6 Bulan Sudah Berlalu
Semalam 1 Mei 2024, genap 6 bulan saya dan Encik Suami menjadi penduduk di negeri paling kecil di Malaysia. Sepanjang tempoh 6 bulan terakhir ini, terlalu banyak pengalaman baru yang saya lalui. Ada yang saya ceritakan di blog sebagai suatu catatan hidup, tetapi banyak juga yang tidak dapat saya ceritakan
Alhamdulillah saya rasa serasi menetap di kediaman yang begitu dekat dengan alam semula jadi. Waktu pagi boleh menatap matahari muncul di ufuk timur, waktu petang dapat menikmati indahnya matahari tenggelam di ufuk barat dan waktu malam saya menikmati taburan bintang di langit gelap. Saya juga dapat memerhatikan pelbagai jenis burung cantik hanya menerusi jendela rumah - antaranya burung raja udang di atas kabel elektrik, bangau putih di laman rumah dan burung dendang selayang yang sedang menikmati buah nona
Pun begitu, ada harga yang perlu dibayar bagi menikmati kehidupan tenang begini. Antaranya, tiada perkhidmatan e-hailing (perkhidmatan pengangkutan awam atas talian) dan p-hailing (perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal) yang sampai ke tempat saya. Kami juga perlu bergerak kira-kira 20 km untuk ke bandar terdekat bagi membeli keperluan di pasaraya dan mengisi minyak kereta di stesen Petronas
Seperkara lagi yang perlu saya biasakan, iaitu cuaca yang agak berbeza berbanding kebanyakkan tempat/negeri lain di Malaysia. Cuacanya lebih ekstrem dan ada musim tertentu. Musim angin timur (angin kuat, panas dan kering) sudah berlalu, sekarang ini pula walaupun hujan turun tetapi terasa lebih bahang kerana suhu waktu siang tinggi dengan tahap kelembapan (humidity) juga tinggi
Eh, kalau nak dicatat nanti makin panjang entri ni. Apa yang pasti, saya dah semakin selesa menetap di rumah luas dengan pemandangan luas. Sesekali balik ke rumah NS, terasa sempit rumah sendiri dan rasa terkepung bila pandang depan rumah orang, pandang belakang pun rumah orang. Ish…melampau sungguh saya 😂
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2024/05/6-bulan-sudah-berlalu.html