5008 Siap Sedia Untuk Operasi 2019 Jaga Jaga
Bermula 1 Jan depan, pelanggan restoran yang didapati merokok boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 2 tahun.
Kementerian Kesihatan tidak akan menambah bilangan kakitangan penguat kuasa atau jumlah peruntukan bagi menguatkuasakan pengharaman merokok di semua restoran di seluruh negara bermula 1 Jan depan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, bilangan pegawai dan penolong pegawai kesihatan sedia ada seramai 5,008 orang akan memasukkan pemantauan ke atas tempat makan ke dalam senarai tugas mereka.
“Tugas mereka bukan sahaja menguatkuasakan pengharaman merokok, tetapi juga bertanggungjawab ke atas aspek lain seperti pemeriksaan kebersihan, tempat pembiakan nyamuk Aedes dan sebagainya,” kata beliau kepada FMT.
Beliau berkata, tiada peruntukan tambahan akan dikeluarkan untuk tujuan itu.
Lee maklum tentang kritikan operator restoran dan pihak lain berhubung pengharaman tersebut, dengan berkata, kerajaan telah mengadakan sesi dialog dengan pengusaha tempat makan.
“Paling penting, ini adalah langkah yang perlu kita ambil bagi melindungi hak bukan-perokok untuk menikmati persekitaran bebas asap rokok. Dalam jangka panjang, kita mahu mengawal bilangan perokok di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, lebih 100 restoran di seluruh negara telah secara sukarela menguatkuasakan zon larangan merokok.
Pada 17 Dis lepas, Lee memberitahu Parlimen bahawa kerajaan memberi tempoh pematuhan selama 6 bulan selepas pengharaman merokok di restoran mula berkuat kuasa pada 1 Jan tahun depan.
Katanya, notis amaran akan dikeluarkan oleh pegawai kesihatan kementerian kepada pesalah dalam usaha mendidik, sebelum mereka dijatuhi hukuman.
Lee berkata, pemilik restoran mesti mempamerkan notis larangan merokok dan tidak menyediakan tempat habuk rokok di restoran mereka.
Katanya, operator restoran boleh menghubungi Kementerian Kesihatan melalui talian telefon 24 jam di 03-88924530 sekiranya mereka berhadapan dengan pelanggan yang enggan mematuhi larangan itu.
Pelanggan yang didapati merokok di tempat makan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 2 tahun, sementara operator restoran yang gagal memasang notis larangan merokok berhadapan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 6 bulan.
FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://bankami.blogspot.com/2018/12/5008-siap-sedia-untuk-operasi-2019-jaga.html