8 Cara Bagaimana Rasulullah Meraikan Cinta
Jika ditanya, siapakah lelaki yang paling romantis dan contoh teladan terbaik dalam hidupmu. Lalu, siapa yang berada dalam fikiranmu, duhai wanita?
“Suami saya! Dialah hero dan penyejuk hati saya.”
“Ayah, tiada siapa yang boleh menggantikan tempatnya. Dialah yang terbaik dan pernah hadir dalam hidup saya.”
“Abang saya. Sebab sejak saya lahir, dialah yang besarkan saya sampai saya berjaya hingga hari ini.”
Ya, mungkin itu antara jawapan yang diberi. Tahukah kalian, ada sosok tubuh yang patut kita kagumi lebih daripada suami, ayah juga abang kita sendiri.
Oh really? Siapa ya?
Rasulullah SAW. Bagindalah yang patut kita sanjungi dan kagumi. Apa yang boleh kita contohi dari kisah hidup Rasulullah SAW? Banyak. Sangat banyak.
Dalam hal rumahtangga saja, kita boleh contohi pelbagai perkara. Bahkan, Rasulullah SAW adalah suami yang paling mesra terhadap para isterinya. Berikut dikongsikan bersama beberapa contoh yang boleh kita sama-sama teladani.
#1- Membantu Menguruskan Hal Rumahtangga
“Aisyah pernah ditanya, ‘Apakah yang dilakukan oleh Nabi SAW di rumahnya?’ Aisyah menjawab, ‘Baginda membantuku melaksanakan kerja-kerja di rumah’” – Hadis Riwayat Bukhari
Suami-suami, kalau nampak si isteri sedang sibuk di dapur, rajin-rajinlah bantu mana yang patut ya. Kalau nampak pinggan tak berbasuh di sinki, apalah salahnya dibasuhkan. Pahala dapat, isteri pun mesti bertambah sayang.
#2- Mententeramkan Kemarahan Isteri
Apabila Aisyah sedang marah, Nabi SAW biasanya akan memicit hidung Aisyah dan baginda berkata;
“Wahai Aisy, bacalah doa ini; Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan.” – Hadis Riwayat Ibnu Sunni
Biasanya, kalau si isteri sedang marah, kamu wahai suami, apa yang biasa kamu lakukan? Biarkan dia sendirian? Ambil keputusan keluar melepak bersama teman? Hmm, mungkin boleh cuba cara di atas ni. Manalah tahu, marah yang membara tu boleh melentur sekelip mata dek kerana sikap menyenangkan kamu itu.
#3- Tidur Di Pangkuan Isteri
Dari Aisyah RA, ia berkata;
“Nabi SAW biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku, walaupun aku sedang haid. Kemudian, baginda membaca al-Quran.” – Hadis Riwayat Abdulrazzaq
Hmm, pernah terbaca, ia ada kaitan dengan sains. Apabila meletakkan kepala di paha isteri, ia membantu meredakan kepenatan juga tekanan di bahu suami. Ini bagi suami isteri yang sah dan halal saja ok, yang belum kawin jangan nak mengada-ngada letak kepala kat paha girlfriend! Awas kalau berani buat.
#4- Makan Dan Minum Dari Tempat Yang Sama
Dari Aisyah RA, ia berkata;
“Aku biasa minum dari gelas yang sama ketika haid. Lalu baginda mengambil gelas tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulut, lalu baginda minum.”-Hadis Riwayat Muslim
Dari Aisyah RA, ia berkata;
“Aku biasa makan his (sejenis bubur) bersama Nabi SAW.”
Nabi SAW juga pernah makan daging yang telah digigit oleh Aisyah – Hadis Riwayat Muslim
#5- Melayani Isteri Ketika Sakit
Diriwayatkan oleh Aisyah RA;
“Nabi SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda orang yang paling lembut dan banyak menemani isterinya yang sedang mengadu atau sakit.”- Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim
Bahagianya apabila si isteri sakit, ada yang tolong perhatikan. Ada yang tolong jaga makan minumnya. Besar ganjaran si suami yang sabar melayannya.
#6- Bersenda Gurau
Zaid bin Tsabit apabila berkata tentang Rasulullah SAW, beliau menjawab;
“Baginda suka bergurau senda dengan isterinya.” – Hadis Riwayat Bukhari
Kadang, si suami pun kena bersikap keanak-anakan sikit. Ini bagi membangkitkan rasa harmoni dalam rumahtangga. Berkejar-kejaran dalam rumah, atau ajak si isteri bersukan bersama-sama. Fight, siapa kalah dia kena lipat baju. Contoh saja.
#7- Tetap Romantis Walaupun Isteri Haid
Kaum Yahudi menganggap haid adalah satu kotoran dan wanita yang sedang haid perlu dijauhi. Ini berbeza dengan apa yang Nabi SAW buat kepada Aisyah.
“Ketika Aisyah sedang haid, Nabi SAW pernah membangunkannya. Lalu, baginda tidur di pangkuannya dan membaca al-Quran.” – Hadis Riwayat Bukhari
#8- Panggilan Khusus Untuk Isteri
Kamu wahai suami, apa panggilan istimewa buat isteri kesayanganmu itu? Sayang? Honey? Hubby? atau Kanda Dinda? Teruskan saja.
Rasulullah SAW juga memanggil isterinya; Aisyah dengan panggilan ‘Humairah’ yang bermaksud kemerah-merahan pipinya. Kadang-kadang, Baginda turut memanggil Aisyah dengan sebutan ‘Aisy’ yang menunjukkan tanda sayang.
Banyak bukan? Mudah-mudahan segala tips dari Nabi SAW ini dapat kita contohi dalam melayari bahtera rumahtangga yang sedang dibina. Semoga bermanfaat.
“Allahumma Solli ala Saiyidina Muhammad, wa ala Ali Saiyidina Muhammad”
Sumber: tzkrh.com
The post 8 Cara Bagaimana Rasulullah Meraikan Cinta appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/8-cara-bagaimana-rasulullah-meraikan-cinta/