Abu Zayd Al Balkhi Tokoh Psikologi Pertama Dunia
Ilmu psikologi sering dikaitkan dengan dunia barat. Nama-nama seperti B.F Skinner, Sigmund Freud dan John B. Watson akan cepat meniti di bibir para pengamal bidang ini apabila ditanya tentang pelopor ilmu psikologi.
Namun adakah kita pernah mendengar nama Abu Zayd Al-Balkhi? Tanpa kita sedari, dunia Islam rupanya mempunyai seorang bintang yang cukup hebat dalam dunia psikologi klasik.
Al-Balkhi merupakan seorang ilmuwan yang hidup pada abad ke-9. Beliau dilahirkan pada tahun 849 Masihi di daerah Balkh (Afhganistan sekarang). Mengikut para pengkaji, beliau telah menulis kira-kira 60 buah buku yang menyentuh bidang geografi, keagamaan, politik, sastera, astronomi, sosiologi, perubatan, psikologi, dan lain-lain.
Tetapi malangnya banyak buku yang hilang dan tidak dapat dikesan. Antara yang terpelihara hingga ke zaman moden sekarang ialah buku yang bertajuk ‘Masalih Al-Abdan wa Al-Anfus’ yang bermaksud ‘Kepentingan Badan Dan Jiwa’.
Di dalam buku yang tersimpan rapi di Perpustakaan Hagia Sophia ini, Al-Balkhi bercakap mengenai kepentingan kesihatan fizikal dan juga jiwa. Beliau juga dikenali sebagai Pakar Psikologi Kognitif pertama di dunia.
Beliau ada menerangkan tentang penyakit psikopatologi seperti stres, kemurungan, takut dan cemas, fobia serta rawatan dan terapi yang sesuai dilakukan selari dengan apa yang telah ada dalam ilmu psikologi pada masa sekarang.
Masalah mental atau psikologi pada zaman moden sekarang masih mendapat konotasi negatif di sesetengah tempat. Bahkan ada yang terus menghukum dan berkata bahawa mereka yang mempunyai masalah ini mempunyai iman yang lemah atau hanya mereka-reka masalah yang tidak ada.
Apa yang dilakukan oleh Al-Balkhi beratus tahun dahulu ialah, beliau cuba mengetengahkan isu masalah jiwa dan badan sebagai suatu perkara yang normal dan boleh dirawat.
Hubungan Antara Minda Dan Badan
Al-Balkhi menegaskan dalam tulisannya bahawa badan yang sakit akan memberi kesan kepada proses minda seperti berfikir, mengingat dan juga memahami. Dan apabila jiwa pula sakit, badan akan kehilangan upaya untuk menikmati sesuatu perkara.
Contoh mudah yang mampu kita fahami ialah stres (masalah psikosomatik) yang boleh membawa kepada masalah pencernaan makanan (penyakit fizikal).
Apa yang mengagumkan, Al-Balkhi juga mencetuskan idea tentang kaedah terapi berasaskan kognitif (proses minda). Beliau menfokuskan teknik ‘talking therapy’ (terapi percakapan) yang bertujuan untuk mengubah cara fikir seorang pesakit seterusnya memberi kesan kepada sikap seperti mana yang diinginkan.
Selain itu, beliau juga mencadangkan teknik ‘positive self-talk’ yang bermaksud teknik bercakap perkara yang positif dengan diri sendiri bagi mengubati masalah takut dan cemas.
Kaedah-kaedah yang disebutkan ini kini turut diguna pakai dalam ilmu psikologi moden.
Bijak Mengenalpasti Masalah
Masalah depresi atau kemurungan memang pernah ditulis lebih awal lagi oleh para ilmuwan Tamadun Yunani. Namun apa yang membezakan mereka dengan Al-Balkhi ialah kemampuan beliau membezakan antara masalah depresi disebabkan faktor persekitaran dan juga faktor dalaman seperti pengaruh sistem biologi tubuh badan.
Malah lebih menarik lagi apabila Al-Balkhi mampu mengemukan idea tentang masalah yang dikenali kini sebagai ‘obsessive-compulsive’. Mereka yang mengalami masalah ini akan melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang, contohnya membasuh tangan berulang kali disebabkan mereka sentiasa berfikir bahawa apa yang mereka pegang tidak bersih.
Kata Al-Balkhi; “Fikiran yang mengganggu ini biasanya tidak benar. Fikiran yang berulang-ulang ini dapat menghalang mereka daripada menikmati kehidupan dan menjalankan tugasan harian dengan normal. Masalah ini dapat menghalang fokus kepada perkara lain kerana orang yang mengalaminya akan sentiasa berfikir tentang masalah tersebut pada bila-bila masa”
Apa yang dinyatakan sangat praktikal dan tidak bertentangan dengan apa yang difahami sekarang dalam ilmu psikologi moden. Kemampuan beliau untuk mengenal pasti masalah psikologi serta mendatangkan solusi yang bersifat praktikal menunjukkan bahawa ilmuwan Islam sangat mengutamakan kaedah saintifik dalam menyelesaikan masalah yang dialami dan bukan mengambil kira unsur mistik semata-mata.
Sumber: tzkrh.com
The post Abu Zayd Al-Balkhi: Tokoh Psikologi Pertama Dunia appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/abu-zayd-al-balkhi-tokoh-psikologi-pertama-dunia/