5 Teknik Berlatih Bersyukur
5 Teknik Berlatih Bersyukur
Assalamualaikum Bismillahi MashaAllah
Dan ingatilah pesan Tuhanmu 'Sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatku kepadamu, dan jika kamu kufur dan ingkar, Sesungguhnya azab Ku amatlah keras.
(Surah Ibrahim, 7)
Syida terpanggil untuk menulis tentang syukur kerana Syida ingin ingatkan diri Syida sendiri tentang sentiasa bersyukur. Selain itu, Syida ingin membuatkan diri Syida sendiri begitu dekat dengan perkataan syukur supaya Syida menjadi hamba Allah yang bersyukur bukannya kufur
Jika kita selalu nampak orang lain lebih dari kita, percayalah kita akan selalu nampak kekurangan diri kita. Dan apabila kita terlalu sibuk untuk nampak orang lain lebih dari kita, agak-agak kita boleh nampak lagi ke Kelebihan diri kita sendiri? Mampukah kita nak bahagia dengan minda sebegitu? Tepuk dada tanya diri kita sendiri. Jawapan tu ada pada diri kita. Kita je yang tahu
Nikmat yang ada pada diri kita sendiri selalunya akan mula dihargai apabila kita kehilangannya. Menjadi orang yang menghargai apa yang dimiliki, menyebut perkara-perkara baik tentangnya dan menjaganya dengan baik dan sempurna ialah salah satu cara untuk bersyukur.
Kita boleh mengubah cara kita berfikir untuk menjadi orang yang lebih bersyukur dengan melihat dari kacamata 'tiada' kepada 'teropong' syukur
Doa Nabi Sulaiman a.s meminta kepada Allah supaya ajari Baginda cara bersyukur
.... Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai, dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hambaMu yang soleh'.
(Surah Naml, 19)
Kenapa manusia jarang bersyukur?
Selalunya manusia akan bersyukur dengan perkara baik yang dimilikinya seperti apa yang didoakannya. Contohnya ingin memiliki kereta BMW X6, rumah 2 tingkat di Putrajaya dan sebagainya.
Tetapi dalam kehidupan kita, tidak semua yang kita impikan menjadi hak milik kita. Maka ketika itu, ramai orang akan bersungut, meyalahkan orang lain dan bersikap negatif. Kenapa kita begitu mudah lupa untuk bersyukur? Ia berpunca dari 2 perkara iaitu apa yang kita fokuskan dan keinginan untuk membanding diri.
The law of focus secara umumnya manusia akan fokuskan perhatian, tenaga serta fikiran terhadap suatu perkara samada positif atau negatif. Selalunya, minda manusia yang kurang bersyukur akan menumpukan perkara negatif
Jika kita terus-menerus memikirkan perkara negatif, ia akan automatik bertambah. Ini merupakan aturan llahi:
.....jika kamu mengingkari nikmatKu, sesunguhnya azabKu amat pedih.'
(Surah Ibrahim, 7).
Semakin kita kufur nikmat, semakin banyak masalah timbul. Apa nak buat. Apa yang difokuskan, itulah yang akan datang.
Kerana itu para bijaksana menasihatkan, control your mind. Ajar minda kita untuk fokus perkara baik kerana terlalu banyak perkara baik ada depan mata kita jika kita menggunakan teropong syukur
Oleh itu, belajarlah untuk bersyukur walaupun kita belum nampak lagi apa hikmahnya. Sebab ia akan membuka fikiran kita untuk kekal melihat jauh ke depan dengan penuh rasa optimis
Perkara kedua yang selalu menggagalkan kita untuk bersyukur adalah sikap suka membandingkan diri dengan orang lain
Semoga kita diberikan Allah hati yang pandai bersyukur. Moga kita diizinkan Allah untuk digolongkan dalam kumpulan yang 'sedikit'
Apa maksud golongan sedikit
Anda akan faham dari kisah ini:
Pada zaman Saidina Umar Al Khattab, ada seorang pemuda sering berdoa di sisi Baitullah dengan doa agak pelik:
''Ya Allah! Masukkanlah aku ke dalam golongan yang sedikit.'
