5 Novel Melayu Bertemakan Time Travel
1. INFINITI KARYA FARRAH IZZLORNA
Andrian kerap menafikan apa yang dilihat itu sebagai suatu kelebihan. Sementara puan Rohani ibu kepada Andrian menganggap itu adalah satu penyakit mental. Dakwaan itu yang menyebabkan Andrian menganggap dirinya selalu berhalusinasi dan solusinya adalah dengan bergantung kepada ubat anti-psikotik.
Hidupnya berubah apabila Andrian ditakdirkan merentasi ke masa lampau iaitu tahun 1985. Di waktu itu dia menemui kebenaran tentang diri dan juga keluarganya. Siapa Luth, Suri, Yasmin dan Puan Hafsyah yang sebenarnya. Siapa mereka di dalam hidup Andrian sehingga mengubah seluruh pendirian dan kepercayaannya.
“Sihir aku boleh mencederakan sesiapa saja dalam dunia ini. Kecuali keluarga aku. Darah daging aku. Keturunan aku. Anak-anak aku. Tapi kau bukannya anak aku. Jadi, siapa kau? Apa kaitan kau dengan aku?"
Teknik peralihan masa dari tahun 2007 ke 1985 kemudian kembali ke 2017 dilakukan dengan kemas. Setiap bab mempunyai “cliff hanger” yang menyebabkan aku tak sabar untuk mendapatkan jawapannya. Novel ini boleh dikategorikan sebagai urban fantasi. Diselitkan unsur mistik, fantasi dan cinta. Sekiranya ingin membaca sebuah novel cinta yang berlainan tetapi cukup menyentuh jiwa aku sarankan untuk membaca novel hebat ini.
Ulasan penuh.
2. BAGAIKAN PUTERI RAMLEE AWANG MURSHID
'Awan... Kalau dapat kucapai, maka saktilah hamba'
"Apabila hujan turun, melimpahlah air dari perbukitan, aliranmenujah batu, melekuk tanda waktu beralib, seiring nyawamenghanyut usia, sejalan nafas melangkah ke hujung"
Haryani dan Laksamana Sunan, mereka dari zaman yang berbeza. Bertemu dalam keadaan yang tidak disangka, diluar batas pemikiran manusia. Haryani terperangkap antara kebaikan dan kebatilan
Dani, pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21. Mampukah Dani merealisasikannya. Apa yang pasti, ada hati yang akan terluka
Apabila bahagia seperti hampir menyapa, kejadian yang tidak disangka telah berlaku. Haryani menjeruk rasa, impiannya hancur berkecai.
Penulis thriller tersohor ini tidak pernah mengecewakan pembaca setianya. Novel Bagaikan Puteri sebuah kisah yang penuh dengan konflik, tragedi, pengembaraan merentasi dimensi masa, mistik dan magik. Bagaimana ianya boleh berlaku? Baca novel ini, anda bakal menemui jawapannya.
3. KITAB LAMA KARYA SHA HANIM RAMLI
"Kita ini orang Melayu Islam. Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Sejauh mana adat kita sesat atau disesatkan, kita masih boleh berpatah balik dan berpegang kembali pada syarak, kalau hati sendiri masih mahu." - Merah
Disaat ramai penulis wanita berlumba menulis genre cinta pasangan kekasih mahupun suami isteri, penulis bernama Sha Hanim Ramli ini menulis tentang perjuangan bangsa, pengorbanan demi tanah air tercinta dan keluarga, percintaan berlandaskan syariat dan adab sopan yang semakin terhakis
Agak kagum dengan plot dan olahan cerita yg cukup menarik dan mengasyikkan. Ternyata penulis tidak menulis semborono tetapi membuat kajian secara terperinci terhadap fakta-fakta sejarah yang terdapat dalam novel ini.
Kitab Lama ini sebuah novel gabungan sejarah, fantasi dan aksi. Sebuah novel yang perlu dibaca oleh setiap lapisan masyarakat.
4. SEKALI LAGI KARYA AUNI ZAINAL
Nadiah seperti diberikan peluang ke-2. Sebuah diari misteri telah membawanya ke dimensi masa yang lalu. Nadiah yang berusia 32 tahun kita berada pada zaman ketika dia di tingkatan 4 sekolah SMITH. Apa yang berlaku sebenarnya?
Nadiah keliru tapi pada masa yang sama dia teruja. Apa yang disampaikan kepada teman sebiliknya sangat gila. Tsunami di Acheh? 10 tahun akan datang, kapal terbang MAS akan hilang dari radar? Semuanya kelihatan gila pada Ilyani dan dia sukar mempercayainya
Kegilaan itu menjadi buah mulut di sekolah dan menyebabkan orang lain menggangap Nadiah telah mengalami masalah mental selepas kemalangan yang menimpanya. Tiada siapa percaya dengan apa yang dia katakan
Namun, ada seseorang yang mempunyai niat jahat dan ingin menggunakan kelebihan Nadiah. Adakah Nadiah bakal menemui bahagianya kembali? SEKALI LAGI bakal menjawab persoalan ini.
5. MESEJ KARYA ANNA LEE
Mesej sebuah karya bergenre urban fantasi hasil olahan penulis Anna Lee. Tiada kisah seorang anak Datuk atau Tan Sri bertemu jodoh dengan gadis kampung. Hanya kisah orang biasa yang menempuhi cabaran percintaan yang unik dan diluar pemikiran manusia normal tetapi perkara itu tidak mustahil jika Dia mengizinkan ianya berlaku
Kisah percintaan yang merentasi masa antara Aria dan Jason. Sebuah pertemuan yang ditakdirkan berlaku di tahun 2004 membibitkan perasaan cinta pandang pertama antara Aria dan Jason. Mereka berjanji akan bertemu kembali di Menara Eiffel Tower Paris, 10 tahun akan datang
Nik tiba-tiba muncul penuh misteri dan menyimpan suatu rahsia. Bagaimana Aria mengatasi kecelaruan perasaan bila berhadapan dengan Nik dan Jason. Yang pasti Nik berada di alam nyata dan wujud di mata Aria, Jason pula jauh terpisah sepuluh tahun ke belakang. Nik sentiasa menggugah perasaan Aria setiap kali mereka bertemu
Sanggupkah Aria menunggu janji Jason selama 10 tahun? Siapa Nik dan siapa Jason sebenarnya… kena beli buku ni. Serius memang menarik
Kisah ini membuatkan kita ingin ke Paris menjelajah jalan-jalan dan tempat yang pernah dilalui Aria dan Jason. Cara penulis menggambarkan kota cinta itu seolah-olah kita berada disana menikmati keindahan “City of Light” di Paris.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dulatbuku.blogspot.com/2018/12/5-novel-melayu-bertemakan-time-travel.html