7 Kelebihan Solat Dhuha Hadiah Paling Istimewa Dari Allah Swt
Istilah DHUHA dapat ditemui dalam beberapa surah Al-Quran iaitu antaranya ialah Surah Thaha ayat 59, Al-Araf ayat 98 dan An-Naziat ayat yang ke 46.
Maksud perkataan Dhuha pula diertikan sebagai waktu pagi hari atau sebagai panas sinar matahri yang mana ia juga terdapat dalam Surah Thahah ayat yang ke 19.
Duha juga merangkumi kedua-dua maksud iaitu dimaksudkan dengan sinar matahari di waktu pagi hari seperti yang terdapat dalam Surah As-Syams ayat 1 dan Surah An-Naziat ayat 29 bermaksud siang yang terang.
Di awal Surah Ad-Dhuha, Allah berfirman, 'Demi waktu Dhuha'. Imam Arrazi ada menerangkan bahawasanya jika Allah bersumpah dengan setiap sesuatu, ia menunjukkan perkara yang amat agung dan sangat besar kelebihannya.
Jadi, ini membawa maksud Dhuha adalah satu waktu yang amat penting, maka dengan itu, Allah berikan kelebihan kepada umatnya untuk raikan waktu yang penting dengan mendirikan solat sunar Dhuha.
Waktu Dhuha pula adalah ketika naik matahari dan ketika berakhirnya matahari iaitu sewaktu ia tergelincir tetapi sunat ia diakhirkan sehingga matahari naik tinggi dan sewaktu panas yang terik.
Kelebihan Solat Dhuha Hadiah Paling Istimewa Dari Allah
1. Wasiat dan Sunnah Rasulullah
Rasulullah SAW berwasiat kepada umatnya untuk mengamalkan solat sunat Dhuha serta menjadi ia sebagai satu rutin dalam kehidupan seharian.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ia berkata: "Kekasihku (Rasulullah) memberikan satu pesanan (Wasiat) kepadaku dengan tiga perkara yang tidak pernah aku tinggalkan sehingga aku meninggal dunia nanti.
Iaitu puasa tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dan tidur dalam keadaan telah mengerjakan solat witir," (Hadis Riwayat Bukhari).
2. Nilaian Sedekah Bagi Seluruh Sendi Tubuh Manusia
Nabi Muhammad SAW bersabda,
"Diriwayatkan dari Buraidah bahawa ia berkata, Aku telah mendengar Rasulullah bersabda, 'Pada diri manusia terdapat 363 ruas. Ia memiliki kewajiban bersedekah atas setiap ruas tersebut.’
Para sahabat bertanya, 'Siapakah yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah?' Baginda bersabda, 'Ludah di dalam masjid yang ia timbun (dibersihkan) atau sesuatu (penghalang) yang ia singkirkan dari jalanan.
Jika engkau belum mampu, dua rakaat solat Dhuha sudah memadai untuk mewakili kewajipanmu bersedekah'.”
Selain itu, solat Dhuha juga adalah sebuah sedekah yang setanding dengan bertahmid, bertasbih, bertakbir, bertahlil, berdakwah dan juga mencegah sebarang kemungkaran.
3. Mendapat Keuntungan (Ghanimah) Yang Besar
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang berwuduk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat Dhuha, dialah yang paling dekat tujuannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya." (Shahih Al-Targhib: 666)
4. Dikurniakan Sebuah Rumah di Syurga
Untuk mereka atau golongan yang rajin menunaikan solat Dhuha juga pasti akan dibina sebuah rumah yang istimewa untuk mereka di dalam syurga indah nanti. Perkara ini telah dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:
"Barangsiapa yang solat Dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga." (Shahih Al-Jami’: 634)
5. Mendapat Rezeki Dengan Segera
"Diriwayatkan dari Nu‘aim bin Hammar bahwa ia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, 'Allah berfirman, 'Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu'." (Hadis Riwayat Abu Dawud)
6. Mendapat Pahala Umrah
Dari Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji.
Barang siapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah." (Shahih Al-Targhib: 673)
7. Mendapat Keampunan Bagi Dosa Terdahulu
"Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuha-nya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Jadi, semuanya sudah jelas dan terang tentang kebaikan serta kelebihan solat Dhuha ini dan betapa hebat dan besarnya ganjaran yang Allah kurniakan kepada sesiapa sahaja yang mengerjakannya.
Malahan, ganjarannya tersangat besar serta lebih besar keistimewaannya kepada mereka yang terus beristqamah mengerjakannya demi Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Semoga solat Dhuha ini sentiasa menjadi sebahagian daripada amalan haria serta rutin dalam kehidupan kita sehari-hari dalam mencari keredhaan Allah SWT. Semoga perkongsian ini bermanfaat serta memudahkan segala urusan anda. - ilmualam.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.ilmualam.com/2021/10/kelebihan-solat-dhuha.html