6 Operator Kilang Palsukan Mc Dihadapkan Ke Mahkamah 3 Lelaki Mengaku Bersalah 3 Wanita Mengaku Tak Bersalah
The Reporter
Gara-gara memalsukan sijil cuti sakit, enam operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 29 Mac 2021 atas kesalahan yang dilakukan pada Oktober 2020 hingga Februari 2021.
Tiga tertuduh iaitu, Mohamad Hafizi Zainuddin, 29, Muhammad Zulhakimi Masdi, 23, dan Muhammad Amir Md Ishak, 19, mengaku bersalah di atas pertuduhan itu, manakala Nur Farah Amira Alisham, 21, Nurul Izzah Abdul Razak, 21 dan Marsya Fatini Mohd Rani, 20 mengaku tidak bersalah memohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan dua majistret, Mohd Zaki Abd Rahman dan Sri Pracha Nanthini Balabedha.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa menggunakan suatu dokumen tulen iaitu sijil cuti sakit yang mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.
Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn Bhd antara 27 Oktober 2020 hingga 27 Februari 2021 kira-kira jam 9 pagi.
Lima daripada tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan, manakala Marsya Fatini didakwa dengan dua pertuduhan. Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada prosiding di Mahkamah Majistret 1, Mohd Zaki menjatuhkan hukuman denda RM2,700 dan penjara lima hari bermula tarikh tangkapan ke atas Mohamad Hafizi dan Muhammad Amir.
Dalam mahkamah sama juga, Mohd Zaki turut membenarkan Nurul Izzah diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Kalaivaanan, manakala dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Abdul Nasir Wahid dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam Muhammad Zayumi Mohd Yusof.
Di Mahkamah Majistret 2 pula, Sri Pracha menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dengan penjara lima hari bermula hari ini ke atas Muhamad Zulhakimi, selain membenarkan Nur Farah Amira dan Marsya Fatini diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing iaitu Nur Najihah Ahmad Zulkarnain, Muhammad Zayumi dan Chiang Kian Hong.
Kedua-dua majistret kemudian menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang doktor yang mengesyaki tandatangan dan cop miliknya telah dipalsukan. Doktor berkenaan mengesyaki enam individu terbabit telah memperdayakan majikan mereka dengan mengemukakan sijil cuti sakit menggunakan cop dan tandatangan miliknya yang disyaki palsu.
Sumber: Berita Harian
March 31, 2021 at 03:11PM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://atmknews.blogspot.com/2021/03/6-operator-kilang-palsukan-mc.html