tetapi sebagai ummat baginda ketika menjadi saksi bahawa kelahiran baginda merupakan suatu peristiwa yang besar dalam sejarah Islam.
Sambutan Kelahiran Bid’ah atau Tidak?Sebahagian ulama’ daripada tanah haram seperti Syeikh Abdullah Ibn Bazz menolak bahawa sambutan maulid Rasulullah s.a.w sebagai suatu sambutan yang dibenarkan dan menyatakan bahawa ia adalah sebahagian bid’ah dalam agama dan tidak mempunyai asal di dalam agama kerana Rasulullah s.a.w sendiri dan para sahabat tidak menyambutnya dan tidak boleh untuk manusia menyambutnya berdasarkan tafsiran terhadap dalil:
(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): “Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan”. [Al-A’raf:3]
Juga hadis-hadis yang melarang perkara baru dalam agama seperti:
Daripada Irbad bin Sariyahberkata: Rasulullah memperingatkan kami dengan sabdanya: “Ke atas kamu sunnahku dan sunnah khulafa’ ar-rasyidin yang diberi petunjuk selepas aku, berwaspadalah kamu akan perkara-perkara baru (dalam agama), maka setiap perkara baru itu bida’ah dan setiap bid’ah itu adalah kekesatan” [ HR Tirmidzi no 3427]
Daripada Aisyah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang melakukan sesuatu perkara yang baharu di dalam agama yang tidak asal asal padanya maka ia tertolak” [HR Muslim no.3243]
Selain itu, Syeikh bin Bazz juga berpendapat bahawa sambutan maulidul rasul atau kelahiran secara umumnya menyerupai penganut Yahudi dan Kristian sebagai contoh penganut kristian mempunyai perayaan tersendiri dalam menyambut sambutan kelahiran Nabi Isa AS, sedangkan Rasulullah SAW melarang umatnya menyerupai kaum kafir bahkan tidak membenarkan menyerupai mereka. Rasulullah s.a.w menyebutkan dalam hadis:
Daripada Ibn Umar r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia sebagian daripada mereka” [HR Abu Daud no.3494]
Mereka juga berpendapat bahawa melarang sambutan maulid sebagai Saddu Az-Zari’ah yakni boleh menyekat daripada pintu-pintu amalan bid’ah untuk melaksanakan bid’ah-bid’ah yang lain serta mengakibatkan umat islam memandang enteng dalam sunah-sunah Rasululullah s.a.w. dengan merasakan cukup menzahirkan kecintaan dengan sambutan berkenaan.
Namun demikian terdapat juga ulama’ terkemudian seperti Prof Dr Yusuf Qardawi menganggap sambutan ini bukanlah bid’ah yang sesat tetapi adalah harus dalam islam kerana ia boleh melahirkan rasa cinta manusia yang kini sering leka dan jauh daripada sunnah baginda s.a.w supaya turut cakna dan bersama mengamalkan saranan baginda s.a.w:
Kata Dr Yusuf Qardawi:
“Ada di antara sambutan-sambutan yang mana ia membawa manfaat kepada kaum muslimin. Tetapi kita mengetahui bahawa para sahabat r.a tidak mengamalkan sambutan hari kelahiran baginda s.a.w hatta hijrah baginda s.a.w dan sebagainya. Mengapa?
Ini adalah kerana mereka telah hidup bersama sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan mereka bahkan pernah hidup bersama jasad baginda s.a.w sendiri hinggakan Rasullullah tidak hilang pada pandangan mereka dan semangat mereka. Saad Ibn Waqqas berkata:
“Sesungguhnya kami menyampaikan kepada anak-anak kami berkenaan perjuangan Rasulullah s.a.w, mengajar mereka menghafal surah daripada Al-Quran, dan menceritakan kepada mereka perit-jerih baginda s.a.w bersama para sahabat berkorban harta, darah malah nyawa dalam banyak peperangan mereka."".
Justeru itu, mereka tidak perlukan sambutan yang khusus berkenaan. Adapun bersama beredarnya zaman, manusia hidup dalam keadaan lalai, sirah baginda tidak lagi dijadikan ‘bedtime story’ kepada anak-anak bahkan lebih malang golongan ibubapa sendiri tidak mengambil sirah sebagai iktibar dalam kehidupan, maka manusia hari ini memerlkan kepada suatu perkara yang menjadi pemangkin semula semangat mereka untuk mencintai nabi s.a.w.