Doa beliau didengar oleh Saidina Umar ketika sedang melakukan tawaf di Kaabah. Beliau hairan dengan permintaan pemuda itu lalu selesai tawaf, beliau memanggilnya dan bertanya,
'Mengapa engkau berdoa sedemikian rupa? Tidak adakah permohonan lain yang engkau pinta?"
Pemuda itu menjawab,
'Wahai Amirul Mukminin. Saya membaca doa itu kerana saya takut dengan penjelasan Allah dalam surah Al A'raf ayat 10:
"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami hasilkan bagi kamu di muka bumi (sumber) penghidupan. Tetapi amat SEDIKIT kamu yang bersyukur."
Saya memohon agar Allah memasukkan saya dalam golongan yang sedikit itu, kerana terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah....
Anda mahu masuk ke golongan ini? Belajarlah bersyukur sekarang
5 Teknik Berlatih Bersyukur.
Berteori tentang syukur memang mudah, tetapi mengamalkannya tidak semudah membaca tentang ban syukur. Disebabkan mindset kita rata- ratanya masih meletakkan 'setting" 'suis' syukur di kedudukan 'off, kita sering lalai melakukannya
Jadi bagaimana cara terbaik untuk 'on'kan suis syukur? Syida senaraikan 5 cadangan teknik berlatih bersyukur
1. Latih diri untuk bersyukur setiap saat, hatta nikmat terkecil
Terdapat banyak sangat nikmat yang Allah berikan kepada kita setiap hari yang mungkin kita tidak pernah atau jarang kita syukuri. Antaranya nikmat siang dan malam, nikmat tidur dan bangun, nikmat membuang air kecil dan besar, nikmat cerah dan terangnya matahari, nikmat memiliki anak yang sihat dan cergas, nikmat anak yang membesar ikut tumbesaran yang sepatunya dan sebagainya
Anda boleh mencuba cara meningkatkan kepekaan untuk bersyukur yang mudah dilakukan dengan menekan butang 'pause' kepada aktiviti harian anda. Ianya dinamakan dengan 'teknik muhasabah 10 saat sejam. Berhenti sebentar dan lihat sekeliling anda. Semua yang dilihat itu nikmat. Hargainya walau sekecil pensel sekalipun
Cubalah lakukan aktiviti ini setiap hari dan anda mungkin akan dapat merasai perubahan sikap yang berlaku pada diri anda seperti anda mudah tersenyum walaupun anda baru sahaja tersangkut di dalam trafik jem lebih sejam di lebuh raya
Dan jangan terperanjat jika anda sering melakukannya, rezeki lebih besar akan datang kerana ketika itu Allah barangkali sudah menganggap 'hambaku ini layak mendapat rezeki lebih besar kerana ia pandai mensyukuri nikmat kecil'.
2. Latih diri untuk mudah berterima kasih.
Berterima kasih adalah perkara mudah tetapi amat berat keluar dari mulut kita, padahal ia adalah aktiviti penting untuk mengekalkan rasa syukur
Ucapan keramat ini sepatutnya dimulakan dengan berterima kasih kepada Allah Ta'ala sebelum dipanjangkan sesama manusia
Jadikan bersyukur dan berterima kasih ini perkara yang perlu dilakukan kerana tidak adil rasanya jika kita asyik meminta sedangkan Allah 'already' - telahpun anugerahkan rezeki banyak luar biasa depan mata
Dan jika kita menjadi hamba yang lupa untuk bersyukur dan berterima kasih kepada Allah, kita mungkin 'terlepaslah rezeki jika tidak diminta dalam doa', kerana ulama telah pun mengajar kunci memahami'sifir rezeki' Allah: banyakkan bersyukur, nescaya Allah akan datangkan segala rezeki yang kita fikirkan dengan jumlah dan cara yang tidak terhitung. Rezeki datang kepada kita, bukan kita yang mengejar rezeki.
Begitu maksud tersirat perkataan 'la'aziidannakum dalam ayat tujuh Surah Ibrahim: 'Kami pasti akan menambah rezeki kamu".
