7 Sebab Untuk Anda Berkunjung Ke Pustaka Raja Tun Uda Bersama Keluarga
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Pustaka Raja Tun Uda terletak di Seksyen 13, Shah Alam Selangor. Lokasi berhampiran dengan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah. Terdapat bermacam-macam kemudahan yang disediakan di sini seperti kafeteria, surau, parking, gimnasium dan ruang diskusi.
Waktu Perkhidmatan:
Isnin : 10 pagi hingga 7 malam
Selasa - Jumaat: 9.30 pagi hingga 7 malam
Sabtu - Ahad: 9.30 pagi hingga 9 malam (kecuali Zon Kreatif, tutup pada pukul 7 malam)
Ditutup pada cuti umum
1) Ruang kreativi untuk kanak-kanak, bermain sambil membaca.
Reading Tree
Pustaka Raja Tun Uda menyediakan satu zon khas untuk anda membawa anak-anak melalui pengalaman membaca yang menyeronokkan. Zon Kreatif ini terletak di tingkat G dikhaskan untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun. Suasana yang ceria dan berwarna-warni pasti membangkitkan keseronokan mereka. Terdapat pelbagai jenis buku yang boleh dibaca oleh anak anda di ruang ini. Sebatang pokok besar "Reading Tree" menjadi tarikan utama ruang ini, ibarat membaca di taman, pasti menyeronokkan!
2) Membaca buku di tepi tasik yang mendamaikan.
Di tingkat 2 dan 3 pula, disediakan bahan-bahan bacaan dan rujukan untuk golongan dewasa. Pelbagai jenis buku ilmiah, novel, koleksi umum, majalah ada di sini. Anda boleh mencari bahan yang diperlukan mengikut susunan rak yang telah dilabelkan. Anda juga boleh menggunakan komputer yang disediakan untuk mengetahui kedudukan buku yang dicari. Kemudian, terus sahaja ke rak yang dinyatakan.
Di tingkat ini juga, terdapat kerusi-kerusi yang disusun menghadap ke luar. Anda dapat melihat pemandangan tasik menghijau sambil membaca buku. Santai sekali bukan! Nikmatnya membaca dalam suasana yang sunyi, tenang dan mendamaikan.
3) Aktiviti Kerohanian - Rumah@Ngaji
Rumah Ngaji@PPAS terletak di tingkat 2 yang merupakan satu initiatif oleh pihak Karangkraf, Warisan Ummah Ikhlas dan Akademi Sinergi Ikhlas. Di ruang ini disediakan pelbagai jenis Al-Quran termasuk Al-Quran terjemahan dan digital untuk pengunjung PPAS.
Antara Al-Quran yang terdapat di Rumah Ngaji@PPAS:Al-Quran Al-Karim : Ar-Raudhah : 319 Tafsir Mengikut Tema : Istimewa untuk MuslimahAl-Quran Al-Karim : Amazing : 33 Panduan Al-Quran Untuk Hidup AndaAl-Quran Al-Karim : Al Haramain : Terjemahan & Tajwid BerwarnaAl-Quran Al-Karim : Terjemahan & Tajwid Berwarna : Multazam : Al-Quran Tafsir Bil HadisAl-Quran Kareem – Mushaf Resam Uthmani Dengan Tajwid Berwarna (Size A5)Al-Quran Al-Karim: Mushaf Resam Uthmani dengan Tajwid BerwarnaAl Quran Kareem – Ar Raudhah
4) Teater 3D
Jangan tak tahu, ada teater 3D di Pustaka Raja Tun Uda. Menarikkan! Apa yang lebih mengujakan, anda hanya perlu bayar RM7 sahaja. Murah dari harga tiket di panggung wayang. Anda boleh menonton filem animasi terpilih bersama ahli keluarga di sini.
5) Teater XD/6D
Apa itu teater XD? Teater XD juga dikenali sebagai teater 6D yang menggabungkan kesan khas pencahayaan, kesan angin, kesan bunyi, gegeran kerusi serta visual 3D. Ya, satu pengalaman yang hebat untuk dirasai sendiri. Teater XD ini merupakan satu konsep edutainment yang diperkenalkan di perpustakaan Raja Tun Uda.
Ada 4 pilihan filem pendek, anda boleh lihat jadual tayangan di sini
Teater XD dibuka setiap hari kecuali pada cuti umum. Bayaran RM10 dikenakan untuk seorang.
Kawasan yang luas, banyak meja dan kerusi disediakan untuk pengunjung
6) Ruang untuk remaja
Tingkat 1 di Pustaka Raja Tun Uda menyediakan bahan bacaan untuk golongan remaja yang berumur 13 hingga 19 tahun. Antara bahan-bahan yang ada disini ialah koleksi novel-novel fiksyen dan non-fiksyen seperti buku rujukan untuk peperiksaan, buku motivasi, ensiklopedia.
7) Seminar
Terdapat juga banyak seminar yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dengan kerjasama Pustaka Raja Tun Uda. Ketika kami pergi ke sini, ada seminar akaun, kelas mandarin, seminar applikasi OKBee dan macam-macam lagi.
Jadi Pustaka Raja Tun Uda merupakan pilihan yang tepat untuk meluangkan masa bersama keluarga. Aktiviti yang ada sesuai untuk semua peringkat umur - kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Pastinya masa yang diluangkan di sini menjadi lebih bermanfaat, sambil berhibur, anda juga dapat mencari ilmu.
Suasana yang mendamaikan, jauh dari kebisingan kota raya. Kemudahan yang disediakan juga cukup memberikan keselesaan. Sekiranya perut lapar, anda boleh ke kafeteria, untuk bersolat anda boleh ke surau yang disediakan dan jangan lupa pusat gym yang terletak di tingkat bawah. Jika sudah penat membaca, anda boleh berjalan-jalan di tepi tasik.
Kunjungi PPAS Pustaka Raja Tun Uda dan rasai pengalaman yang menyeronokkan ini bersama keluarga.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dulatbuku.blogspot.com/2019/08/7-sebab-untuk-anda-berkunjung-ke.html