Dr Yusuf Qardawi berkata lagi:
"Benar ia adalah perkara baharu (bid’ah) dalam agama, namun ia tidak menjadi halangan bagi masyarakat zaman ini untuk menyambutnya (karena bukan bid’ah yang sesat) tetapi dengan syarat melaksanakan sambutan itu dengan menyampaikan hakikat pengorbanan baginda s.a.w berdasarkan sirah-sirah baginda s.a.w bersama para sahabat."
Hal ini kerana sirah-sirah baginda mengandungi pengajaran serta suri tauladan yang cukup bermanfaat bagi ummat sekalian akan tadhiyah (pengorbanan) para sahabat dalam segenap aspek untuk menyampaikan islam dan mengingatkan balasan baik kepada manusia pada hari akhirat seperti firman Allah s.w.t:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)[al-Ahzab:21]
Selain itu dalil-dalil umum daripada beberapa hadis yang menggambarkan kepenting untuk mencintai Rasulullah s.a.w yang mana sambutan maulidur rasul merupakan salah satu cara mengespresiasikan kecintaan terhadap baginda s.a.w:
Daripada Anas bin Malik r.a berkata baginda s.a.w bersabda: “Demi Zat yang diriku berada dalam kekuasaan-Nya, tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehinggalah aku lebih dia cintai daripada orang tua dan anak-anaknya” [HR Bukhari no.13]
Daripada Anas bin Malik r.a berkata baginda s.a.w bersabda: “Demi Zat yang diriku berada dalam kekuasaan-Nya, tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehinggalah aku lebih dia cintai daripada orang tua dan anak-anaknya dan manusia keseluruhannya” [HR Muslim no.55]
Terdapat juga hadis yang menceritakan berkenaan Rasulullah s.a.w melazimi berpuasa sunat pada hari Isnin, kerana ia merupakan hari kelahiran baginda dan banyak peristiwa-peristiwa yang lain yang berlaku pada hari tersebut seperti dalam hadis di atas (berkenaan kelahiran pada baginda pada hari Isnin). Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri meraikan hari kelahiran baginda s.a.w namun dalam keadaan dan ibadah yang masyru’(dibenarkan oleh Islam)
Tambahan pula, meskipun berabad lamanya baru sambutan maulidur rasul ini dilaksanakan oleh para ulama’ tetapi ia tetap kekal disambut (tanpa beranggapan bahawa ia adalah wajib atau mengikut sunnah) generasi ke generasi. Sekiranya sebahagian ulama’ mengatakan ia adalah bid’ah yang sesat, maka secara tidak langsung ia menyesatkan beberapa generasi yang sebelum ini walhal perkara yang baik pada pandangan suatu ummat itu (berlandaskan Al-Quran dan Sunnah) maka ia dianggap sebagai amalan yang baik di sisi Allah s.w.t.
Kesimpulan: Cinta Rasulullah s.a.w Bukan Cinta Bermusim!Berdasarkan kedua-dua pendapat di atas, secara peribadi saya meneliti bahawa pendapat yang mengharamkan sambutan ini melihat daripada skop isu ini sebagai isu akidah dan ibadah (hatta dalam fatwa Syeik bin Bazz meletakkannya dalam bab akidah) yang mana jika dikaitkan dengan salah satu kaedah Fiqh iaitu:
الاصل في العبادة محرمة(Asal dalam Ibadah adalah Haram)
Justeru itu, segala bentuk ibadah yang terlihat seperti tambahan yang baru maka ia adalah tertolak. Manakala pendapat yang membenarkannya melihat dari sudut dakwah kepada umat islam keseluruhan supaya kembali memperingati perjuangan baginda dengan menjadikan sambutan ini sebagai titi tolak pada kesedaran tersebut.
Oleh yang demikian, saya berpendapat sambutan ini dibenarkan dalam Islam untuk memperingati kekasih Allah, Muhammad s.a.w dengan syarat tiada unsur-unsur yang boleh membuatkan ia menjadi haram seperti pergaulan yang tidak syara’ dan sebagainya.
Pun begitu sepatutnya memperingati baginda s.a.w perlu dilaksanakan pada setiap hari dalam kehidupan kita tidak semestinya dengan bersalawat sahaja tetapi juga mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. dari sekecil-kecil sunnah hingga sebesar-besar sunnah baginda s.a.w iaitu dakwah. Maka perbanyakkan selawat dan ingatan kita pada hari berkenaan dan usaha untuk mengekalkannya biarpun diluar pada hari tersebut.
اللهم صلى على سيدنا محمد وآل محمد
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://kelanamuslim.blogspot.com/2016/08/adakah-sambutan-maulidur-rasul.html