80 Peratus Tunggakan Gaji Ditanggung Fap Selesai Dibayar
MALAYSIAKINI
 
        Kemelut tunggakan gaji yang melanda Persatuan Bola Sepak  Pulau Pinang (FAP) membabitkan pemain dan pegawai badan itu selesai 80  peratus, kata presidennya, Dr Amar Pritpal Abdullah
Beliau juga  menyifatkan kerajaan negeri begitu komited dalam usaha menyelesaikan isu  tersebut sekali gus berharap kegemilangan pasukan Harimau Kumbang  kembali menyerlah untuk musim ini.
"Untuk Disember 2018, hasil  bantuan kerajaan negeri, sebanyak 80 peratus tunggakan gaji pemain dan  pegawai berjaya diselesaikan, meliputi pasukan Liga Premier, Piala  Presiden dan juga Piala Belia," katanya ketika ditemui pemberita selepas  perlawanan persahabatan pramusim Pulau Pinang menentang Persatuan Bola  Sepak India Malaysia (Mifa), di Stadium Negeri Batu Kawan malam tadi.
Kata Amar, baki tunggakan sebanyak 20 peratus lagi adalah bagi tahun 2017 dan akan diselesaikan secepat mungkin.
"Untuk  gaji 2017 pula adalah mereka yang tiada dalam senarai FAP, namun, kami  akan cuba hubungi mereka dan pada masa yang sama Ketua Menteri (Chow Kon  Yeow) turut mahu FAP memanggil mereka jika boleh untuk mengadakan  rundingan ekoran prestasi menurun dari Liga Super kepada Liga FAM.
“Kita  pun faham akan situasi yang dihadapi oleh pemain yang mempunyai banyak  komitmen dan kita nak selesaikan tunggakan itu secepat mungkin," katanya  lagi.
Sementara itu, Amar amat optimis pasukan kendalian Ahmad  Yusoff yang terdiri daripada 80 peratus muka baru untuk menduduki  senarai pasukan kelima teratas dalam Liga Premier musim ini bagi tahun  pertama.
Terdahulu, pasukan Pulau Pinang berjaya menjaringkan dua  gol menerusi sepakan Kang Seung Jo dan Julian Bottaro masing-masing pada  minit ke-50 dan ke-80, manakala Mifa meraih satu gol atas kesilapan  penjaga gol Pulau Pinang, Syamim Othman pada minit ke-90.
"Dengan  prestasi yang ditunjukkan malam ini, kita harap kombinasi antara pemain  itu (akan) dapat ditingkatkan kerana mereka terdiri daripada pemain baru  di samping telah banyak membuat persiapan dalam masa dua bulan ini.
“Kita  turut berharap prestasi yang ditunjukkan ini akan berterusan seterusnya  memberi kesan yang baik untuk FAP di samping dapat menarik lebih ramai  penyokong Pulau Pinang supaya kembali semula ke stadium (untuk memberi  sokongan)," katanya.
Menurut Amar lagi, pasukan Pulau Pinang kini  lebih tertumpu ke kedua-dua pemain sayap kiri yang baru di samping  memberi tumpuan kepada seorang lagi penyerang yang bakal diumumkan  kelak.
"Barisan  pemain memang ada tertumpu di sayap kiri pada kedua-dua pemain baru  (warga tempatan Pulau Pinang) dan juga banyak posisi yang dibawa... dan  ketika ini kita kekurangan satu lagi penyerang.
“Namun, setelah  melalui beberapa proses, FAP telah menjumpai penyerang ini yang  merupakan anak jati Pulau Pinang (sudah pun disenarai pendek) dan akan  diumumkan dalam masa seminggu akan datang," katanya.- Bernama 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/01/80-peratus-tunggakan-gaji-ditanggung.html