3. Latih diri untuk mudah memberi
Untuk menyuburkan syukur dalam hati kita, kita boleh melatih diri untuk mudah memberi, bersedekah, bermurah hati serta melayani orang lain dengan baik. Dengan banyak memberi (bukan setakat wang, tetapi masa, tenaga atau apapun), anda sedang mengajar minda untuk bersyukur terhadap apa yang telah Allah kurniakan
Kaya bukannya syarat untuk membantu orang lain. Semua manusia mempunyai peluang untuk memberi kerana Allah menjadikan setiap manusia pada asalnya kaya. Ada kelebihan tersendiri
Memberi, dalam bentuk apa sekalipun adalah latihan terbaik untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Allah. la perlu dilatih setiap hari agar menjadi rutin kerana bersedekah dan membantu bukan aktiviti yang dilakukan sekali-sekala atau 'bila ada duit lebih
Ia adalah habit. Ia adalah karakter yang perlu dipupuk setiap hari. Karakter 'berfikir kaya' yang terhasil dari perasaan syukur kepada Allah
4. Latih diri untuk mudah menyantuni mereka yang kurang bernasib baik
Hospital adalah satu tempat terbaik untuk melahirkan perasaan syukur. Kita mudah insaf, kurang merungut dan lembut hati untuk mensyukuri nikmat bila melihat ramai manusia yang lebih teruk dari kita. Syukur kerana masih dapat bernafas di kala ramai orang yang perlukan bantuan mesin hanya untuk bernafas. Syukur kerana kaki masih sempurna di saat ramai orang lain menunggu giliran dipotong kaki
Patutlah Rasulullah SAW memberikan merit besar kepada mereka yang suka mengunjungi orang sakit, kerana dengan mengunjungi mereka, kita sedang belajar 'hikmah' dari Allah:
Siapa yang menjenguk orang sakit, ia berada dalam taman syurga sehingga ia pulang'. (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Selain itu, antara cara mudah untuk kita belajar bersyukur adalah dengan menyantuni anak yatim.
Rasulullah SAW bersabda :
Mereka yang memelihara anak yatim, sama ada anak yatimnya sendiri atau anak yatim orang lain, aku dan dia seperti dua jari ini di dalam syurga.' Perawi hadis iaitu Malik Bin Anas mengisyaratkan dengan jari telunjuknya dan jari tengah.'
(Hadis riwayat Muslim)
5. Latih diri untuk bersyukur dengan memperbanyakkan ibadah dan amal soleh.
Cara termudah untuk bersyukur telah Rasulullah SAW ajarkan. Perbanyakkan zikir 'Alhamdulillah': segala puji, puja dan syukur bagi Allah:
Barangsiapa yang membaca Subhanallah setiap selesai solat 33x, Alhamdulillah 33x dan Allahu Akbar 33x hingga menjadi 99, lalu disempurnakan menjadi seratus dengan Laa ilaha illallah wahdahu' laa syarikalah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ala kulli Syaiin qadir, diampuni dosanya sekalipun sebanyak buih lautan'.
(Hadis riwayat Muslim)
Teruskan bersyukur walau apa jua keadaan kita sekalipun samada dalam keadaan bahagia atau sebaliknya kerana Allah pasti akan memberi ganjaran kepada mereka yang berusaha untuk bersyukur:
dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.
(Surah Ali Imran, ayat 145)
Syida tutup entri ini dengan satu kisah syukur yang amat ekstrem untuk kita amati, bagaimana tahap seorang hamba yang rasa syukur telah sebati dengan dirinya:
Al-Asma'ie, menteri yang bertugas pada zaman Khalifah Al- Mansur memiliki hobi unik iaitu berburu di tengah padang pasir. Suatu hari, beliau telah keluar berburu dan kerana asyik mengejar buruannya, Al-As'maie terpisah dari kumpulan rakannya.
Sudah pasti di gurun sahara, kita akan mudah tersesat dan kata orang, jika bantuan tidak ditemui, malaikat mautlah yang akan datang menghampiri. Begitulah yang berlaku pada As'maie. Beliau terus berjalan dalam keadaan menderita, menahan haus luar biasa. Detik demi detik, ia terasa tenaga yang tersisa semakin merosot. Hidupnya dirasakan semakin dekat ke penghujung nyawa.
Namun begitu, Tuhan masih mensisakannya peluang kedua. Tidak beberapa lama, dari kejauhan beliau terlihat sebuah khemah. Tanpa menunggu, ia terus ke sana dengan harapan menemui sesuatu yang akan menyambung talian hidupnya iaitu air. Setibanya di khemah, Al-As'maie terperanjat apabila menemui penghuninya yang cukup memukau: seorang perempuan muda yang amat jelita. la terus meminta air kepadanya tetapi perempuan itu menjawab, 'air kami ada sedikit tetapi maaf, ia hanya dikhaskan untuk suamiku. Beginilah.. Ambil sahaja baki air minumanku...."
Al-As'maie terus mengambilnya dan minum dengan keadaan agak laju. Terasa air yang diteguk memberikan tenaga baru kepadanya. Dalam pada itu, perempuan yang sedang memerhatikannya dari dalam khemah tiba-tiba berubah tindak- tanduknya. Ia berdiri dengan muka yang agak cemas bercampur ceria kerana dari jauh, kelihatan debu berterbangan tanda seseorang sedang menuju ke khemah itu.
'Suamiku pulang', katanya. Ia sudah tidak mempedulikan As'maie, terus menyiapkan air minuman dan kain untuk kegunaan suaminya.
Lelaki yang pulang itu rupanya seorang tua yang berwajah bengis serta menakutkan. Sesampainya di khemah, mulutnya tidak henti menggerutu isterinya, perempuan jelita itu. Yang ajaibnya, tiada satu pun perkataan yang keluar dari perempuan itu. Ia tetap tenang dan sabar. Ia membuka serban suaminya, membersihkan bajunya dari habuk, menuangkan air dengan penuh cermat dan menarik tangan suaminya dengan mesra ke dalam khemah.
Sebelum pulang, Al-As'maie sempat bertanya, 'wahai perempuan jelita... Engkau kan muda, cantik dan setia. Kombinasi yang jarang sekali didapati. Mengapa engkau korbankan dirimu untuk melayani lelaki tua yang berperangai buruk?"
Jawaban perempuan itu mengejutkan, 'Rasulullah SAW bersabda, agama itu terdiri dari dua bahagian: syukur dan sabar. Aku bersyukur kerana Tuhan telah menganugerahkan kepadaku kecantikan dan perlindungan. Ia membimbingku untuk berakhlak mulia. Aku telah melaksanakan setengah agamaku. Disebabkan itu, aku ingin melengkapi agamaku dengan setengahnya lagi, iaitu bersabar....'
Boleh jadi cerita ini betul. Boleh jadi juga ia ditambah perisa untuk kelihatan sempurna. Apapun, hikmah cerita ini sangat luar biasa. Ia mengingatkan kita kepada pesanan penting, jika kita ingin hidup bahagia, jalaninya dengan rasa syukur dan sabar. Pesanan tersebut benar, kerana ia datang dari Rasulullah SAW:
Sungguh mengkagumkan melihat urusan orang mukmin kerana baginya, semua masalah adalah baik. Dan sikap sedemikian tidak dimiliki kecuali orang yang benar-benar beriman sahaja. Jika dia mendapatkan kebahagiaan dia bersyukur kerana ia baik baginya, dan jika dia menghadapi keburukan dia bersabar, kerana itu baik baginya."
(Hadis riwayat Muslim)
Alhamdulillah. Semoga mendapat manfaat dari perkongsian Syida di bahagian tazkirah atau kata-kata motivasi kali ini
Anda juga boleh membaca tentang tazkirah atau kata-kata motivasi di entri ini.
Terima kasih kerana sudi membaca sehingga di sini. Jangan lupa komen😘
Alhamdulillah 'ala kulli hal Assalamualaikum.
#nextlevelblogging#shakleethrive2023#shakleetriumph2023#blogmegashaklee#shakleepuchong2023
Disclaimer: Produk Shaklee bukan bertujuan untuk mendiagnos, merawat, menyembuhkan atau mencegah sebarang penyakit. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan rundingan daripada pakar perubatan yang bertauliah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.syahidaali.com/2023/06/5-teknik-berlatih-bersyukur.html